Followers

Sunday, January 4, 2015

PKR desak Zahid perjelas peranan ketua judi dalam ‘keselamatan negara’






Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi didesak beri penjelasan mengenai peranan ahli judi profesional dalam membantu Putrajaya berkaitan projek keselamatan negara. – Gambar fail The Malaysian Insider, 3 Januari, 2015.


Kementerian Dalam Negeri mesti menjelaskan peranan yang dimainkan ahli judi profesional Paul Phua Wei Seng dalam membantu Putrajaya berhubung projek berkait keselamatan negara, kata seorang pemimpin PKR hari ini.

Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil berkata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi harus berterus-terang mengenai perkara itu dan memberi penjelasan bagaimana dan mengapa Phua terlibat dalam projek seperti itu.

Beliau juga bertanya sama ada surat yang dikatakan ditulis Zahid, mempertahankan Phua, kepada Biro Siasatan Persekutuan (FBI), sahih dan benar.

Phua sedang dibicarakan di mahkamah Amerika Syarikat atas dakwaan menjalankan operasi perjudian di Caesar’s Palace Hotel, Las Vegas sewaktu perlawanan bola sepak Piala Dunia pada pertengahan 2014.

Beliau sebelum ini pernah ditahan dan kemudiannya diusir dari Macau kerana menjalankan operasi perjudian atas talian.

Pada 31 Disember 2014, South China Morning Post (SCMP) mendedahkan, Zahid secara rahsia menulis sepucuk surat kepada FBI menafikan Phua ialah ahli kongsi gelap 14K dan memohon agar dia dibenarkan pulang ke Malaysia.

Dalam surat yang ditujukan kepada Timbalan Pengarah FBI Mark F Giuliano, Zahid berkata Phua “beberapa kali membantu kerajaan Malaysia dalam projek berkaitan keselamatan negara”.

"Seperti ramai di luar sana, saya terkejut membaca laporan berita itu," kata Zahid dalam satu kenyatan hari ini.

Fahmi juga bertanya mengapa Zahid sanggup mempertahan seseorang seperti Phua yang jelas terlibat dengan aktiviti perjudian, tetapi diam seribu bahasa apabila Interpol mengeluarkan waran tangkap ke atas tokoh ulama Dr Yusuf Al-Qaradawi.

"Sedangkan Al-Qaradawi seorang ulama muktabar yang disanjung tinggi, presiden Persatuan Ulama Sedunia malah Tokoh Maal Hijrah yang diiktiraf kerajaan Malaysia,” katanya.

Pasukan pembela Phua dilaporkan sudah menyerahkan surat Zahid, yang dilabel “sulit dan rahsia”, kepada Mahkamah Daerah Las Vegas di Amerika Syarikat baru-baru ini.

Peguam Phua, sejak penahanannya pada Julai, dengan konsisten menafikan tuduhan yang anak guam mereka ada kaitan dengan kongsi gelap Hong Kong.

Dalam surat itu, Zahid dikatakan tidak menjelaskan bentuk keselamatan negara yang dibantu Phua dan pejabatnya juga tidak dapat dihubungi bagi mendapat sebarang komen, lapor SCMP.

Phua, 50, dan anaknya, dituduh menjalankan operasi perjudian haram dari Hotel Caesar’s Palace di Las Vegas ketika Piala Dunia di Brazil, Julai tahun lepas. – 3 Januari, 2015.

COPY PASTE SEPENUHNYA DARI TMI

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.