Followers

Friday, January 30, 2015

Nenek Tidak Tahu Apa Lagi Nak Beritahu Cucu



GEORGETOWN: Seorang warga emas yang dikenali sebagai Moey, 60-an berkata beliau tidak tahu apa lagi alasan yang boleh diberikan kepada dua orang cucunya berhubung kematian ibu mereka dalam kemalangan pesawat MH370.

"Selama hampir setahun saya terpaksa menipu cucu-cucu saya bahawa ibu mereka bekerja di tempat yang jauh bila mereka bertanya mengenai ibu mereka," katanya.

Cucunya yang berusia tiga dan lima tahun kini tinggal bersama menantunya di Kuala Lumpur selepas kematian anaknya Guan Hua Jin dalam kemalangan pesawat itu.

"Menjelang sambutan Tahun Baharu Cina ini, saya tidak tahu nak cakap apa lagi kepada mereka," katanya kepada pemberita rumahnya di Bayan Baru di sini.

Hua Jin, seorang jurutera komputer berlepas ke Beijing dengan pesawat tersebut pada 8 Mac tahun lepas bagi menyertai kursus yang diatur syarikatnya.

Kerajaan hari ini mengisytihar kehilangan pesawat tersebut merupakan kemalangan dan kesemua 239 penumpang dan anak kapalnya dianggap telah terkorban.

Namun usaha mencari akan tetap diteruskan.

Moey berkata, beliau sangat merindui anak bongsunya itu dan berdoa agar anaknya kembali ke pangkuan keluarga. - BERNAMA
 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.