Followers

Thursday, January 1, 2015

K'jaan Umno-PAS Kelantan? TPM hanya ketawa

  
 Timbalan perdana menteri hanya ketawa ketika diajukan soalan sama ada PAS dan Umno di Kelantan perlu membentuk kerajaan campuran dalam usaha membaik pulih negeri.


Walaupun tidak menolaknya, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan  bahawa yang penting sekarang, kedua-dua pihak menjalankan tanggungjawabnya.

"Tak apalah... kalau nak ada (kerajaan campuran) pun boleh.

"Kalau tak sampai ke peringkat itu, di peringkat sekarang ini kita tahu menjadi tanggungjawab kedua-kedua kerajaan negeri dan persekutuan (untuk membaikpulih Kelantan).

"Bukan saja di Kelantan tapi negeri-negeri lain juga," katanya pada sidang media di ibu pejabat TNB di Bangsar, Kuala Lumpur.

Pemilik Sinar Harian Datuk Hussamuddin Yaacub, yang juga anak Kelantan, mencadangkan penggabungan itu demi melancarkan pemulihan selepas banjir.

Naib Presiden PAS Datuk Husam PAS bagaimanapun menolak pandangan itu dan menggesa Petronas menyumbang dana kepada tabung khas pemulihan banjir.

Selain itu, Muhyiddin yang juga pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara berkata, walaupun tidak semua harus dibebankan kepada kerajaan pusat, namun pihaknya memahami bahawa Kelantan tidak mempunyai sumber kewangan mencukupi.

Justeru, katanya, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan sebahagian peruntukan kepada mangsa banjir di Kelantan.

'Kelantan tak ada sumber kewangan'

Malah, selain peruntukan, kerajaan juga akan memastikan sumbangan berpatutan diberi bagi menyelesaikan masalah utama yang melanda negeri itu.

"Tak semua saya fikir harus dibebankan kepada kerajaan persekutuan tetapi dalam kes kerajaan Kelantan kita tahu mereka tiada kemampuan.

"Bukan pasal politik tetapi mereka tak ada sumber kewangan. Tapi soal utamanya nasib rakyat Kelantan mesti terbela.

"Jadi cara bagaimana? Kerajaan pusat sendiri akan ambil inisiatif untuk membantu meringankan beban mereka termasuk membina rumah sementara dan kekal, bantuan kebajikan dan lain-lain supaya kehidupan mereka dapat dipulihkan," kata Muhyiddin. 



Malaysiakini

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.