Followers

Monday, January 19, 2015

Kerusi meja nasi kandar 'Line Clear' dirampas

 
 
Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) hari ini merampas kerusi dan meja premis nasi kandar 'Line Clear' kerana didakwa menjalankan perniagaan tanpa lesen bagi tahun 2015.
  
Pengusaha restoran nasi kandar terkenal itu, Abdul Hamid Seeni Pakir, 65, mendakwa Restoran Line Clear yang beroperasi 24 jam itu didatangi sepasukan anggota penguatkuasa pada pukul 3.30 pagi dan mengangkut kira-kira 30 kerusi dan meja di kaki lima premis itu.
  
"Masa itu ada kira-kira 20 pelanggan di kedai dan pekerja hanya tengok penguatkuasa angkut barang itu masuk ke dalam lori mereka," katanya kepada pemberita di kedainya di Jalan Penang di Georgetown.
  
Beliau yang mengaku berniaga tanpa lesen sejak memegang giliran berniaga di premis itu pada 2008, mendakwa tidak menerima sebarang notis dan penjelasan daripada MPPP berhubung perkara itu.
  
Abdul Hamid berkata beliau dan tiga pewaris lain restoran yang diasaskan bapanya itu mengamalkan sistem giliran iaitu setahun operasi bagi setiap seorang  sejak 1950-an.

Abdul Hamid berkata beliau pernah memohon lesen sekurang-kurangnya lima kali iaitu pada 2006, 2009, 2010, 2011 dan 2012 namun tidak diluluskan MPPP.
  
Sementara itu, Jabatan Korporat Bahagian Perhubungan Awam MPPP berkata tindakan itu diambil selaras dengan peruntukan Undang-undang Kecil Penjaja 1979.
  
"Tindakan penguatkuasaan ini dijalankan kerana pengusaha berkenaan menjalankan aktiviti perniagaan tanpa lesen bagi tahun 2015," kata jabatan itu dalam kenyataan di Georgetown.
  
Kenyataan itu menyebut MPPP telah mengeluarkan lesen kepada pengusaha baru mengikut keputusan yang dibuat MPPP pada 8 Okt tahun lepas.
  
Dalam sidang akhbar 2 Jun tahun lepas, Pengarah Bahagian Pelesenan MPPP Azman Sirun berkata menurut rekod, lesen telah dikeluarkan atas nama Sahubarali China Mohd Hanibah, Abdul Latif Thulkarunai dan Pathumah Iskandar untuk menjalankan perniagaan di tapak itu.
  
-Bernama
 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.