Followers

Friday, January 2, 2015

KELANTAN RUGI RM1 BILION, NAJIB WAJAR SERAH ROYALTI PETROLEUM KEPADA KELANTAN

Surat terbuka Salahuddin kepada PM Najib


Surat Terbuka Kepada YAB Datuk Seri Najib Abd Razak, Perdana Menteri Malaysia

Assalamualaikum Wr th

Jangan Menambah Deraian Air Mata Rakyat Kelantan

Tragedi banjir yang melanda negeri Kelantan beberapa hari yang lalu adalah merupakan yang terbesar dalam sejarah negara.

Kesan daripada tragedi ini sangat menyayat hati seluruh rakyat di negara ini. Kemusnahan harta benda dan derita yang terpaksa ditanggung oleh rakyat Kelantan tidak ada ayat dan bahasa yang mampu menterjemahkannya.

Saya mengambil maklum bahawa YAB telah menyaksikan sendiri kemusnahan yang berlaku akibat banjir besar ini terutama beberapa kampung di Manek Urai.

Sebagai seorang Perdana Menteri, YAB pastinya dapat memahami betapa sukarnya rakyat yang terlibat untuk membina semula kehidupan mereka apabila rumah kediaman yang telah musnah sama sekali.

Oleh yang demikian saya harap YAB supaya memulangkan kembali bayaran royalti petroleum yang sememangnya menjadi hak kerajaan dan rakyat negeri Kelantan.

Adalah sangat wajar dan sampai masanya YAB meletakkan kepentingan rakyat dan kemanusiaan di tempat yang sebenarnya.

Akhirnya saya berdoa ke hadrat Allah SWT semoga membuka hati nurani YAB untuk memberi hak kepada yang berhak dan meletakkan keadilan sebagai sifat utama dalam diri YAB.

Sekiranya Wassalam

Salahuddin Ayub
Naib Presiden PAS


Pengarah Pusat Pengurusan Bencana Malaysia (MEDM)Nilai Kerugian Banjir RM1 Bilion Di Kelantan – Tok Pa


KUALA LUMPUR – Bencana banjir besar yang menimpa wilayah Pantai Timur dan kemudian beberapa negeri lain di Pantai Barat akhir tahun lalu kemungkinan bakal menyebabkan nilai kerugian harta benda awam lebih sebilion ringgit.

Malah, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed menganggarkan di Kelantan sahaja sebagai negeri yang paling terjejas teruk, nilai kerugian tersebut boleh ditaksirkan menghampiri angka RM1 bilion.

Perkara itu dilaporkan portal berita tempatan AgendaDaily dalam tweet terbaharu yang turut menyiarkan kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai berkata, anggaran kerosakan di sekolah-sekolah kira-kira RM350 juta.

Ia berikutan kira-kira 340 buah sekolah di tujuh buah negeri yang dilanda banjir terpaksa ditutup operasi akibat sama ada dijadikan sebagai pusat pemindahan sementara untuk mangsa banjir atau langsung turut tenggelam ekoran bencana tersebut.

Mustapa yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bencana Banjir Peringkat Negeri Kelantan pada minggu lalu mengumumkan kerajaan Pusat akan mengenal pasti prasarana yang rosak disebabkan banjir di semua 10 buah jajahan di negeri berkenaan.

Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Shukry Mohd. Salleh ujar beliau, ditugaskan untuk mengumpul segala maklumat berhubung kerosakan jalan raya, hospital, sekolah dan sebagainya.

Kerja-kerja tersebut dijangka mengambil masa dua minggu kerana pihak berkenaan dijangka menempuh cabaran getir memasuki kawasan luar bandar yang terputus hubungan darat selain sistem komunikasi yang belum pulih sepenuhnya.

Dalam pada itu, Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan menganggarkan peruntukan besar sehingga RM350 juta diperlukan bagi membaiki pulih infrastruktur ratusan buah sekolah yang rosak akibat banjir terburuk selepas 2005 dan 2006 lalu.

Beliau menyatakan demikian kepada pemberita ketika melawat mangsa banjir di Sekolah Menengah Kebangsaan Lambor Kiri di Perak sebelum meninjau perkampungan Orang Asli di Gerik bersama Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir. – Agensi

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.