Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menjangka kadar bayaran untuk
mendapatkan lesen memandu kereta dan motosikal akan turun berikutan
peraturan baharu yang menetapkan pemohon lesen hanya perlu menduduki
satu ujian undang-undang.
Ketua
Pengarahnya, Datuk Seri Ismail Ahmad berkata pihaknya akan membuat
beberapa perubahan dalam sistem komputer sebelum melaksanakan sistem
satu ujian undang-undang itu.
"JPJ akan laksanakan secepat
mungkin untuk kemudahan pelbagai pihak dan saya rasa harga untuk
mengambil lesen memandu kereta dan motosikal selepas ini lebih murah
sedikit," katanya kepada pemberita selepas Program Satu komuniti Satu
JPJ, di Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Muda, Penaga hari ini.
Program transformasi JPJ dalam usaha memberikan perkhidmatan yang lancar
kepada penduduk di luar bandar itu dirasmikan Ketua Pengarah
Perkhidmatan Awam Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal.
Semalam,
Kementerian Pengangkutan memutuskan individu yang ingin mengambil lesen
memandu kereta dan motosikal kini hanya perlu menduduki satu ujian
undang-undang.
Sebelum ini, mereka yang ingin mengambil lesen
kereta dan motosikal perlu mempelajari modul kereta dan modul motosikal
berasingan serta menduduki dua ujian berasingan.
Sementara itu,
dalam perkembangan lain, Ismail menafikan laporan sebuah portal berita
yang melaporkan kemalangan maut melibatkan 4 orang di Melaka disebabkan
sebuah kereta diburu JPJ.
Beliau berkata hasil siasatan pihaknya
mendapati 4 anggota JPJ yang menjalankan tugas rondaan terserempak
dengan kemalangan itu dan memberi bantuan sementara menunggu polis tiba
ke tempat kejadian.
"Berita yang disiarkan itu adalah satu
tohmahan kepada JPJ dan sebenarnya tiada keperluan untuk penguat kuasa
agensi berkenaan mengejar kenderaan berkenaan kerana ia bukan kes
jenayah.
"Pihak JPJ juga mendapatkan maklumat daripada polis dan
bomba di sana (Melaka), mereka maklumkan tiada laporan kereta terlibat
dalam kemalangan itu dikejar penguat kuasa kami," katanya.
Dalam
kejadian itu, 4 sekeluarga maut setelah kereta Perodua Kancil yang
dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan dengan 2 kereta lain di Kampung
Bukit Gereja, Jalan Serkam Pantai, Merlimau, Melaka, petang semalam.
Portal berita berkenaan melaporkan sebuah daripada kereta yang terlibat
dalam kemalangan itu adalah kenderaan yang diburu JPJ sebelum melanggar
kereta Perodua Kancil berkenaan. – Bernama
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.