Followers

Saturday, January 3, 2015

Istimewa sangatkah orang ini?

 Kenapa sosok begini dilibatkan dalam projek yang berkaitan dengan keselamatan negara? Tak cukup lagikah dengan kepakaran Polis dan Tentera kita yang diguna pakai sejak merdeka?


Zahid tidak pertahan ketua kongsi gelap, kata peguam Umno OLEH LEE SHI-IAN Published:

3 January 2015 Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tidak mempertahankan ketua judi Paul Phua Wei Seng dalam sebuah kes jenayah. – Gambar The Malaysian Insider oleh Nazir Sufari, 3 Januari, 2015.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tidak mempertahankan ketua judi Paul Phua Wei Seng kerana surat yang ditulisnya hanya merupakan tindakbalas kepada peguam Paul, kata Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

Peguam Umno itu berkata, pada Ogos tahun lepas, firma guamannya diupah Chesnoff & Schonfeld bagi membantunya dalam sebuah kes jenayah yang masih belum selesai melibatkan Paul dan anaknya Darren Phua Wai Kit.

Katanya, syarikatnya dan Chesnoff & Schonfeld menulis surat kepada Menteri Dalam Negeri meminta bantuannya berkongsi sebarang maklumat secara langsung dengan Biro Siasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat.

Ini kerana, Zahid berada dalam posisi terbaik menyiasat dengan jabatan polis bagi menentukan sama ada Paul ialah seorang anggota dan ada kaitan dengan kongsi gelap 14K Hong Kong.

"Saya sudah 40 tahun dalam bidang perdagangan undang-undang, saya tak pernah dengar tentang kongsi gelap 14K," Shafee memberitahu sidang akhbar di pejabatnya di Jalan Tunku, Kuala Lumpur hari ini.

"Apa yang Zahid katakan tepat dan benar. Paul juga memberi bantuan kepada beberapa agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri dalam hal berkaitan keselamatan dan kepentingan negara."

Paul, bekas pengendali kasino Macau, menghadapi tuduhan pertaruhan sukan haram di Las Vegas selepas ditangkap semasa Piala Dunia bola sepak FIFA tahun lepas.

Pada malam tahun baru, South China Morning Post (SCMP) melaporkan, Zahid menghantar surat kepada FBI mempertahankan Paul. SCMP juga menyiarkan kandungan surat itu, di mana Zahid mengatakan Paul bukan ahli kongsi gelap 14K di Malaysia.

Surat itu, yang ditujukan kepada Timbalan Pengarah FBI Mark F Giuliano, mendakwa Paul membantu Putrajaya dalam projek yang ada kaitan dengan keselamatan negara.

Shafee berkata apabila SCMP melaporkan berita mengenai surat Zahid "mempertahankan" Paul pada Rabu, beliau bimbang berita itu berat sebelah. "Berita itu, termasuk yang disiarkan media tempatan, berat sebelah seolah-olah Zahid melakukan sesuatu menyebelahi seorang suspek.

Tetapi, beliau tidak mempertahankan karakter lelaki itu," kata Shafee. Beliau berkata Zahid amat mengetahui hak dan undang-undang berkaitan mendedahkan maklumat dan keselamatan negara.

"Zahid sedar apa maklumat dia boleh beri dan apa yang tidak boleh," kata Shafee, sambil menambah ia bukan kali pertama dia meminta maklumat daripada Menteri Dalam Negeri.

"Undang-undang memberi saya hak mengetahui butiran itu, cuma saya tidak boleh mendedahkan maklumat itu." Beliau menegaskan yang Zahid tidak mengatakan dalam suratnya sama ada Paul bersalah atau tidak melakukan kesalahan judi itu yang mengakibatkan dia ditangkap di Las Vegas.

"Zahid merasakan perlu untuk membetulkan tanggapan yang Paul ialah ahli kongsi gelap 14K di Malaysia kerana dakwaan yang dibuat terhadapnya itu kabur," katanya.

Shafee berkata, tiada pengecualian dalam hal Zahid memberi maklumat itu kepada FBI, menjelaskan yang beliau meminta Menteri Dalam Negeri itu mengarahkan suratnya terus kepada FBI.

Tambahan pula, katanya, satu dokumen dalaman FBI berdasarkan maklumat daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) ialah tidak tepat.

"PDRM mengenal pasti kongsi gelap 14K sebagai sindiket jenayah terancang tempatan yang terlibat dalam dadah yang tidak dibenarkan, judi haram dan aktiviti pengubahan wang haram di Malaysia," kata dokumen dalaman FBI itu bertarikh 17 Julai, 2008.

"PDRM juga mengenal pasti rakyat Malaysia bernama Phua Wei Seng sebagai ahli 14K."

Shafee berkata, beliau secara peribadi menghubungi pegawai-pegawai tinggi dalam pasukan polis dan menerima maklumat terus dari sumbernya.

"Laporan tahun 2008 itu salah, mana ada kumpulan kongsi gelap 14K di Malaysia, zaman Ghee Hin dan Hai San pun tidak ada," katanya. Ghee Hin dan Hai San ialah dua kumpulan kongsi gelap paling awal ditubuhkan di Malaya dan Singapura pada abad ke-18.

"FBI silap dalam fakta mereka, tidak ada kongsi gelap 14K di Malaysia," kata Shafee, sambil menambah yang Paul masih belum dibicarakan, oleh itu dia tidak sepatutnya dianggap bersalah hingga terbukti bersalah.

Dia juga berkata, kesalahan yang didakwa dilakukan Paul hanya satu kesalahan pendapatan di mana dia dituduh menjalankan aktiviti perjudian tanpa lesen.

"Dia tidak membunuh sesiapa. Kesalahannya tidak sebesar mana," kata Shafee, sambil menambah pesalah biasanya menerima hukuman yang ringan beserta denda.

"Berhubung isu keselamatan negara, sudah tentu saya tidak boleh bercakap lebih lanjut mengenainya, dan saya juga tidak tahu bagaimana Paul membantu kerajaan Malaysia.

"Saya tak yakin Zahid juga boleh mendedahkan perkara ini kerana ia melibatkan keselamatan negara.

"Tetapi, apa yang saya ada kuasa untuk bercakap ialah, dalam usaha berterusan kerajaan mengikuti perkembangan terbaharu hal keselamatan negara, memang perlu penyertaan dari orang awam. Shafee juga berkata Chesnoff & Schonfeld ialah firma guaman yang terkenal di Amerika Syarikat yang selalunya mewakili selebriti, oleh itu, Paul memiliki pasukan peguam yang kuat. – 3 Januari, 2015.


Posted by mountdweller

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.