Followers

Thursday, January 1, 2015

Golongan Melayu moderat harap Malaysia bebas ekstremis pada 2015 - OLEH MOHD FARHAN DARWIS DAN MD IZWAN

Khamis, 01 Januari, 2015.


Golongan Melayu moderat berharap golongan sederhana bangkit agar menenggelamkan agenda golongan ekstremis bagi memastikan negara terus harmoni.

Golongan Melayu moderat berharap golongan sederhana bangkit agar menenggelamkan agenda golongan ekstremis bagi memastikan negara terus harmoni.

Kalendar 2014 melabuhkan tirainya, sekaligus membuka lembaran baharu kepada realiti kehidupan masyarakat Malaysia yang dihimpit suasana tegang, sama ada dari segi politik mahupun kegiatan ekstremisme kumpulan-kumpulan tertentu.

Dengan harapan 2015 akan menjadi lebih baik untuk rakyat, dan juga untuk pembangunan negara, golongan Melayu moderat begitu mengharapkan agar mereka yang berpandangan sederhana dapat bersatu bagi menolak elemen melampau yang dibawa pihak tertentu.

Selari dengan konsep "Wasatiyah" yang dilaungkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, mereka menggesa suara golongan sederhana yang kini mulai bangkit agar menenggelamkan agenda ekstremis kerana khuatir Malaysia akan binasa gara-gara kumpulan berkenaan.

"Saya mengharapkan di Malaysia ini boleh wujud suasana musyawarah, seperti ketika zaman selepas 13 Mei 1969," kata Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Datuk Nur Jazlan Mohamed (gambar), merujuk kepada sejarah hitam negara susulan persengketaan antara kaum suatu ketika dahulu.

"Bukan kita minta ia berulang, tetapi selepas tragedi itu, kita boleh duduk semeja, tidak persoal hal agama dan bangsa, duduk untuk berbincang dengan tolak ansur bagi menyelesaikan masalah negara," katanya kepada The Malaysian Insider.

Ahli Parlimen Pulai daripada Barisan Nasional (BN) itu dikenali sebagai antara pemimpin yang membawa suara progresif dan kesederhanaan sehingga dilabel "bangsat" oleh kumpulan pendesak Melayu, Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa).

Perkasa dan Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) dilabel sebagai "suara-suara ekstremis" oleh pengkritik, kerana sering mengeluarkan kenyataan terbuka mengecam komuniti lain dalam perjuangan mereka mempertahankan hak dan kuasa Melayu, agama Islam dan institusi beraja di negara ini.

"Sekarang ini, ekonomi pun akan perlahan, perlu suasana yang tenteram. Ini nasihat kepada semua, Cina, India, Melayu, Perkasa, kepada sesiapa sahaja.

"Malaysia ini negara sederhana, bukan ekstremis, itu kesimpulannya. Siapa label diri mereka ekstremis, mereka rasa sendiri," kata Nur Jazlan.

Beliau berkata, isu berkaitan agama dan kaum tidak seharusnya terlalu diketengahkan dan dalam masa sama, pihak tertentu tidak perlu terlalu sensitif hingga menyukarkan keadaan.

"Jangan cerita sangat pasal agama dan bangsa, jangan terlalu sensitif," katanya.

Mengulas peranannya sebagai pemantau perbelanjaan pengurusan kewangan kerajaan, Nur Jazlan mengharapkan Putrajaya berani bertanggungjawab dengan perbelanjaan mereka dan menguruskan kewangan negara melalui cara yang lebih telus.

"Sebagai pengerusi PAC, saya mengharapkan perbelanjaan negara lebih telus dan kerajaan berani mengambil tanggungjawab," katanya menyuarakan harapan untuk 2015.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Gerakan Keserhanaan Global (GMM) Datuk Saifuddin Abdullah (gambar) turut mengharapkan kebangkitan kumpulan sederhana serta memuji tindakan Kumpulan 25 Tokoh Melayu Profesional.

"Saya mengharapkan kebangkitan kumpulan sederhana bagi mengatasi kumpulan ekstremis berhaluan kanan.

"Contoh baik adalah kumpulan 25 bekas pegawai kanan Melayu, disokong 33 orang yang menamakan diri mereka 'Malaysian Moderates', dan kumpulan belia, pelajar Muslim Timur Tengah, serta kempen #Iam26," katanya kepada The Malaysian Insider.

Bekas menteri Kabinet yang turut dikritik Perkasa itu berkata, kesederhanaan adalah identiti rakyat Malaysia, namun isu membabitkan agama dan kaum kebelakangan ini menunjukkan identiti itu seakan-akan bermasalah.

"Tahun 2015 perlu kita jadikan tahun kesederhanaan, dari segi nilai dan pendekatan kita, iaitu pandangan alam, pemikiran, dasar, program dan penilaian dalam setiap bidang.

"Kesederhanaan menjadi nadi dalam identiti masyarakat Malaysia. Tetapi malangnya, terutama dari segi etnik dan agama kebelakangan ini, ia seakan-akan berhadapan masalah," katanya.

Malaysia menghadapi krisis hubungan antara agama akibat beberapa isu terutama berkaitan larangan yang dikenakan pihak berkuasa agama terhadap orang bukan Islam daripada menggunakan kalimah 'Allah'.

Ia mengakibatkan beberapa kes seperti rampasan Bible berbahasa Melayu dan Iban oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) awal tahun lalu, rampasan bahan agama Kristian yang diimport dari Indonesia di lapangan terbang serta gesaan Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali agar umat Islam membakar Bible yang mengandungi perkataan Allah.

Bagi menangani gejala ekstremis, Putrajaya mengambil pendirian bukan sahaja dengan mengekalkan Akta Hasutan 1948, tetapi turut memperkukuhkannya dengan penambahan peruntukan melarang kritikan terhadap mana-mana agama dan kaum di negara dan melarang mana-mana pihak bercakap mengenai membawa Sabah dan Sarawak keluar dari Malaysia.

Bekas Timbalan Perdana Menteri Tun Musa Hitam bagaimanapun berpendapat, 2015 akan menjadi tahun yang paling mencabar buat Malaysia apabila kepentingan politik dan sosial akan menguji kepimpinan, baik daripada Barisan Nasional (BN) mahupun Pakatan Rakyat (PR).

"Sejarah adalah pengalaman pengajaran yang terbaik yang boleh kita boleh pelajari. Tuntutan ekstremis yang kita berikan perhatian hari ini hanyalah di pertengahan jalan.

"Kesederhanaan perlu diangkat bukan sahaja kerana tuntutan bapa-bapa kemerdekaan kita terdahulu, tetapi juga kerana itu satu-satunya cara negara kita akan kekal aman dan harmoni demi rakyat," katanya melalui khidmat pesanan ringkas kepada The Malaysian Insider.

Sementara itu, pengasas Kumpulan Aura Merdeka, Tariq Ismail berpendapat, Islam tidak mengajar umatnya bersifat perkauman dan sesiapa yang memperjuangkan agenda perkauman tidak berlandaskan Islam.

"Hentikan melabel orang yang mempunyai pandangan berbeza. Dalam Islam, tidak ada perkauman. Kalau mahu bercakap tentang Islam, kamu tidak boleh bercakap tentang bangsa," kata cucu kepada Tun Dr Ismail Abdul Rahman, bekas timbalan perdana menteri Malaysia, yang bertanggungjawab mewujudkan petisyen 'Iam#26.'

Petisyen yang diwujudkan 25 individu Melayu profesional itu menggesa kerajaan segera memulakan dialog nasional mengenai kedudukan undang-undang Islam bagi mengurangkan jurang perkauman dalam isu berkenaan.

Sementara itu, pemimpin Sisters In Islam (SIS), pertubuhan yang diharamkan pihak berkuasa Islam Selangor kerana didakwa mempromosi liberalisme, mengharapkan rakyat Malaysia bangkit dan menyedari, suara ekstremis tidak mewakili suara keseluruhan rakyat.

Pengarah Eksekutifnya Ratna Osman berkata, apabila manusia bersikap tamak dan mementingkan diri sendiri, dan mula meletakkan label atas komuniti lain, ia sekaligus menerbitkan bibit-bibit perpecahan.

"Saya harap rakyat Malaysia yang cintakan keamanan akan bangkit dan tidak membenarkan negara ini dimanipulasi suara ekstremis.

"Mereka tidak mewakili kita sebagai rakyat Malaysia, dan tidak seharusnya dibenarkan menyebarkan agenda berniat jahat.

"Bila manusia menjadi tamak, memikirkan mereka adalah yang paling tinggi darjat dan kedudukannya dan melabelkan orang lain, perpecahan akan timbul," katanya. – 31 Disember, 2014.


 http://www.themalaysianinsider.com/bahasa

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.