Followers

Friday, January 23, 2015

Dua TNC UM Ditukar Kerana Tidak Tegas Dan Pro Pakatan


Universiti tertua negara Universiti Malaya (UM) bakal kehilangan seorang lagi tokoh akademik terkemuka dan mengembalikan debat mengenai kebebasan akademik di institusi pengajian Malaysia apabila Putrajaya enggan menyambung khidmat profesor, hanya kerana tidak menyokong Umno, dedah satu sumber.

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Prof Dr Mohd Hamdi Abd Shukor tidak akan disambung kontraknya sementara seorang lagi timbalan naib canselor Datuk Dr Rohana Yusof yang menguruskan hal ehwal pelajar “terlalu berlembut” dengan pelajar, kata sumber itu lagi.


Kontrak selama tiga tahun Hamdi tamat 31 Disember lalu dan kini merupakan pensyarah biasa di Fakulti Kejuruteraan UM dan dikatakan bakal mengambil cuti belajar (sabatikal) tidak lama lagi.

"Saya difahamkan nama saya tidak diluluskan oleh Kementerian Pelajaran untuk disambung semula selepas dihantar oleh UM," katanya kepada The Malaysian Insider ketika dihubungi.

Tiga minggu selepas mengosongkan jawatannya, UM masih belum melantik timbalan naib canselor yang menguruskan hal akademik.

Sementara Rohana dikatakan akan ditukar kerana insiden baru-baru ini yang melibatkan kebebasan pelajar.

"UM akan mendapat seorang TNC HEP yang lebih keras elepas Rohana didakwa gagal mengawal pelajar," kata satu sumber universiti itu yang mengatakan, di bawah jagaan Rohana, demonstrasi besar-besaran di UM berlaku termasuk memecahkan pagar universiti ketika membawa masuk Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim ke kampus itu selepas universiti mengharamkan program tersebut.

Di bawah Rohana, pelajar juga berkhemah di kampus November lepas untuk memprotes tindakan disiplin terhadap 8 rakan mereka yang membawa Anwar masuk.

UM yang ditubuhkan pada 1949 melahirkan ramai pemimpin negara, menteri dalam kerajaan, ahli politik dan pemimpin masyarakat. Tetapi pelantikan pihak yang mengetuai universiti dibuat kerajaan pusat.



Sumber berkata menurut rekod Hamdi, dia dianggap sebagai profesor termuda dan cemerlang di universiti itu apabila dilantik sebagai profesor penuh pada 2010 ketika berumur 39 tahun, semasa menjadi Dekan Fakulti Kejuruteraan UM.
Hamdi yang berasal dari Muar merupakan zamalah kepada Institution of Mechanical Engineers (United Kingdom) dan jurutera berdaftar dengan UK Engineering Council.

"Walaupun pencapaiannya amat cemerlang, termasuk dalam pentadbiran dan antara yang terbaik, tetapi khidmatnya tidak disambung," kata satu sumber yang menyifatkannya kerugian besar kepada UM.

"Potensi Prof Hamdi ni sangat besar.”

Sumber menyalahkan naib canselor UM kerana terlalu lemah dan terlalu menurut kehendak Umno.

“Tidak ada ruang untuk berbeza pandangan kerana menyokong Umno merupakan kriteria utama,” kata sumber.

UM juga bakal kehilangan Prof Datuk Dr Redhuan Othman jika memilih untuk tidak meneruskan khidmatnya selepas bersara tahun depan.

Khidmatnya sebagai dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial tidak disambung sebelum ini atas alasan sudah hampir bersara selepas tempohnya tamat Jun tahun lepas.

Tahun lepas Redhuan disingkirkan sebagai pengarah Pusat Kajian Politik dan Pilihan Raya UM (UMcedel) selepas kajian mereka tidak menggembirakan parti pemerintah.

"Suatu yang amat malang jika ini berlaku kerana Redhuan sudah membuktikan kecemerlangan, termasuklah menghasilkan graduan PhD teramai dalam konvokesyen lalu.

"Dengan tren pelantikan lepas bersara yang berlaku sebelum ini dan khidmat beliau yang masih diperlukan, isu ini mungkin tidak timbul.

“Lagipun semua dekan dan ramai profesor baru bersara sebelum ini dilanjutkan perkhidmatan," kata sumber.

UM sebelum ini melantik semula Pengarah Pusat Kajian Kecemerlangan Melayu Prof Datuk Dr Yaacob Harun yang sudah pencen.

Pengarah Pusat Pendidikan Berterusan Universiti Malaya (UMCCed) Prof Datuk Dr Mansor Mat Isa turut dilantik walaupun sudah pencen.

Sejak Kementerian Pendidikan mengumumkan pelantikan Prof Datuk Dr Mohd Amin Jalaludin sebagai naib canselor yang baharu, pelbagai isu melanda UM.

Amin gagal mempertahankan dan tidak mempunyai pendirian apabila Prof Madya Dr Azmi Sharom didakwa mengikut Akta Hasutan 1948 tahun lepas berhubung isu krisis Perlembagaan di Perak.

Terbaru pendiriannya dalam isu hukuman gantung dua semester terhadap Fahmi Zainol kerana membawa Anwar masuk ke kampus.

Kebanyakan warga UM tidak berpuas hati dalam kes ini universiti terlalu mengambil sikap memihak.

Bagaimanapun UM membenarkan pemimpin Umno bertemu pelajar, tetapi Anwar yang merupakan ketua pembangkang dan alumuni UM tidak dibenarkan.

Lebih lucu apabila pihak pentadbiran UM membenarkan staf pulang awal pada hari tersebut atas alasan berlaku gangguan elektrik.

"Lucu, biasanya staf boleh pulang awal jika berlaku cuti tengah minggu yang bertembung dengan Deepavali atau Hari Raya Haji.

"Bagus juga Anwar datang kerana kami boleh balik awal", kata satu sumber daripada kakitangan pentadbiran.

Amin dikatakan terlalu lemah dan tiada pendirian dalam pembela kakitangan dan kepentingan UM selepas mengambil alih jawatan itu daripada Tan Sri Dr Ghauth Jasmon bermula 8 November 2013.

Berbeza dengan Ghauth yang dikenali kerana ketegasannya dalam mempertahankan kakitangan akademik daripada diganggu orang politik.

Ketegasan beliau membenarkan UM menikmati kebebasan akademik ketika memimpin universiti tertua itu.

– tmi


No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.