Followers

Sunday, January 11, 2015

'Charlie buktikan kenapa perlu akta hasutan'

 
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar menasihati rakyat Malaysia agar merenung kepentingan pengekalan Akta Hasutan 1948 di sebalik kejadian serangan di Paris, Perancis Rabu lepas.

"Ambillah iktibar kejadian di Paris. Itulah sebabnya kita memerlukan Akta Hasutan dan @PDRMsia tidak akan membiarkan penghasut agama," kata Khalid dalam laman Twitternya.

Beliau berkata undang-undang seperti Akta Hasutan berupaya membolehkan polis menghapus tindakan pelampau atau kumpulan ekstremis daripada peringkat awal.

Beliau turut menasihati rakyat Malaysia supaya berhati-hati dalam memberi sebarang komen agar tidak menyentuh sensitiviti mana-mana pihak.

Insiden keganasan selama tiga hari di Paris melibatkan sekumpulan bersenjata api dan bertopeng melepaskan tembakan di pejabat akhbar mingguan Charlie Hebdo menyebabkan 12 orang terbunuh dan tiga lagi cedera parah.

Khalid turut mengeluarkan kenyataan melalui laman Twitternya bahawa pasangan Amedy Coulibaly dan isterinya, Hayat Baumeddiene yang menawan beberapa tebusan di sebuah pasar Raya di Paris pada Jumaat lepas tidak pernah memasuki Malaysia seperti yang didakwa laporan media asing.

"Semakan @PDRMsia, Amedy Coulibaly dan isterinya, Hayat Baumeddiene yang ditembak mati di supermarket di Paris tidak dikesan masuk Malaysia," katanya.

Media asing baru-baru ini melaporkan bahawa pasangan tersebut pernah bercuti di Malaysia tetapi tidak menyatakan tarikh kunjungan mereka.

Coulibaly ditembak mati oleh polis sementara Boumeddiene melarikan diri ketika insiden berbalas tembakan dengan polis berlaku.

Penjenayah itu dikatakan mendesak pembebasan Cherif Kouachi, 32, dan Said Kouachi, 34, yang menyerang pejabat akhbar Charlie Hebdo serta membunuh 12 orang sebelum pasangan adik beradik itu ditembak mati di Dammartin-en-Goele.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.