Followers

Wednesday, January 28, 2015

Cetak, Potong Sendiri Duit Palsu Beli Telefon Pintar Kita Bantai

 
Gambar hiasan.

Kuala Lumpur: Cetak dan potong sendiri wang kertas not RM50 dan RM100. Itu dilakukan tiga penjenayah yang dikesan berjoli membeli pelbagai telefon pintar mahal menggunakan wang palsu.

Suspek yang melakukan pembelian melalui laman web dikesan memiliki pelbagai peralatan khas untuk mengimbas dan mencetak wang palsu dalam jumlah besar.

Kegiatan penipuan dilakukan suspek terhadap pihak bank itu bagaimanapun berjaya ditumpaskan polis jam 10 malam, Sabtu lalu.

Serbuan dilakukan sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras di dua lokasi berasingan iaitu di Taman Midah Cheras dan Taman Desa, Brickfields, di sini.

Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Chong Kok Sin berkata, tiga suspek berusia antara 30 hingga 60 tahun itu dipercayai bergiat aktif sejak Disember lalu.


“Pemeriksaan polis di lokasi pertama menemui 20 keping not kertas RM100 dan dua keping not kertas RM50 disyaki palsu. Turut ditemui sebilah pisau kerambit dan enam telefon pintar pelbagai jenama.

“Dalam serbuan kedua pula, polis merampas 44 keping not kertas RM100 yang disyaki palsu dan sudah siap dipotong,” katanya.

Katanya, turut ditemui 50 helai kertas A4 yang mana setiap helai mempunyai cetakan empat keping wang not RM100 yang belum dipotong.

“Polis turut merampas sebuah komputer riba dan pelbagai peralatan disyaki digunakan untuk memproses wang palsu,” katanya kepada Harian Metro, semalam.

Beliau berkata, tangkapan ke atas tiga suspek itu dilakukan selepas pihaknya menerima laporan berhubung penggunaan wang kertas palsu dalam urusan jual beli dalam talian.

“Suspek dikatakan akan membuat pembelian melalui laman web sebelum membuat bayaran menggunakan wang palsu.

“Setakat ini polis sudah menerima empat kes membabitkan modus operandi sama dengan jumlah kerugian sebanyak RM4,600,” katanya.

Difahamkan suspek akan memasukkan wang palsu itu ke dalam mesin deposit bank. -Harian Metro

Read more: http://www.kitabantai.info/2015/01/cetak-potong-sendiri-duit-palsu-beli.html#ixzz3Q6eoVwH4

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.