Followers

Friday, January 2, 2015

Bekalan darah jenis A dan AB diperlukan

 

Bekalan darah jenis A dan AB tidak mencukupi bagi menampung keperluan pesakit terutama di negeri terjejas banjir, kata Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya.
  
Justeru, beliau merayu orang ramai menderma darah dengan segera di Unit Bergerak Kempen Menderma Darah berhampiran ataupun Pusat Darah Negara kerana bekalan darah terutama kedua-dua jenis itu kini semakin berkurangan.
  
"Saya merayu kepada masyarakat untuk tampil menderma darah bagi membantu hospital yang kekurangan bekalan darah jenis A dan AB. Pendermaan boleh dilakukan di mana-mana negeri dan bukan hanya di negeri terjejas banjir sahaja.
  
"Setakat ini, darah jenis lain masih mencukupi namun bagi darah jenis A dan AB, ia tidak mencukupi dan penggunaannya terutama untuk hospital di negeri terjejas banjir amat kritikal," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Kelahiran Bayi Tahun Baharu 2015 di Hospital Kuala Lumpur (HKL), di ibunegara semalam.

Mengenai perkembangan isu banjir di Pantai Timur, Dr Hilmi berkata setakat ini, sebanyak 557 anggota Kementerian Kesihatan Malaysia dihantar ke Kelantan dan Pahang, termasuk dua pasukan kejuruteraan (6 orang) dan 15 anggota Psychological First Aid yang dihantar kelmarin.
  
Selain itu, katanya, hampir semua hospital di Kelantan mendapat bekalan terus elektrik daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) kecuali di Gua Musang, Jeli dan Tanah Merah yang masih menggunakan set generator TNB sahaja.
  
Menurut Hilmi, sebahagian daripada 12 unit genset 5kVa dihantar kelmarin dan dihantar pada semalam ke KK Dabong, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Dungun, PKD Kemaman serta sembilan buah klinik kesihatan dan klinik desa di Terengganu.
  
"Bantuan lain seperti alat penapisan air mudah alih telah dihantar ke Hospital Kuala Krai, Tanah Merah dan Pasir Mas termasuk di klinik kesihatan, klinik desa dan klinik pergigian di Kelantan.
  
"Selain itu 'Government Integrated Radio Network' telah dipasang di Pusat Kesediaan Krisis Dan Tindak Balas Nasional Kelantan, Terengganu dan Pahang dan set radio amatur pula dipasang dan telah diuji dengan Hospital Temerloh. Ia juga akan dipasang di Hospital Pekan dan Segamat," katanya.

- Bernama

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.