Followers

Saturday, January 3, 2015

1,000 orang di Hulu Dungun putus bekalan air

 
Lebih 1,000 penduduk di beberapa buah kampung di Hulu Dungun terputus bekalan air bersih sejak 12 hari lalu berikutan banjir.
    

Antara kampung terbabit ialah Kampung Kuala Jengai, Kampung Rantau Panjang, Kampung Chemuak serta Kampung Shukor yang penduduknya terpaksa bergantung kepada bekalan air yang dihantar Syarikat Air Terengganu (Satu) sejak beberapa hari lalu.
  
Bagaimanapun bekalan itu adalah terhad dan tidak mencukupi menyebabkan penduduk terpaksa mencari alternatif lain termasuk menadah air hujan serta mencari sumber air bukit untuk kegunaan harian seperti untuk mandi dan membasuh pakaian.
  
Ikram Hasyim, 32, dari Kampung Kuala Jengai berkata penduduk yang kebanyakannya merupakan mangsa banjir sukar untuk membersihkan rumah mereka dan menguruskan diri.
  
"Ketiadaan air sukar untuk membersihkan rumah yang dipenuhi lumpur hampir sejengkal.
  
"Tingkat atas rumah saya juga dipenuhi lumpur dan susah nak bersihkannya tanpa air yang mencukupi," katanya dan menambah bekalan yang disediakan pihak Satu dua hari sekali memang tidak mencukupi.
  
Mohd Nor Azizi Kamaruddin, guru Sekolah Kebangsaan Kuala Jengai berkata kerja-kerja membersihkan sekolahnya belum dapat dilakukan.
  
"Sesi persekolahan sudah nak bermula tetapi sekolah masih belum dapat dibersihkan sebab bekalan air tidak ada.
  
"Kami difahamkan loji utama yang menyalurkan air turut tenggelam, sebab itu bekalan air terputus," katanya.
  
- Bernama

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.