Followers

Thursday, December 11, 2014

Universiti tidak faham kebebasan akademik, kata bekas timbalan menteri OLEH MELATI A JALIL

Datuk Saifuddin Abdullah berpendapat pihak pentadbir universiti tidak memahami semangat pindaan akta yang memberikan lebih ruang kepada pelajar dalam politik. 

https://fbcdn-sphotos-h-a.akamaihd.net/hphotos-ak-xpf1/t31.0-8/10517625_316956708491593_1645438882118097003_o.jpg
Datuk Saifuddin Abdullah berpendapat pihak pentadbir universiti tidak memahami semangat pindaan akta yang memberikan lebih ruang kepada pelajar dalam politik. 

Tindakan Universiti Malaya (UM) menghukum pelajarnya menunjukkan institusi pengajian tinggi di Malaysia gagal memahami makna sebenar semangat di sebalik undang-undang membenarkan pelajar berpolitik, menurut bekas timbalan menteri pengajian tinggi yang berperanan dalam pindaan akta itu.

Datuk Saifuddin Abdullah berkata, walaupun Seksyen 15 Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 sudah dipinda, tindakan UM menjatuhkan hukuman kepada pelajarnya kerana menganjurkan pidato umum Datuk Seri Anwar Ibrahim menunjukkan pemahaman akademik dan intelektual yang lemah.

"Kita sudah meminda Seksyen 15 AUKU. Ketika saya masih timbalan menteri saya berjaya melakukan pindaan itu, malangnya kebanyakan pihak pentadbir universiti tidak memahami semangat pindaan," katanya kepada The Malaysian insider di Kuala Lumpur semalam.

Pindaan yang diluluskan di Dewan Rakyat pada April 2012 membenarkan pelajar universiti memegang jawatan dalam parti politik termasuk organisasi di kampus.

Beliau memberi contoh kes baru-baru ini di mana sebuah kumpulan pelajar universiti awam yang cuba menganjurkan forum bersama Suruhanjaya Hak Asasi (Suhakam) di kampus mereka ditolak.

Tanpa menamakan universiti terbabit, Saifuddin berkata kumpulan pelajar itu menawarkan untuk menaja keseluruhan program, tetapi pihak pengurusan universiti tidak membenarkannya.

"Mereka terpaksa mencari tempat lain pada saat-saat akhir, ini adalah contoh bagaimana pengurusan universiti tidak memahami semangat pindaan Seksyen 15," katanya.

AUKU sebelum ini dikritik kerana menjadi alat menyekat kebebasan pelajar dan menindas pemikiran mereka.
Saifuddin merupakan antara pemimpin Umno yang menyokong pindaan undang-undang bagi membenarkan pelajar berpolitik.

Sementara pindaan akta masih mengawal kebanyakan penganjuran program berbentuk politik dalam kampus, Saifuddin berkata ia mesti dilaksanakan dengan adil dan wajar.

Beliau menggambarkan keputusan UM menggantung dan mendenda Fahmi Zainol dan Safwan Shamsuddin adalah amat keras kerana mereka tidak melakukan apa-apa kesalahan.
Aktivisme pelajar semakin menyerlah baru-baru ini ekoran tindakan kerajaan menyekat kebebasan kampus. 

Aktivisme pelajar semakin menyerlah baru-baru ini ekoran tindakan kerajaan menyekat kebebasan kampus.

"Menghukum Safwan dengan menggantung satu semester dan Fahmi dua semester adalah amat keras. Mereka bukan penjenayah, tidak terlibat menipu peperiksaan yang boleh menerima hukuman sebegitu," kata Saifuddin, yang kini merupakan ketua pengarah eksekutif (CEO) Yayasan Kesederhanaan Global (GMM).

"Saya boleh faham sekiranya universiti mahu mengambil tindakan, tetapi adakah dua semester kepada Fahmi adil dan wajar? Saya tidak rasa begitu."

Selasa lalu, UM memutuskan menggantung Fahmi yang merupakan bekas presiden Persatuan Mahasiswa UM (PMUM) dan mengenakan denda RM600 kerana menganjurkan program membabitkan Anwar Oktober lalu.

Selain Fahmi, Safwan yang merupakan Pengerusi Pro Mahasiswa (Pro M) digantung pengajian selama satu semester serta denda RM300.

Empat yang lain, Haw Yu Hong, Khairul Anwar, Adam Fistival Wilfrid dan Syamimi Munira Mohamed masing-masing dikenakan denda sebanyak RM150 berserta amaran. Abraham Au digugurkan pertuduhan manakala Khairul Najib Hashim diberi amaran.

Saifuddin turut melahirkan kebimbangan kesan tindakan keras UM itu terhadap pelajar lain.

"Adakah keputusan itu akan melemahkan pelajar universiti terbabit dengan aktivisme? 
Ya dan tidak.  "Ya kepada sesetengah pelajar dan universiti mungkin berjaya menyebabkan perasaan takut dan tidak kepada mereka yang sabar kerana ia hanya akan menyebabkan mereka lebih kuat dan tidak akan berhenti.”

Beliau percaya situasi tersebut tidak akan menyekat pergerakan pelajar menyaksikan kebangkitan sejak kebelakangan ini.

"Tidak kira bagaimana drakonian pentadbiran universiti terhadap aktivis pelajar dan tidak kira apa tindakan termasuk dengan paksaan pengurangan intelek dalam kampus, aktivisme pelajar tidak akan mati ia akan menguatkan dan terus hidup dan bangkit," katanya.

Saifuddin juga bersetuju dengaan pensyarah undang-undang UM Prof Madya Dr Azmi Sharom yang menyifatkan Malaysia negara unik kerana pelajar pintar dibenarkan belajar di universiti tetapi tidak mempunyai hak bersuara.

"Saya setuju dengan kenyataan Azmi Shahrom kerana ia merupakan hujah kebanyakan kami selama ini,” katanya. – 11 Disember, 2014.


http://www.themalaysianinsider.com.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.