Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berharap agar Menteri
Besar, Azmin Ali akan menumpukan kepada pembangunan bola sepak dan
mencungkil bakat baru.
Baginda yang juga presiden Persatuan Bola sepak Selangor bimbang sekiranya prestasi pasukan negeri itu terus merosot.
“Bola sepak adalah permainan rakyat, dinikmati oleh ramai orang.
"Rekod Selangor cantik, jadi tolong pastikan kita tidak merosot terlalu teruk, jika tidak sukar untuk meningkat naik, atau untuk kita ambil tindakan,” katanya dalam satu wawancara disiarkan akhbar The Star.
Titahnya, kerajaan negeri perlu menumpukan pada latihan pelapis baru dan bukannya bergantung kepada bakat dari luar negara.
Menteri besar terdahulu, Tan Sri Khalid Ibrahim menerima kritikan kerana kedekut dalam perbelanjaan untuk sukan.
Pemuda PAS negeri pada September lalu mengeluh bahawa kekurangan dana untuk pemain bola negeri menyebabkan beberapa orang pemain ternamanya berpindah ke kelab bolasepak Johor.
Khalid yang mengawal rizab berjumlah hampir RM3 bilion menjawab keluhan itu dengan pertanyaan sama ada PAS Selangor mahu lebih banyak masjid atau dana untuk bolasepak.
Dalam wawancara tersebut, Sultan Selangor juga mahu masalah bekalan air di negeri itu diselesaikan menjelang 2015.
Baginda turut menekankan mengenai perlindungan alam sekitar dan menegaskan bahawa kawasan hutan simpan perlu meliputi 30 peratus daripada keluasan tanah negeri.
Apa-apa usaha untuk membatalkan pewartaan tanah tersebut perlu melalui prosedur sewajarnya, titah baginda yang mahu hukuman tegas ke atas pihak yang didapati membuka tanah secara haram di kawasan hutan simpan dan mencuri pasir.
Malaysiakini
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.