Followers

Thursday, December 11, 2014

SIS boleh cabar fatwa Selangor isytiharkannya sesat OLEH JENNIFER GOMEZ


Sisters In Islam (SIS) bersyukur kerana semakan kehakiman terhadap fatwa Selangor yang mengiystihar SIS sesat dibenarkan mahkamah, kata Pengarah Eksekutif SIS Ratna Othman

Sisters In Islam (SIS) bersyukur kerana semakan kehakiman terhadap fatwa Selangor yang mengiystihar SIS sesat dibenarkan mahkamah, kata Pengarah Eksekutif SIS Ratna Othman.

Sisters In Islam (SIS) kini boleh mencabar fatwa Selangor yang mengisytiharkan badan bukan kerajaan (NGO) itu membawa ajaran sesat.

Mahkamah Tinggi hari ini membenarkan SIS mencabar Jawatankuasa Fatwa Selangor, Majlis Agama Islam Selangor (Mais) dan kerajaan negeri.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Asmabi Mohamad, ketika membenarkan semakan kehakiman berkata, permohonan itu tidak serius dan menolak bantahan Pejabat Peguam Negara untuk megenepikan permohonan SIS.

Sebelum itu, peguam kanan persekutuan Shamsul Bolhassan mengemukakan terbitan fatwa melibatkan titah sultan yang menjamin hak pemerintah menjalankan tugasnya.

Katanya, menjadi hak multak kuasa raja-raja dan itu tidak boleh dimasukkan dalam semakan kehakiman.

Mengenai fatwa itu sendiri, Shamsul berhujah ia merupakan pandangan undang-undang rasmi oleh pakar perundangan Islam syariah.

"Disebabkan itu untuk menentukan kesahihan fatwa, ia perlu dilakukan pakar undang-undang yang unggul dan bukan melalui mahkamah sivil...tetapi mahkamah syariah," katanya ketika memohon mahkamah menolak permohonan kebenaran.

Peguam mewakili SIS, Datuk Malik Imtiaz Sarwar, dibantu peguam Nizam Bashir mengemukakan hujah kuasa mutlak sultan hanya tertakluk kepada memperakui fatwa yang disediakan oleh statut.

Beliau memberitahu mahkamah, ada keputusan daripada Mahkamah Persekutuan mengatakan jika fatwa bercanggah dengan had Perlembagaan Persekutuan, fatwa itu boleh dicabar.

Malik berkata fatwa melebihi bidang kuasa negeri apabila memutuskan sebarang unsur yang membawa kepada fahaman liberalisme dan pluralisme akan disekat.

"Kuasa ini hanya menteri dalam negeri mengikut Akta Penerbitan dan Mesin Cetak, dan di bawah Perlembagaan, yang terletak di bawah bidang kuasa pusat," katanya.

Malik berkata, fatwa mengenai SIS tidak boleh dilakukan kerana ia adalah badan pertubuhan, dan bukan membawa kepada mana-mana agama.

Pengarah Eksekutif SIS Ratna Othman ketika ditemui selepas keputusan itu bersyukur dan gembira kerana semakan kehakiman itu memberi peluang mendengar isu fatwa yang terlalu banyak membawa kesan.

"Kami akan mencari asas Perlembagaan tentang bagaimana fatwa boleh melebihi bidang kuasanya daripada kawalan hal ehwal agama negeri," katanya.

SIS menamakan Jawatankuasa Fatwa Selangor, Mais, dan kerajaan negeri sebagai responden ketika memfailkan semakan kehakiman pada 31 Oktober lalu.

SIS ketika memfailkan permohonan itu di Mahkamah Tinggi cuba membatalkan perintah itu dan juga mahu diisytiharkan sebagai pertubuhan yang dijamin di bawah Akta Syarikat 1965.

Ketetapan Selangor pada Julai mewartakan SIS, mana-mana individu, persatuan atau institusi yang menggalakkan liberalisme dan pluralisme sebagai terpesong daripada ajaran Islam.

Sebarang penerbitan yang menggalakkan pemikiran liberal dan plural akan diisytiharkan sebagai melanggar undang-undang dan boleh dirampas.

Ketetapan itu juga mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia menyekat mana-mana laman web yang menyalahi ajaran Islam.

Undang-undang itu digazetkan mengikut Seksyen 111 Enakmen Pentadbiran Islam (Selangor) 2003.

Ratna berkata, mereka baru menyedari ketetapaan itu melalui laman web Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada 20 Oktober lalu. – 10 Disember, 2014.


www.themalaysianinsider.com/bahasa.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.