Tajuk ini sepatutnya bukan cabar ajak dialog tetapi ajak dialog secara profesional
Inilah keadaannya bila politik persepsi menjadi ukuran umum..
Sepanjang masa PAS bertahaluf Siyasi dengan parti pembangkang
lain,sejauh manakah seruan atawa syiar dakwah islamiah khususiah dalam
bab Hudud dijalankan ?
Malang sekali, ruang dan peluang yang telah diberikan oleh Allah swt
selama ini tidak digunakan semaksimanya untuk memahamkan anggota PR..
Adakah rakyat terbanyak akan dsogokkan dengan politik Takfiri ?
PAS cabar Guan Eng dialog, jelaskan sebab tolak hudud
Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dicabar Ahli Majlis Syura
Umala PAS Zaharudin Muhammad untuk berdialog berhubung isu hudud.
Ahli Majlis Syura Ulama PAS Zaharudin Muhammad hari ini mencabar Lim
Guan Eng berdialog dengannya berhubung isu hudud, merujuk kenyataan yang
dibuat setiausaha agung DAP itu meminta Pakatan Rakyat (PR) memberi
jaminan hudud tidak akan dilaksanakan sekiranya ia mengambil alih
pemerintahan negara.
Zaharudin yang juga menantu Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang
berkata, dialog itu bagi memberi peluang kepada Lim menerangkan kenapa
beliau menolak hudud dan kepada PAS menjelaskan keadilan sistem Islam
kepada rakyat.
"PAS membawa politik Islam, politik damai dan politik dialog. Maka
dengan sebab itu saya menyeru YAB (Yang Amat Berhormat) berdialog di
depan masyarakat khususnya bukan Islam.
"Saya tidak kisah jika dalam dialog nanti YAB dengan jelas dan lantang
menyatakan tidak bersetuju dengan alternatif yang PAS bawa, tetapi yang
saya dan rakyat perlukan ialah fakta di sebalik penolakan lantang YAB,"
katanya dalam satu surat terbuka kepada Lim hari ini.
Surat itu, bertajuk “Cabaran dialog dengan Lim Guan Eng” diletakkan di status Facebooknya petang semalam.
Berucap pada Persidangan Nasional DAP 2014 di Subang Jaya pada Ahad, Lim
berkata, dalam usaha menunjukkan pembangkang mempunyai suara sama,
pendirian tidak melaksanakan hudud perlu jelas dinyatakan.
"Pakatan perlu buktikan kita boleh mentadbir lebih baik, ini dapat dilakukan dengan dasar yang jelas.
"Perlu ada pendirian tegas, kerajaan PR di Putrajaya tidak akan
melaksanakan undang-undang hudud. Itu mesti jelas sama sekali," kata
ahli Parlimen Bagan itu.
Zaharudin berkata beliau menulis surat itu atas kapasiti peribadi
sebagai seorang Islam dan rakyat Malaysia yang faham dan yakin tentang
keselamatan rakyat semakin terhimpit, jenayah menjadi-jadi serta
kewujudan unsur rasuah dalam pengurusan ekonomi negara.
Katanya, PAS menegakkan Islam melalui kerangka demokrasi dan menawarkan
sistem Islam yang adil sebagai alternatif kepada sistem sedia ada
sekarang.
"Dengan kata lain, PAS berusaha menjelaskan keadilan sistem Islam kepada
rakyat, kemudian terpulang kepada mereka untuk memilih atau menolak
dasar PAS.
"Bila rakyat sokong dengan memberikan undi dan kemenangan kepada PAS
sebagaimana berlaku di Kelantan, bermakna PAS berhak melaksanakan apa
yang termampu sebagaimana yang dijanjikan kepada rakyat.
"Dengan kerangka demokrasi, sepatutnya semua parti dalam PR bebas
bercakap tentang dasar perjuangan masing-masing dan ini juga
dipersetujui dalam deklarasi ringkas pada 5 Mei 2013," katanya.
Beliau berkata, DAP tidak sepatutnya meminta PAS membuat pengisytiharan
untuk tidak melaksanakan Islam sekiranya PR memenangi pilihan raya umum
akan datang, sebagaimana PAS juga tidak boleh memaksa DAP untuk
mengisytiharkan menerima pelaksanaan Islam.
"Apa yang penting ialah kita bersatu menentang BN (Barisan Nasional).
Selepas menang kita melihat siapa yang majoriti sewaktu kemengangan.
"Jika PAS majoriti, maka Islam akan dilaksanakan demi kebaikan semua.
Jika DAP majoriti, maka terpulang kepada DAP. Itu namanya demokrasi,”
katanya.
Zaharudin berkata, keadaan itu sudah pun berlaku secara tidak langsung
di Pulau Pinang di mana urusan pentadbiran diserahkan sepenuhnya kepada
DAP dan di Kelantan, mengikut cara PAS.
Beliau menasihati orang bukan Islam supaya mengamalkan keterbukaan dan
memahami hudud yang akan diperkenalkan oleh PAS, termasuk "hak dan
keistimewaan yang mereka akan perolehi" di sebalik dasar itu, sebelum
membuat keputusan menerima atau menolaknya.
"Apa yang rakyat tidak perolehi daripada Barisan Nasional (BN) ialah
kebebasan mendengar dasar parti yang wujud di dalam Malaysia secara
lebih jelas.
"Suara PAS disekat, dasar PAS tidak dapat difahamkan kepada masyarakat.
Lebih teruk, media Umno putar belit hakikat dasar PAS. Akhirnya sokongan
rakyat kepada sesuatu parti ialah berdasarkan sentimen.
"Saya menyeru YAB supaya sentimen ini dihancurkan bersama. Biar rakyat
mendengar dan menilai. Itu yang saya dan rakyat Malaysia mahukan,"
katanya sambil mendakwa BN menerangkan dasar PAS dan memutar belitnya
melalui sekatan media.
"1% betul, 99% putar belit. Akhirnya rakyat keliru. Saya harap ini tidak diikuti oleh DAP," katanya.
Zaharudin dengan yakin menegaskan beliau boleh menyatakan fakta yang hak
orang bukan Islam sedang didiskriminasikan dalam sistem perundangan
konvensional sekarang yang mempunyai banyak kelemahan.
sumber...TMI
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.