Followers

Tuesday, December 2, 2014

S'gor Ingin Bina Masjid Cina Pulau Ketam? Posted by Ibnu Hasyim

 
KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri Selangor tidak menolak untuk membina masjid dengan ciri kebudayaan etnik Cina sebagai memenuhi keperluan masyarakat Cina Muslim.

Bagaimanapun, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama, Dr Ahmad Yunus Hairi, berkata beberapa aspek perlu dikaji untuk membolehkan kerajaan negeri memberi peruntukan bagi pembinaan sesebuah masjid, lapor Selangor Kini.

Menurutnya, mungkin ada keperluan masyarakat Cina muslim tetapi pembinaan itu mempunyai matlamat sebagai pusat transformasi masyarakat.

“Kita tidak menolak untuk mendirikan masjid itu bagi dijadikan pusat lawatan dan kita ambil cadangan yang boleh kita fikirkan,” katanya dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) sebagai respons kepada cadangan Mohd Shafie Ngah (PAS-Bangi).

Sebelum itu, Mohd Shafie mencadangkan dibina masjid dengan ciri-ciri kebudayaan etnik Cina bagi memenuhi keperluan penganut agama Islam daripada etnik itu.
Beliau berkata jumlah penganut Islam dari etnik Cina di Selangor bukan sedikit, tetapi Melaka, Johor dan Perak mendahului dalam penyediaan kemudahan seperti itu.

Katanya, masjid yang mempunyai ciri-ciri senibina Cina itu diuruskan oleh siak, bilal dan imam yang juga merupakan Cina Muslim.

 
Masjid pertama dibina dengan rekabentuk Cina Di Malaysia iaitu di Kelantan.

“Ia adalah penting untuk memecahkan stigma atau kefahaman bahawa Islam itu milik Melayu dan Melayu itu milik Islam,” katanya.

Beliau berkata sekiranya masjid berciri Cina itu berjaya dibina, maka lebih ramai pelancong dalam dan luar negeri akan tertarik untuk berkunjung ke negeri Selangor.

“Tidak cukup hanya dengan Masjid Negeri yang besar, kita perlu melangkah ke hadapan untuk membina sebuah masjid yang berciri (Cina) itu," katanya lagi.

Ini, ujarnya kerana bangsa Cina adalah bangsa yang perlu dihormati. Beliau berpandangan setakat ini lokasi yang sesuai untuk pembinaan masjid itu adalah di Pulau Ketam.(IH)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.