Followers

Monday, December 8, 2014

Saman Fitnah RM2 Juta - Nasib Hadi Awang Diketahui 15 Disember


Abdul Hadi tidak hadir pada prosiding mahkamah hari ini, namun kira-kira 200 penyokong Presiden PAS itu muncul di perkarangan Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu.

Keputusan permohonan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk mengetepikan penghakiman ingkar terhadapnya dalam kes saman fitnah RM2 juta oleh bekas calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Mohd Shamsul Mat Amin akan diketahui 15 Disember ini.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu, Datuk Mohd Yazid Mustafa menetapkan tarikh itu, selepas pihak plaintif dan defendan menamatkan penghujahan terakhir.

Peguam Mohd Shamsul, A. Vasudevan memberitahu prosiding hari ini, saksi plaintif, Luqman Ridhwan Mohd Nor, 26, daripada akhbar Kosmo memberi keterangan, manakala Abdul Hadi selaku defendan, diwakili peguam, Asmuni Awi.

Abdul Hadi tidak hadir pada prosiding mahkamah hari ini, namun kira-kira 200 penyokong Presiden PAS itu muncul di perkarangan mahkamah.

Pada 28 Oktober lalu, Abdul Hadi dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alur Limbat, Ariffin Deraman memberi keterangan sebagai saksi defendan, manakala plaintif memanggil saksi, iaitu ADUN Bandar, Azan Ismail dan wakil akhbar Kosmo bagi memberi keterangan.

Bagaimanapun, wakil akhbar Kosmo itu tidak hadir sebanyak dua kali untuk memberi keterangan pada 28 Oktober dan 23 November lalu, walaupun waran tangkap telah dikeluarkan.

Pada 23 Februari lalu, Abdul Hadi diperintahkan Mahkamah Tinggi untuk membayar ganti rugi RM2 juta kepada Mohd Shamsul, selepas gagal memasukkan kehadiran bagi menjawab atau memfailkan pembelaan terhadap saman yang dikemukakan Mohd Shamsul, pada 5 Disember tahun lalu.

Susulan itu, Abdul Hadi pada 27 Februari lalu memfailkan permohonan bagi mengetepikan perintah penghakiman ingkar itu.

Mohd Shamsul menyaman Abdul Hadi berhubung kenyataan Presiden PAS itu bahawa ada calon PKR menjual pil kuda menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 tahun lalu, sebagai alasan untuk PAS meletakkan calonnya bertanding di DUN Bukit Besi, sehingga menyaksikan berlaku pertandingan tiga penjuru.

Dalam pernyataan tuntutannya, Mohd Shamsul mendakwa ucapan Abdul Hadi dalam ceramah di Kampung Tebakang Alor Limbat, Marang pada 22 April 2013 telah menjatuhkan maruahnya dan keluarga, serta menjejaskan reputasinya sebagai calon dan ahli perniagaan.

- bernama


 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.