Keadaan banjir di beberapa negeri ketika ini semakin buruk. Di
Kelantan, Terengganu dan Pahang, banjir terus bertambah buruk dan jumlah
mangsa yang berada di pusat pemindahan juga semakin bertambah.
Melihat keadaan hujan yang masih mencurah dengan lebat, adalah dijangka banjir
yang disifatkan antara yang terburuk ini akan terus melanda untuk
beberapa lama lagi. Tidak mustahil juga ia akan berlarutan sehingga awal
tahun baru 2015 nanti.
Di Perak dan Perlis pula, beberapa kawasan turut mulai dilanda banjir
dan angka mangsa yang terpaksa dipindahkan ke pusat pemulihan juga terus
bertambah.
Meskipun bantuan dari segi makanan, keperluan harian dan usaha
memindahkan mangsa terus giat dijalankan oleh pelbagai agensi kerajaan,
tetapi amat malang kehadiran pemimpin meninjau ke tempat banjir agak mengecewakan kali ini.
Selain pemimpin peringkat negeri yang tentunya bertungkus-lumus membantu
mangsa di kawasan masing-masing, kehadiran pemimpin Pusat ke
negeri-negeri yang dilanda banjir nyata agak mengecewakan.
Tiada kelibat Perdana Menteri, Najib Razak, Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin,
menteri-menteri kanan seperti Zahid Hamidi, Hishammuddin, Shafie Apdal,
Ahmad Maslan dan lain-lainnya. Jika bercakap berkaitan isu politik dan
mengampu pemimpin, begitu ramai yang berebut-rebut mahu ke depan, namun
di mana mereka ketika rakyat derita ini?
Yang nampak hanyalah beberapa kerat pemimpin seperti Shahidan Kassim,
Shahrizat Jalil, Abdul Azeez Rahim, Mustapha Mohamad dan Ahmad Shabery
Cheek saja. Pemimpin sayap Pemuda dan Puteri juga hampir tidak kelihatan
sama.
Ke manakah pemimpin-pemimpin sihat dan segar-bugar ini menghilang? Muhyiddin
sudah lebih seminggu tak kelihatan dan dipercayai sedang bercuti di
luar negara ketika ini. Najib juga dipercayai baru berlepas bercuti ke
luar negara dua hari lalu setelah meluangkan sedikit waktu melawat
mangsa banjir di Pahang.
Majoriti pemimpin lain dipercayai turut bercuti di luar negara ketika
ini. Ada yang bercuti sebelum banjir melanda dan ada pula yang berlepas
setelah banjir makin besar. Najib
sendiri pergi bercuti setelah mengetahui banjir kian bertambah buruk
dan ini merupakan percutian keduanya dalam tempoh tidak sampai lima
bulan di mana pada Hari Raya Aidilfitri lalu beliau juga bercuti ke
beberapa bandar di Eropah.
Soalnya, apakah perasaan pemimpin yang sedang bercuti ini sedangkan
mereka mengetahui ada rakyat yang sedang sengsara dan sesetengahnya
berjuang antara hidup dan mati menyelamatkan nyawa dan harta benda
akibat banjir?
Apakah bercuti dan berehat di luar negara terlalu penting sehingga ianya
tidak boleh ditangguhkan langsung? Atau kalau sedang bercuti, tidak
bolehkah pulang segera dan menunjukkan keprihatinan sebagai pemimpin
kepada rakyat?
Sekadar meminta mangsa bersabar dan berdoa dengan keadaan banjir yang kian buruk sedangkan
mereka berada di luar negara, mungkin riang gembira dan ketawa bermain
salji, bukan saja tidak memadai tetapi jelas memperlihatkan perlakuan
paling buruk sebagai pemimpin.
Inilah masanya mereka yang bergelar pemimpin perlu bersikap jujur dan
mengutamakan rakyat. Berehat, bercuti, membeli-belah dan bemain salji di
luar negara yang lebih penting atau nasib rakyat yang lebih utama?
Kepada pemimpin yang tiada perasaan, tidak prihatin dan lebih
mengutamakan diri sendiri dengan tidak sanggup menangguh atau
memendekkan percutian mereka di ketika rakyat sedang sengsara ini,
eloklah kita juga mendoakan agar mereka itu dilaknat Allah, kalah dalam
pilihanraya akan datang dan tidak lagi bergelar pemimpin. ~shahbudin
Addin
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.