Followers

Saturday, December 27, 2014

Ramai Menteri Bercuti Ketika Negara Di Landa Banjir Teruk !

Selepas Najib umum pulang, Perkasa desak menteri sedang cuti pulang segera.

Walaupun Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sudah memutuskan memendekkan cutinya di luar negara dan pulang ke tanah air, Pertubuhan Peribumi Perkasa (Perkasa) kini mendesak menteri lain yang juga sedang bercuti di luar negara pulang segera membantu mangsa banjir.

Najib yang juga presiden Umno dijangka berada di Kelantan hari ini bagi memantau sendiri keadaan banjir, namun tiga naib presiden Umno masih tidak kelihatan.

Apabila tersebar berita Najib bercuti di Hawaii dan bermain golf bersama Presiden Amerika Syarikat Barack Obama, rakyat Malaysia memberi reaksi kurang senang tatkala mereka sedang bergelut berdepan bencana banjir.

"Semua menteri yang sedang bercuti di luar negara sekarang ini perlu pendekkan cuti dan balik ke negara, turun tinjau keadaan banjir, bantu apa yang perlu diberi, daripada kementerian masing-masing kepada mangsa banjir.

"Bila cuti, pegawai jabatan dan agensi dibekukan cuti pada musim banjir macam ini, tapi kita (menteri) makan angin dengan keluarga, bagus main salji," kata Setiausaha Agung Perkasa, Syed Hassan Syed Ali (gambar) kepada The Malaysian Insider.

Mengenai keputusan Najib untuk pulang segera, Syed Hassan berkata langkah tersebut tepat kerana seorang pemimpin perlu berada di sisi rakyat ketika berdepan kesusahan. "Perkasa lihat ini sebagai bukti perdana menteri mendahului rakyat. "Beliau prihatin yang rakyat mahu PM berada di sisi mereka bila mereka dalam kesusahan," katanya.

Dalam perhimpunan kumpulan pendesak Melayu itu baru-baru ini, teguran juga dibuat presiden mereka, Datuk Ibrahim Ali yang memberi kata dua kepada Najib supaya mengurangkan lawatan ke luar negara dan mula menumpukan isu dalam negara sebelum beliau kehilangan jawatan dan kerajaan.

Namun, Perkasa pula kemudiannya dikritik kerana kelantangan mengkritik pemimpin nombor satu negara tersebut.

"Ini sebenarnya selaras dengan saranan presiden Perkasa semasa ucapannya di Persidangan Agung Perkasa ke-5 baru-baru ini yang meminta pemimpin negara jangan selalu keluar negara. "Kena selalu berada dalam negara selesaikan isu rakyat dahulu," katanya.

Syed Hassan juga menggesa supaya insiden tahun ini dijadikan iktibar dan berharap pemimpin tidak dibenarkan ke luar negara pada waktu yang kebiasaannya negara dilanda banjir.

"Harap setiap tahun mulai tahun depan, pemimpin tidak dibenarkan bercuti di hujung tahun kerana kebiasaannya masa itulah banyak kawasan dalam negara ini dilanda banjir," katanya.

Jumlah mangsa banjir di 7 negeri kini mencecah 119,087 orang dengan Kelantan mencatat jumlah tertinggi iaitu 45,467 orang setakat jam 5 petang semalam. Negeri lain yang juga teruk dilanda banjir kali ini ialah Terengganu, Pahang, Perak, Johor, Kedah dan Perlis.

Untuk rekod, tiga naib presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal masih belum diketahui rakyat di mana mereka berada. -


The Malaysian Insider

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.