Orang ramai dinasihatkan tidak panik berikutan kejatuhan nilai ringgit yang boleh menyebabkan krisis ekonomi dalam jangka masa panjang, memandangkan Putrajaya sedang bersedia dengan langkah menanganinya yang akan diumumkan perdana menteri.
Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Hamim Samuri berkata ini bukan pertama kali negara menghadapi krisis seumpama itu, sambil menambah yang asas ekonomi Malaysia masih kukuh ketika ini berdasarkan trend pelaburan dan imbangan bayaran.
"Rakyat tidak perlu risau atau panik kalau keadaan tidak dapat dikawal, dengan membeli barangan secara pukal, atau akan terjadi suasana kekurangan barangan "Ini akan menjejaskan usaha kerajaan dalam merangka langkah tertentu mengukuhkan ekonomi. Kita bukan kali pertama dalam keadaan ini.
Kita ada pengalaman. Situasinya mungkin berbeza, tetapi saya yakin kerajaan boleh buat sesuatu," katanya. Pada 4 Disember, Berita Harian Singapura melaporkan, ringgit Malaysia jatuh paling teruk dalam tempoh 10 bulan lalu berbanding dolar Singapura.
Berita Harian Brunei juga membuat laporan yang sama apabila kadar ringgit jatuh kepada RM2.63 untuk sedolar Brunei berbanding RM2.57 minggu sebelumnya.
Kedua-dua media negara jiran itu melaporkan, ia berpunca daripada kejatuhan harga minyak di pasaran dunia dengan Berita Harian Singapura menyifatkan keadaan itu sebagai yang paling teruk sejak krisis kewangan Asia 1997.
Menurut akhbar itu, para penganalisis menjangkakan Malaysia berkemungkinan menjadi negara Asia paling teruk terjejas ekoran kejatuhan berterusan harga minyak dunia.
Bercakap pada sidang media selepas merasmikan pelancaran Perdasama Muda Nasional di Kuala Lumpur hari ini, Hamim mengakui yang ekonomi Malaysia bakal terjejas dalam tempoh jangka masa panjang sekiranya tidak ada langkah dilakukan bagi mengawal krisis tersebut.
"Sebab itu saya sebut kerajaan sedang buat langkah-langkah tertentu yang akan diumumkan kemudian, biarlah kerajaan umumkan," katanya.
Beliau berkata negara pada masa ini berdepan dengan kesan kejatuhan nilai ringgit berbanding Singapura dan Amerika Syarikat, tetapi pelaburan dan imbangan bayaran masih positif.
Posted & copy by RAKYAT MARHAEN
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.