Followers

Friday, December 5, 2014

Pelajar Buang Anak Menangis Teresak-esak Ketika Dihukum Penjara 18 bulan


Kuala Lumpur: Seorang pelajar kolej menangis teresak-esak selepas dijatuhi hukuman penjara 18 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana menyembunyikan kelahiran bayi lelakinya, Oktober lepas.

Majistret Ashraf Rezal Abdul Manan berkata mahkamah menjatuhi hukuman itu selepas mengambil kira faktor kepentingan awam dan rayuan tertuduh, Norhidayah Yon, 19, serta laporan akhlak oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Pada 4 Nov lepas, Norhidayah, pelajar semester tiga Diploma Pengurusan Perniagaan di sebuah kolej swasta di sini mengaku bersalah atas pertuduhan itu dan hukuman terhadapnya ditangguhkan ke hari ini sementara menunggu laporan akhlak.

Dalam keputusan itu, Ashraf Rezal turut berpuas hati dengan laporan JKM yang menyatakan latar belakang ekonomi keluarga tertuduh adalah sederhana manakala latar belakang sosial dan pendidikannya adalah baik.

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara itu bermula dari tarikh tertuduh ditangkap pada 30 Okt lepas.

Timbalan Pendakwa Raya Ooi Chean Ling sebelum itu memohon hukuman penjara setimpal sebagai pengajaran kerana kesalahan itu disifatkan sebagai tidak berperikemanusiaan, kejam dan tidak bertanggungjawab.

“Tidak ada hukuman yang lebih sesuai dengan kesalahan ini kecuali hukuman penjara memandangkan kesalahan sedemikian berleluasa sekarang,” kata Ooi.

Selepas mahkamah membacakan laporan akhlak itu, pegawai JKM Wan Hanafiah Wan Hanafi berkata pihaknya memohon satu hukuman berbentuk bon berkelakuan baik dengan seorang penjamin selain sabitan terhadap tertuduh tidak direkodkan.

Ketika rayuan, Norhidayah yang tidak diwakili peguam memohon hukuman paling ringan dan meminta peluang untuk berubah selain telah insaf atas perbuatannya.

Anak bongsu daripada lapan beradik itu didakwa atas pertuduhan menyembunyikan kelahiran bayi lelakinya dengan membuang mayat bayi itu ke dalam tong sampah selepas ia dilahirkan.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Block C, Kondominium PV6 Platinum Hill Park, Jalan Setapak di sini, pada 4 pagi, 28 Okt lepas.

Norhidayah didakwa mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali. - BERNAMA

LAPORAN SEBELUM INI
Pelajar kolej mengaku buang bayi dalam tong sampah

KUALA LUMPUR - Seorang pelajar kolej swasta hari ini mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas tuduhan menyembunyikan kelahiran seorang bayi lelaki dengan membuang mayatnya di dalam tong sampah, bulan lepas.

Norhidayah Yon, 19, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Asyraf Rezal Abdul Manan.

Asyraf Rezal menetapkan 4 Disember ini untuk tarikh menjatuhkan hukuman dan memerintahkan tertuduh ditahan reman.

Norhidayah, didakwa sengaja menyembunyikan kelahiran seorang bayi lelaki dengan membuang mayat bayi itu di dalam tong sampah selepas dilahirkan di Blok C, PV6, Kondo Platinum Hill Park, Jalan Setapak, Wangsa Maju di sini pada 4 pagi 28 Oktober lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ooi Chean Ling manakala tertuduh tidak diwakili peguam. - Bernama


Kelab Greenboc

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.