Lelaki tua itu Chin Peng! SAIFULLAH AHMAD, NOOR ‘AINON MOHAMED YUSOF
& ISMANIZA AHMAD 23 Disember 2014 Inilah lukisan mural dikatakan
mirip wajah Chin Peng yang menjadi kontroversi IPOH -
Di sebalik keindahan lukisan mural di sekitar Bandaraya Ipoh terdapat
satu lukisan yang nyata mengundang kontroversi apabila ia mirip wajah
Ketua Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng. Tiada siapa yang
menyangka gambar yang menunjukkan seorang lelaki tua sedang memegang
cawan di Jalan Tun Sambanthan, di sini, berhampiran Padang Ipoh itu
seakan-akan individu yang diharamkan ke negara ini. Pendedahan
itu dibuat sendiri oleh seorang warga Ipoh, Mior Azman Mior Aris, 46,
yang sudah lama meneliti gambar berkenaan sejak ia dilukis pada Jun lalu
oleh seorang pelukis mural terkenal. Menurutnya, jika dilihat
sekali imbas memang tidak perasan tentang individu yang dilukis
memandangkan Chin Peng tidak dikenali ramai dari segi paras rupanya.
“Saya bersama beberapa rakan yang lain duduk semeja berbincang mengenai
wajah individu terbabit. Apabila kita membuat pencarian internet gambar
Chin Peng dan banding dengan lukisan itu, memang sama. “Ini satu tamparan hebat kepada kerajaan negeri khususnya pihak berkuasa tempatan (PBT) yang membenarkan lukisan itu dilukis.
Dalam sibuk kita membantah dan menghalang abu mayatnya (Chin Peng) di
bawa ke negara ini, dengan selamba wajahnya dijadikan mural,” katanya.
Mior Azman berkata, perkara ini serius kerana ia dilihat cubaan pihak
tertentu untuk menyebarkan elemen subversif menggunakan seni mural.
Tambahnya, perkara seumpama itu harus menjadi iktibar kepada semua
pihak khususnya PBT supaya lebih peka dalam menerima sesuatu projek seni
bagi mengelak agenda tertentu dibawa melaluinya. “Kita mahu orang ramai
buka mata terhadap agenda pihak tertentu yang cuba membawa masuk
ideologi tertentu secara halus. “Orang ramai hanya nampak ia
sebagai lukisan yang cantik, tetapi maksud tersirat di sebaliknya kita
tak tahu,” katanya lagi. Ramai tidak perasan Sementara itu, seorang
warga Ipoh, Rozamir Zulkifli, 42, berkata, jika sekali imbas, gambar
yang terpampang di bangunan tersebut memang mirip Chin Peng, tetapi
tidak serupa. Menurutnya, lukisan ini subjektif untuk ditafsir
kerana pelukis melukis melalui hati, bagaimanapun jika ia disuruh
melukis gambar tersebut, motifnya perlu disiasat. “Jika gambar itu
serupa, kita perlu siasat perkara tersebut. Dalam hal ini,
kita juga perlu tahu tujuan lukisan dibuat sama ada mengindahkan
bangunan atau menarik perhatian pelancong dan sebagainya. “Jika sebabnya
lain atau terdapat maksud tersurat dan tersirat, ia perlu tindakan
segera dari pihak yang bertanggungjawab,” katanya. Seorang
lagi warga Ipoh, Abdul Salim Putera Ahmad Shibi, 39, mengharapkan
tindakan dan siasatan dari pihak berkenaan sekiranya gambar tersebut
adalah Chin Peng. Abdul Salim berkata, jika benar ini mungkin
satu cara halus pihak tertentu untuk meracuni fikiran anak muda yang
tidak tahu sejarah sebenar gambar berkenaan. “Cadangan saya
supaya pihak kerajaan negeri menganjurkan pertandingan lukisan mural
wajah tokoh-tokoh Melayu supaya golongan muda kenal dengan tokoh yang
pernah berbakti kepada tanah air kita. “Cara ini lebih baik
dari menuduh atau memarahi pihak berkenaan. Pihak berkuasa juga perlu
memberi lebih perhatian kepada mereka yang bergerak secara sembunyi dan
berharap perkara ini tidak berulang lagi,” katanya. Pengerusi Barisan
NGO Negeri Perak, Mohd Salleh Khan Mohd Jaafar berkata, siasatan perlu
dibuat untuk memastikan gambar siapa yang terpampang di bangunan
tersebut. Mohd Salleh berkata, sebagai rakyat Malaysia, kita
perlu menghormati keputusan kerajaan dan menolak apa sahaja agenda untuk
memasukkan Chin Peng atas kesalahan yang pernah dilakukan sebelum ini.
“Pihak yang bertanggungjawab juga diminta untuk memberi penjelasan
kerana memberi kebenaran lukisan tersebut terpampang di situ dan boleh
menyebabkan salah sangka di kalangan rakyat apabila perkara yang tidak
boleh, dibolehkan. “Selain pihak berkaitan, pemilik bangunan
juga perlu disiasat untuk memastikan semuanya jelas dan tidak timbul
kekeliruan,” katanya. Yang Dipertua Ikram Perak, Yahanis Yahya
pula berpendapat, mural seumpama pimpinan PKM ini amat sensitif dan
boleh menaikkan sentimen beberapa pihak. Menurut beliau,
kesemua pihak diharap menjaga keharmonian negara dengan bertanggungjawab
malah dalam kes ini pihak berkuasa tempatan perlu memberi penjelasan.
“Kajilah sejarah secara objektif supaya penilaian dibuat dengan fakta
bagi meningkatkan intelektual dan Malaysia boleh menuju ke negara
Rahmah,” katanya. MBI nafi mural Chin Peng Sementara itu,
sumber dari Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) memberitahu pihaknya telah
maklum dengan perkara itu. Menurut beliau, isu berkenaan
sebenarnya sudah pun selesai dan pihak MBI menafikan individu dalam
lukisan mural berkenaan adalah Chin Peng. Malah katanya, satu
mesyuarat jawatankuasa sudah pun dibuat bagi membincangkan isu itu
sebelum ini. “Kita faham akan sensitiviti masyarakat walaupun kita
nyatakan bahawa lukisan itu bukanlah Chin Peng. Kita akan
berbincang dengan pelukis dan pihak berkaitan untuk menukar gambar yang
lain. “Apa-apa pun saya akan rujuk kepada Datuk Bandar dahulu sebelum
maklum balas lanjut diberikan mengenai isu ini,” katanya. Di
Pekan Lama Ipoh, terdapat tujuh lukisan mural berinspirasikan kopi yang
dihasilkan pelukis terkemuka, Ernest Zacherevic di bawah projek Art of
Oldtown. Setiap lukisan ditempatkan di tujuh lokasi berbeza
seperti di Jalan Panglima, Market Street, Jalan Bijeh Timah, Concubine
Lane 3, Jalan tun Sambanthan dan Jalan Padang yang memaparkan mural
seperti ‘Kopi-O’, ‘kapal terbang kertas’, ‘beca’, ‘evolusi’ dan ‘pakcik
tua bersama kopi putih’. Posted by mountdweller.
| |
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.