Keputusan Pentaksiran Tingkatan tiga (PT3) yang diumumkan hari ini
ternyata mengejutkan pelbagai pihak, mana tidaknya PT3 yang
mengambilalih ‘peranan’ Peperiksaan Menegah Rendah (PMR) telah
melihatkan penurunan calon yang mendapat semua A.
Antaranya Pensyarah Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM),
Prof Madya Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff turut mempersoalkan PT3 ini.
Menurutnya reaksi yang beliau dapat terutama daripada ibu bapa calon ternyata mereka kecewa dengan PT3.
“Jam 9 pagi, saya keluar pejabat untuk ke SMK Jalan 4, Bandar Baru
Bangi melihat reaksi anak murid dan ibu bapa menerima keputusan
peperiksaan PT3. Saya ke sekolah ini kerana inilah sekolah terbaik di
daerah ini yang setiap tahun ratusan pelajarnya mendapat 8A ke atas.
“Namun, tahun ini hanya 8 orang pelajar sahaja dari sekolah ini yang
mendapat semua A. Pencapaian sekolah ini adalah lebih kurang sama sahaja
dengan pencapaian dari sekolah berasrama penuh yang lain.
Maklumat awal
yang saya perolehi menunjukkan hanya 11 orang dari Tunku Kursiah yang
mendapat semua A, 10 dari Faris Petra, seorang dari SDAR, seorang dari
Sakti, 21 orang dari Mozac dan 26 orang dari Tun Fatimah.
“Saya bertanyakan ibu bapa dan para guru tentang tentang pelaksanaan
PT3. Satu persamaan pandangan mereka ialah PT3 adalah peperiksaan yang
paling bercelaru, kelam kabut dan kucar kacir,” katanya dipetik menerusi
laman sosial Facebooknya.
Jelas Agus lagi, luahan hati ibu bapa calon juga mengatakan bahawa PT3
dilaksanakan secara tergesa-gesa sehinggakan anak-anak mereka tidak
sempat untuk ‘bersiap siaga’.
“Kata mereka, inilah peperiksaan yang format peperiksaannya bersifat ad
hoc (sementara), diumumkan lewat, anak-anak dijadikan bahan uji kaji,
calon-calon dan para guru tidak diberitahu langsung tentang peperiksaan
ini pada peringkat awalnya dan banyak lagi.
“Ibu bapa tidak berpuas hati dengan pentaksiran mengikut sekolah ini
kerana kertas jawapan diperiksa oleh guru yang sama mengajar di sekolah,
tidak guru dari sekolah atau negeri lain. Mereka mempersoalkan tentang
keadilan untuk memohon masuk ke sekolah berasrama penuh dan lainnya,”
katanya.
Menurut Agus lagi, oleh itu pandangan ibu bapa dan guru perlu tentang
PT3 perlu diambil kira sekiranya sayangkan pendidikan negara.
“Betul, soalan PT3 adalah berbentuk subjektif yang memerlukan pelajar
berfikir. Betul, soalan PT3 adalah bersifat Kemahiran Berfikir Aras
Tinggi (KBAT). Tetapi pertanyaannya, apakah dengan KBAT ini, ia dapat
membantu kita dalam menaikkan taraf pendidikan negara?
“Melihat kepada kecelaruannya, saya tidak fikir ia dapat membantu
meningkatkan sistem pendidikan negara kita. Jadi, apa tindakan
seterusnya?
Buatlah survei secara jujur dari kalangan guru dan ibu bapa,
dan ambillah cadangan dan pandangan mereka. Itulah yang terbaiknya,”
katanya.
sumber...sh
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.