Followers

Monday, December 8, 2014

Kenaikan kos sara hidup: Perkasa mahu lari daripada Umno OLEH DIYANA IBRAHIM

Selama ini, pihak paling setia dan sentiasa menjadi pembela Umno adalah Pertubuhan Pribumi Perkasa atau Perkasa. Namun dengan kenaikan kos sara hidup oleh kerajaan Barisan Nasional (BN), mereka juga tidak tahan.

Perkasa memberi amaran kepada pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, mereka tidak akan teragak-agak lari daripada BN dalam pilihan raya umum akan datang sekiranya kerajaan terus menaikkan harga barang dan perkhidmatan.

Setiausaha Agung Syed Hassan Syed Ali (gambar) berkata, Perkasa sememangnya tegas dengan pendirian memperjuangkan ekonomi Bumiputera dan tidak pernah bersetuju dengan tindakan kerajaan menaikkan harga barang dan perkhidmatan kerana yang paling terjejas teruk pastinya orang Melayu.

"Kita beri amaran kepada Datuk Seri Najib Razak untuk mengubah pentadbirannya dalam meningkatkan ekonomi kaum Melayu kerana kita sudah beri tempoh lima tahun namun tiada perubahan malah situasi kini bertambah teruk.

"Sekiranya Umno/BN masih di tahap sama, maka ia akan menyebabkan ahli kita berubah hati," katanya dalam satu wawancara eksklusif dengan The Malaysian Insider.

Beliau juga menyifatkan sokongan Perkasa ke atas Umno sebelum ini kerana pertubuhan itu tidak mempunyai alternatif lain memandangkan Umno dilihat sebagai satu-satunya parti yang memperjuangkan Melayu.

Bagaimanapun katanya, kini rakyat sudah mempunyai pilihan malah pertubuhan itu sendiri menyaksikan kepimpinan mereka kini majoritinya di kalangan yang tidak berpihak mana-mana parti.

"Sekarang ini kepimpinan Perkasa  mula menampakkan perubahan. Kalau dulu dalam mana-mana mesyuarat kita boleh sebut mengenai Umno namun kini tidak lagi. Ahli kita begitu sensitif dan lebih senang melihat Perkasa sebagai pertubuhan ‘neutral’ kerana majoritinya sudah tidak berparti lagi," katanya.

Syed Ali juga tidak berpuashati dengan 11 langkah penjimatan yang diumumkan Najib itu.

Perkasa melihat pentadbiran Najib jauh berbeza dengan pentadbiran Umno sebelum ini.

"Ia berbeza dengan pentadbiran  terdahulu  iaitu ketika zaman Tun Dr Mahathir Mohamad, kerajaan buat apa sahaja rakyat boleh terima," katanya.

Beliau mengakui Umno juga bukanlah sebuah parti kebal yang terus hidup kerana pasti akan rebah seperti parti lain di dunia.

Namun katanya,  pendekatan yang diambil kerajaan kini akan menyebabkan Umno tersungkur lebih awal.

"Kita memang sedia maklum mana-mana parti di dunia ini pun tidak ada yang berkuasa selama-lamanya begitu juga dengan Umno.

"Dalam masa 50 tahun atau lebih, pasti akan jatuh juga namun dengan keadaan sekarang kita boleh jangkakan detik kejatuhan parti itu sudah mula berlaku," katanya.

Ini berikutan rakyat sudah mula muak dengan apa yang dipaparkan oleh pemimpin Umno/BN di mana kemewahan yang mereka tonjolkan itu sangat luar biasa.

"Dengan rasuah, penyelewengan dan kemewahan melampau yang ditunjukkan sesetengah pemimpin BN dari bawah sampai ke peringkat atasan.

"Di kala rakyat terpaksa mengikat perut untuk berjimat namun cara hidup mewah mereka. Ia tidak sama seperti pemimpin dahulu yang turut bersusah-payah bersama rakyat," katanya. – 


www.themalaysianinsider.com

 http://payhmm.com/?ref=17043

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.