Followers

Friday, December 12, 2014

Kecewa binaan kualiti rendah Wartawan Sinar Harian

Apabila Kontraktor Rumah Mesra Rakyat bina rumah tak berkualiti

 
Keadaan RMR yang siap dibina namun didapati tidak mengikut spesifikasi ditetapkan.
SUNGAI PETANI – Seorang pemohon Rumah Mesra Rakyat (RMR) di Kampung Sungai Jagung kecewa apabila projek berkenaan tidak berjalan lancar seperti mana yang telah dipersetujui.

Pengadu, Norakmaliza Abdullah, 29, mendakwa, hasratnya ingin memiliki rumah sendiri hampir tercapai apabila permohonannya kepada Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) diluluskan.

“Bagaimanapun, setelah rumah siap dibina pada Oktober lalu, kerja penambahbaikan perlu dibuat berikutan pembinaan yang tidak mengikuti spesifikasi,” dakwanya.

Norakmaliza mendakwa, jika dilihat dari pandangan kasar, RMR itu cukup cantik, tetapi setelah diperiksa, ia tidak mengikut spesifikasi.

“Sebaik siap dibina, kakitangan SPNB telah membuat pemeriksaan dan tinjauan ke lokasi tapak, bagaimanapun kecewa apabila beberapa perkara dibangkitkan.

“Antaranya berkenaan pembinaan lantai yang mudah retak, kemasan yang longgar, ketinggian siling tidak mengikut ukuran sebenar, longkang merekah dan ukuran pintu serta benteng bilik air yang senget,” dakwanya.

Difahamkan, beberapa masalah lain termasuk bumbung bocor juga berlaku namun selesai apabila baik pulih dilakukan pada peringkat pertama.

“Tetapi masih terdapat beberapa masalah lain yang merunsingkan menyebabkan rumah berkenaan belum mendapat kebenaran untuk diduduki biarpun pembinaan sudah selesai.

“Kita juga dimaklumkan pihak kontraktor diberi tempoh bermula 1 Disember hingga semalam untuk kerja penambahbaikan.

“Bagaimanapun, tiada kerja baik pulih dibuat sehingga hari ini (semalam) ,” dakwanya.

Sementara itu, wakil kontraktor menjelaskan, pihaknya sedia maklum berkenaan masalah yang dikemukakan pengadu berhubung perkara itu, namun berhadapan masalah modal pusingan.

“Sebagai kontraktor bertanggungjawab, kami bersedia melakukan kerja baik pulih melibatkan lantai, tebing dan pintu bilik air,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, jaminan perkara itu dijanjikan akan selesai sebelum 25 Disember ini.
 
 
KedahLanie

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.