Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali berkata cadangan hudud bagi Kelantan perlu dibawa ke Majlis Presiden PR untuk dibincangkan sebelum apa-apa keputusan dapat diambil.
Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali berkata cadangan hudud bagi Kelantan perlu dibawa ke Majlis Presiden PR untuk dibincangkan sebelum apa-apa keputusan dapat diambil.
Mohamed Azmin Ali hari ini mengingatkan segala keputusan berkaitan masa depan Pakatan Rakyat (PR) perlu dibincangkan dan diputuskan oleh Majlis Presiden PR, termasuk cadangan kerajaan negeri Kelantan membawa undang-undang hudud ke Parlimen.
Timbalan Presiden PKR itu berkata prinsip yang dijunjung PR selama ini adalah dasar yang dipersetujui bersama lebih besar daripada hukum hudud merangkumi aspek ekonomi dan sosial.
“Hudud bukan dasar bersama PR. Tiada cadangan bawa ke Parlimen. Tidak pernah dibincang dalam Majlis Presiden PR.
“PR akan memberikan tumpuan kepada isu yang terkandung dalam maqasid syariah, iaitu objektif tertinggi syariah, soal ekonomi, sosial, keselamatan. Isu besar yang perlu diselesaikan dalam syariat Islam.
“Ini juga dipersetujui semua ulama besar di dunia, bukan saja dalam negara. Itu pendirian yang kita ambil bukan setakat hari ini tetapi beberapa tahun yang lalu,” katanya ketika ditemui media di Subang Jaya hari ini.
Semalam, Ketua Penerangan PAS Selangor Zaidy Abdul Talib berkata PKR wajib menyokong hasrat kerajaan Kelantan melaksanakan undang-undang hudud, memandangkan pemimpin tertingginya beragama Islam.
Katanya, PKR tidak sewajarnya mengikut jejak langkah DAP yang menolak hudud kerana parti itu majoriti ahlinya bukan beragama Islam.
"Kepada orang bukan Islam, kita tidak boleh paksa. Tetapi bagi orang Islam, kita ada kewajipan untuk menerimanya. Kita mesti percaya, ada akidah. Kalau tolak, kita berdosa dan sebagainya.
"Justeru, dari sudut orang beragama Islam, PKR mesti menyokong," katanya yang juga merupakan Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Industri Asas Tani Selangor.
Mengulas mengenai gesaan Zaidy itu, Azmin percaya cadangan itu merupakan pandangan seorang pemimpin kanan parti yang matang, namun semua keputusan perlu terikat dengan dasar PR.
Azmin berkata hudud bukanlah isu baru yang pernah dibangkitkan PAS kerana cadangan seumpama itu pernah dibincangkan di kalangan pemimpin PR sebelum ini.
“Saya masih ingat mendiang Karpal Singh pun hadir dalam mesyuarat tersebut di Ibu Pejabat PAS. Exco kerajaan negeri Kelantan hadir memberi penjelasan tentang enakmen yang diluluskan pada 1993. Selepas berbincang panjang, baru kita ambil muafakat itu dalam PR.
“Kita meneliti perkembangan terbaru. Sekiranya ada cadangan baru, mesti berbalik kepada tujuan asal yang disepakati PR. Kena bawa dalam Majlis Presiden PR. Ini akan dilakukan pada Januari sebagaimana diumumkan Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya.
Azmin berkata apa jua cadangan yang ingin dibangkitkan perlulah mengutamakan dasar bersama mengukuhkan PR.
“Ia mesti dasar disepakati PR. Tidak boleh bercakap atas dasar individu atau parti.
“Membentuk kerajaan PR, dasar itu mesti disepakati PR. Ini diputuskan dan akan terus dibincangkan,” katanya.
Sementara itu, ketika berucap di Konvensyen Kepimpinan Wanita Selangor 2014, Azmin berkata kerajaan negeri Selangor akan memperkasakan tenaga kerja wanita dengan memperkenalkan jadul waktu kerja anjal.
Katanya, daripada kajian yang dibuat, ternyata 93% wanita mahu kembali bekerja tetapi 63% daripada mereka merasakan sukar untuk berbuat demikian atas kekangan tertentu.
"Kerajaan negeri Selangor akan menyediakan Wifi percuma dengan prasarana 2,500 hotspot sebagai satu aspek sistem sokongan yang boleh membantu wanita bekerja dari rumah.
"Kerajaan negeri juga akan memulakan inisiatif untuk membolehkan wanita yang kini bekerja sektor kerajaan dan GLC dapat bekerja dari rumah atau sekurang-kurangnya bekerja dengan jadual waktu anjal.
"Inisiatif ini perlu dilaksanakan sebagai satu inisiatif terkini dan masa depan. Reformasi ini perlu dilakukan segera bagi mengelak negara menanggung kehilangan bakat wanita akibat tenaga mahir beralih dan terpendam.
Azmin berkata beliau juga berharap agar lebih ramai wanita diberikan peluang menjadi calon dalam pilihan raya umum yang akan datang.
"Dalam aspek politik, jumlah perwakilan wanita Malaysia di Parlimen juga direkodkan di kalangan terendah di kalangan negara Asean iaitu pada kadar 10.4% berbanding Thailand 13.3%, Indonesia 18%, Filipina 22.1%, Singapura 22.2% dan Vietnam 22.4%," katanya. – 23 Disember, 2014.
/www.themalaysianinsider.com/bahasa.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.