Followers

Tuesday, December 9, 2014

BN tak cadang ganti Shamsuddin; kaji peraturan dewan dulu, kata Noh. Oleh Shuhaniza Said




SHAH ALAM: Barisan Nasional (BN) tidak berhasrat mengisi jawatan Ketua Pembangkang DUN Selangor yang dikosongkan ADUN Sungai Burong, Datuk Shamsudin Lias daripada parti itu buat masa ini, kata Pengerusi BN negeri Datuk Seri Noh Omar.

Beliau berkata pihaknya sedang mengkaji sama ada jawatan itu yang kini dikaitkan dengan jawatan Pengerusi Kira-Kira Wang Awam (PAC) wajib diisi oleh ADUN BN.

"Saya dah minta kepada peguam untuk mengkaji Peraturan Dewan ini sama ada (jawatan) Ketua Pembangkang wajib atau tidak wajib, atau dalam bahasa undang-undang, ia mandatori atau tidak," kata beliau kepada Antarapos.

"Kalau tidak mandatori, mungkin kita tak perlu ada ketua pembangkang sebab kita datang dari satu parti. Mungkin kita dikenali sebagai wakil BN. Apapun kita akan kaji peraturan dewan," katanya.

Pembangkang di DUN Selangor terdiri daripada 12 ADUN BN dan seorang wakil Bebas Pelabuhan Kelang Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang dipecat daripada PKR September lalu. 

Shamsudin meletak jawatan sebagai Ketua Pembangkang DUN Selangor setelah menolak jawatan Pengerusi PAC kerana keahlian jawatankuasa itu terlampau memihak Pakatan Rakyat.

Menurut Shamsuddin, sekirannya menerima jawatan itu, beliau hanya akan menjadi boneka Pakatan Rakyat memandangkan lima daripada tujuh ahli PAC adalah ADUN  PAS, PKR dan DAP.

Susulan keputusan menolak jawatan pengerusi PAC itu, Samsudin terpaksa melepaskan jawatan sebagai Ketua Pembangkang selaras dengan pindaan undang-undang tubuh negeri yang diluluskan DUN minggu lalu.

Noh berkata beliau menyokong keputusan Shamsudin itu. 

Menurut Ahli Parlimen Tanjong Karang itu, BN hanya akan mencalonkan Ketua Pembangkang baru sekiranya peraturan dewan menetapkan bahawa jawatan itu mandatori dan perlu diwujudkan.

"Kalau ia (jawatan ketua pembangkang) mandatori, tak ada pilihan, kemudian kita akan tengok lah siapa yang akan ganti," ujarnya.

Speaker DUN, Hannah Yeoh menggesa agar BN segera mencari pengganti kepada Shamsuddin bagi membolehkan pentadbiran Selangor berjalan dengan lancar.

Hannah  menyifatkan peletakan jawatan Shamsuddin sebagai 'tidak masuk akal' hanya kerana merasakan BN tidak cukup majoriti dalam jawatankuasa pilihan peringkat negeri itu.

Noh berkata, BN tidak perlu menjadi boneka kepada kerajaan Pakatan Rakyat Selangor, justeru peletakan jawatan Shamsudin adalah tindakan yang wajar demi menjaga integriti dan maruah parti.

Beliau dalam pada itu juga kecewa kerana kerajaan negeri enggan melayan tuntutan wakil rakyat BN sebelum ini yang mahu komposisi ahli jawatankuasa PAC 'tidak berat sebelah'.

"Kita sudah minta tapi nampaknya apa yang dikatakan ADUN kita tak diberi perhatian, tak dilayan kerajaan negeri," ujarnya.

Dicatat oleh ELBI RISALAH di 12/08/2014 10:35:00 PTG

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.