Followers

Tuesday, December 30, 2014

Bencana banjir: Kita perlu bergerak sebagai satu pasukan — Anwar Ibrahim

 
KEJADIAN bencana banjir besar kali ini merupakan antara yang paling buruk dalam sejarah Malaysia dan telah memberi kesan kepada lebih 220,000 orang di 5 buah negeri dan mengakibatkan kerosakan kepada terlalu banyak harta benda awam dan peribadi. 
 
Pada masa yang sama, begitu ramai rakyat Malaysia - tanpa mengenal usia, jantina, kaum, mahupun beda politik - telah tampil menghulurkan bantuan dalam bentuk dana, barangan keperluan, dan tenaga.

Saya telah berhubung dengan Dato' Menteri Besar Selangor, YAB Mohamed Azmin Ali dan meminta beliau memberikan bantuan sebanyak yang mampu. 
 
Saya juga telah mengarah seluruh jentera parti di semua negeri agar turut membantu dalam usaha pengagihan barangan keperluan serta kerja-kerja pembersihan di kawasan-kawasan di mana air bah telah surut.

Saya menggesa agar semua pihak bertindak sebagai satu pasukan, dan menyokong langkah Kerajaan Persekutuan dalam usaha menangani bencana ini, serta menggesa agar diluluskan peruntukan segera untuk makanan dan ubat-ubatan, terutama untuk kawasan-kawasan kritikal.

Saya juga mengusulkan supaya Kerajaan Pusat menyediakan satu rancangan yang menyeluruh untuk memperbaiki atau membangunkan semula rumah-rumah yang telah musnah akibat banjir besar ini.

Saya, Azizah dan seluruh keluarga KEADILAN terus memanjangkan doa kepada Allah SWT agar bencana ini akan reda, dan diringankan beban yang dialami semua yang terkesan.

ANWAR IBRAHIM

29 Disember 2014

Read more: http://milosuam.blogspot.com/2014/12/bencana-banjir-kita-perlu-bergerak.html#ixzz3NJqeU8I3

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.