Followers

Thursday, December 11, 2014

Antara Mahathir Dan Najib, Siapakah Bakal Kecundang? oleh Shahbudin Husin,

 
http://mk-cdn.mkini.net/290/1edf840046c7f12d6c9fb3de9a2009e4.gif
Mahathir & Najib
Ayat paling "power" yang diluahkan oleh Mahathir Mohamad kepada kepimpinan Najib Razak yang sedang dipertikaikannya ialah "kalau tak ada kelayakan, jangan jadi kerajaan".

Bekas Perdana Menteri itu juga berkata, ramai lagi yang berkelayakan untuk menggantikan Najib.

Selain itu, Mahathir juga memperlekeh kemampuan Najib dengan berkata, kemenangan BN dalam PRU 13 bukanlah disebabkan imej Najib tetapi tetapi kerana pengundi BN takut jika Anwar menjadi Perdana Menteri, yang akan menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri ialah Lim Kit Siang serta menyebabkan ramai yang kena tangkap.

Sebelum itu, selain menarik balik sokongan, hampir semua tindakan atau keputusan yang dibuat Najib sentiasa saja mendapat kritikan dan bangkangan daripada Mahathir. 1MDB, TPPA, pemansuhan akta, hubungan kaum, CEO MAS, menyaman pengkritik atau apa saja, semuanya mendapat teguran dan "tidak kena" pada pandangan Mahathir.
 
Sesiapa pun yang mengikuti semua perkembangan antara Mahathir dan Najib ini, pasti tidak dapat mengelak daripada merasakan bahawa suatu lagi perkelahian politik bakal berlaku. Tidak kurang yang meramalkan hayat politik Najib mungkin sudah di penghujungnya ketika ini.

Ini kerana, sejarah politik Mahathir memperlihatkan beliau tidak pernah kesian atau mengalah dengan mereka yang dibencinya. Musa Hitam, Tengku Razaleigh dan Anwar Ibrahim adalah musuh "heavyweight" yang disingkirkannya ketika sedang berkuasa, manakala Pak Lah pula berjaya diketepikannya selepas tidak lagi mendiami Seri Perdana.

Sama ada sedang berkuasa atau tidak, pengaruh dan kelicikan Mahathir tidak boleh dipandang mudah.

Selagi tidak menyingkirkan mereka yang dimusuhinya, bermakna ia belum berakhir bagi Mahathir. Kepada Najib, walaupun belum menyebut secara terbuka, Mahathir semakin hari semakin menampakkan hasratnya ke arah itu.

Jika dulu beliau hanya menegur dan mengkritik, kini nadanya beralih mengenai kelayakan sebagai kerajaan, ramai lagi boleh dipilih sebagai pengganti Perdana Menteri serta kemenangan BN bukan disebabkan peranan dan kerja keras Najib selama ini. 
 
Semua itu adalah tanda-tanda jelas Najib sudah tiada dalam hati Mahathir.

Di mata Mahathir sekarang ini, Najib barangkali adalah bakal "mangsa penyingkirannya" yang seterusnya.

Tetapi walaupun dikritik, ditegur, disindir dan diserang, Najib sehingga ini tidak mudah melatah. "Telinga kualinya" terlalu tebal.

Dalam masa yang sama, Najib bukan saja tidak menunjukkan tanda-tanda akan mengalah, bahkan juga tidak mahu berubah. Selain terus dengan stail dan gaya lamanya memimpin parti dan kerajaan, ada juga laporan mengatakan Najib ketika ini sedang cuba mengenepikan pengaruh Mahathir secara perlahan-lahan.

Najib dikatakan tidak lagi menunjukkan kemesraannya seperti dahulu bila bertemu Mahathir di majlis-majlis tertentu, bahkan ada juga laporan mengatakan turut bersikap "endah tak endah" apabila bekas Perdana Menteri itu sedang bercakap.

Sebagai orang tua, keadaan itu pasti menyinggung Mahathir dan membuatkannya terus mahu menyerang Najib.

Sementara Najib mahu terus bertahan sebagai Perdana Menteri sehingga PRU 14 akan datang dengan keyakinan masih mampu mencipta kemenangan lebih gemilang, Mahathir pula mula memberi bayangan bahawa BN akan tumbang jika Najib tidak digantikan. 
 
Tujuannya ialah untuk menarik seramai mungkin sokongan berpihak kepadanya. Tetapi kuasa tarikan sebagai Perdana Menteri juga merupakan kelebihan kepada Najib untuk terus bertahan.

Jika keadaan ini berterusan dan masing-masing tidak mahu mengalah, perkara yang menarik ditunggu ialah bilakah "peperangan terbuka" akan meletus dan siapakah yang bakal kecundang dalam pertembungan antara kedua-duanya nanti?

Berjayakah Mahathir menyingkirkan seorang lagi musuh politiknya? Atau mungkinkah Najib satu-satunya pemimpin UMNO yang gagal diketepikan oleh Mahathir?

Mahathir adalah pemimpin yang paling kerap menghadapi cabaran serta paling suka bermusuh tetapi sentiasa menang dan berjaya menyingkirkan mereka yang mahu disingkirkannya.

Najib pula hampir tidak kenal erti pertandingan dan sentiasa dibentangkan "karpet merah" dalam pendakian kerjaya politiknya. Di dalam UMNO, beliau hanya pernah bertanding bagi jawatan Naib Presiden, suatu jawatan yang memerlukan tiga pemenang dipilih manakala jawatan-jawatan lain yang menghendaki seorang pemenang, semua diperolehinya secara percuma.

Pertembungan Mahathir dengan Najib sepertinya sudah sukar dielakkan. Walaupun Najib terus berdiam dan tidak memberi respon tetapi Mahathir sentiasa saja mencari peluang memanaskan keadaan dan memberi tekanan.

Mungkinkah kemenangan terus memihak kepada Mahathir atau Najib berjaya mencipta sejarah baru dengan "mengkafankan" terus gangguan bekas Perdana Menteri itu? (SH 10/12/2014)
 
 
KedahLanie.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.