Monday, November 10,
2014
Hadi Didesak Berundur?
Dua pilihan Ahli PAS - Hadi atau masa depan parti?
Hadi perlu berundur demi Pakatan dan masalah kesihatannya, kata sumber
OLEH AMIN ISKANDAR, PENGARANG BERITA
Published: 10 November 2014
Kedengaran cakap-cakap yang minta Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi
Awang mengundurkan diri daripada jawatannya. – Gambar fail The Malaysian
Insider, 10 November, 2014.
Datuk Seri Abdul Hadi Awang sedang dipujuk rakan-rakannya agar berundur
demi masa depan PAS dalam Pakatan Rakyat (PR) dan masalah kesihatannya
yang tidak melayakkannya untuk terus memimpin parti Islam itu, kata
sumber.
Mereka memberitahu The Malaysian Insider jika Hadi bersetuju, parti
Islam itu boleh memperbaiki hubungan mereka bersama PKR dan DAP yang
semakin keruh disebabkan sikap dingin presiden PAS itu.
Hadi tidak menghadiri Mesyuarat Majlis Presiden PR sejak tidak bersetuju
dengan tindakan PKR dan DAP untuk menyingkirkan Tan Sri Abdul Khalid
Ibrahim sebagai menteri besar Selangor pada Ogos lepas.
Menurut pemimpin veteran parti itu, kesihatan Hadi tidak begitu baik
sejak mengalami sesak nafas dan dimasukkan ke hospital di Istanbul,
Turki pada Mei.
Difahamkan selepas pulang dari Turki, Hadi sukar untuk mengawal
kemarahannya dan beberapa insiden memalukan berlaku seperti memarahi
Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengunjunginya di
Terengganu semasa kemelut menteri besar Selangor.
“Presiden banyak berubah selepas masuk hospital di Turki dan seringkali
membuat keputusan secara bersendirian. Mungkin sudah sampai masa untuk
beliau berundur,” kata seorang pemimpin kanan PAS kepada The Malaysian
Insider dengan syarat tidak dinamakan.
Selepas mengeluarkan pendirian berbeza berulang kali dengan pemimpin PR,
Hadi tidak menghadiri pelancaran Belanjawan 2015 PR dan pembentangan
Bajet 2015 di Dewan Rakyat pada 10 Oktober lalu.
Ketidakhadiran Hadi dan keputusan yang dikeluarkannya seringkali
bercanggah dengan PR menyebabkan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng
memberi amaran kemungkinan PAS akan meninggalkan gabungan itu sekiranya
presidennya terus tidak memberikan komitmen.
Difahamkan, pujukan agar Hadi berundur dilakukan pemimpin veteran yang
dihormati presiden PAS itu sendiri.
Sumber berkata, jika rakan lama dalam PAS berjaya memujuknya, Hadi boleh
mengambil alih jawatan mursyidul am yang kini disandang Datuk Nik Abdul
Aziz Nik Mat.
Selepas meletakkan jawatan sebagai presiden PAS, Hadi tidak perlu lagi
menghadiri mesyuarat bersama PR dan parti Islam itu dapat meneruskan
kerjasama bersama PKR dan DAP untuk menawan Putrajaya, kata sumber itu.
Sumber berkata, ramai yang mengharapkan Hadi tidak mengumum akan
mempertahankan jawatannya dalam pemilihan parti tahun depan.
"Namun halangan kita yang terbesar adalah, kepimpinan dalam PAS ni bukan
kepimpinan politik saja atau pertubuhan biasa, tetapi juga kepimpinan
jemaah Islam yang tidak ada umur bersara," kata sumber itu merujuk
kepada keadaan Nik Aziz yang sedang uzur sekarang ini.
Walaupun terdapat cakap-cakap Hadi akan membawa PAS keluar PR, ahli
Parlimen Marang itu mengumumkan pada Ogos parti itu akan tetap bersama
gabungan yang ditubuhkan pada 2008 itu.
Bagaimanpun, Hadi menegaskan PAS akan terus mempunyai ideologinya
sendiri yang mungkin bercanggah dengan rakan-rakan PR.
Anwar yang juga ketua umum PKR bagaimanapun menolak dakwaan itu dan
berkata beliau seringkali berhubung dengan Hadi.
"Saya tidak rasa begitu, tidak elok mengatakan demikian. Saya ada
berkomunikasi dengan beliau. Ia bukanlah satu masalah," katanya.
Jika Hadi bersetuju untuk berundur, masalah baru yang timbul adalah
siapakah yang bakal menggantikannya, soal seorang aktivis PAS.
Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu popular tetapi tidak disukai golongan
konservatif yang turut membenci Anwar.
"Kalau timbalan beliau, Mohamad Sabu, ramai pihak yang tidak akan
senang. Nama yang popular adalah Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim
Tuan Man tetapi beliau tidak berminat untuk memegang jawatan itu," kata
aktivis yang sudah berama parti Islam itu selama lebih 30 tahun.
Bagaimanapun seorang lagi aktivis parti Islam itu yakin Mohamad mampu
menggalas jawatan presiden PAS dan memperkukuhkan PR.
“Dalam PAS siapa yang paling dihormati PKR dan DAP? Mat Sabu disenangi
Guan Eng dan Anwar.
“Mat Sabu jugalah yang seringkali menggantikan Hadi dalam mesyuarat
Pakatan apabila Hadi tidak hadir,” katanya.
Tuan Ibrahim yang juga pesuruhjaya PAS Pahang dilihat sebagai ulama yang
paling berpengaruh dalam parti Islam itu selepas Hadi dan Nik Aziz
ekoran sikap terbukanya dalam menghadapi kepelbagaian.
Selain Tuan Ibrahim dan Mohamad, terdapat juga kempen kecil dimulakan
agar seorang lagi naib presiden, Datuk Husam Musa mengambil alih tempat
Hadi.
"Namun kalau dia (Hadi) mahu berundur secara sukarela (bukan melalui
pertandingan) saya percaya dia akan memilih Tuan Ibrahim sebagai
penggantinya," kata sumber itu. – 10 November, 2014.
Posted by mountdweller at 1:05 PM
Make Money at : http://bit.ly/best_tips
Make Money at : http://bit.ly/best_tips
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.