KERUGIAN 1MDB BAGI TAHUN KEWANGAN 2014 LEBIH BESAR JIKA TIDAK KERANA NILAIAN SEMULA ASET
Keputusan kewangan 1MDB bagi
tahun kewangan berakhir 31 Mac 2014 mencatatkan kerugian bersih
sebanyak RM665 juta, iaitu satu jumlah kerugian yang begitu besar
memandangkan keadaan ekonomi yang kian sukar dan menekan rakyat.
Bersama-sama ini saya
sertakan petikan Penyata Untung Rugi dan Penyata Kedudukan Kewangan bagi
1MDB yang telah diaudit dan difailkan dengan Suruhanjaya Syarikat
Malaysia.
Kedua-dua penyata ini akan
menunjukkan bahawa kedudukan kewangan 1MDB dan prestasinya setakat ini
adalah lebih teruk dari dijangkakan.
Bagi tahun kewangan 2014,
perbelanjaan 1MDB iaitu perbelanjaan pengurusan dan bayaran faedah dan
khidmat kewangan telah meningkat 52% dari RM2.47 bilion (2013) kepada
RM3.76 bilion (2014).
Sebagai gambaran besarnya jumlah perbelanjaan ini,
kos pengurusan dan faedah hutang sebanyak RM3.76 bilion adalah hampir
sama dengan peruntukan BR1M bagi 2014 sebanyak RM4 bilion.
Saya juga ingin menarik
perhatian rakyat kepada prestasi kewangan sebenar 1MDB. Setiap tahun,
1MDB melakukan nilaian semula ke atas harta-hartanya yang diambil kira
dalam menentukan untung rugi tahunan.
Bagi tahun 2013, harta-hartanya
telah dinilai semula dan peningkatan sebanyak RM2.74 bilion dicatatkan
sebagai keuntungan.
Jika tidak kerana nilaian semula sebanyak RM2.74
bilion ini, 1MDB sebenarnya mencatat kerugian sebanyak RM1.96 bilion
dalam tahun 2013.
Keadaan yang sama berlaku
dalam tahun 2014. 1MDB telah membuat nilaian semula ke atas
harta-hartanya dan peningkatan nilai berjumlah RM897 juta telah diambil
kira.
Jika nilaian semula ini tidak dibuat, prestasi kewangan sebenar
1MDB bagi tahun 2014 ialah mencatat kerugian sebanyak RM1.56 bilion.
Penyata Kedudukan Kewangan 1MDB bagi tahun berakhir 31 Mac 2014 pula mengesahkan bahawa hutang terkini 1MDB (Borrowings) telah mencecah RM42 bilion.
Oleh yang demikian, prestasi
sebuah syarikat yang rugi berbilion-bilion ringgit tiap-tiap tahun dari
aktivitinya (tidak termasuk perubahan perakauan atau accounting adjustments seperti
nilaian semula harta) dan berhutang sedemikian tinggi sudah tentu
mengundang soalan tentang pengurusan dan kewajaran perniagaan syarikat
itu.
Dalam konteks 1MDB, perkara
ini lebih sensitif kerana hutang-hutang 1MDB dijamin Kerajaan Malaysia.
Sebuah syarikat yang secara berterusan mengalami kerugian sebegini
memberi gambaran ia bukanlah syarikat yang mampu membayar
hutang-hutangnya da nada kemungkinan risiko muflis yang tinggi – yang
akhirnya akan menyebabkan hutangnya ditanggung rakyat.
Malah, harta-hartanya yang
dinilai semula setiap tahun untuk menutup kerugian tersebut termasuklah
juga hartanah terbaik negara seperti tanah-tanah kerajaan di sekitar Kem
Udara Sungai Besi yang kini dibangunkan sebagai Tun Razak Exchange.
Hartanah-hartanah ini disuntik ke dalam 1MDB oleh kerajaan.
Saya mengajak rakan-rakan
Ahli Parlimen dari Barisan Nasional untuk turut membuka mata bahawa
tidak ada sebarang syarikat kerajaan sebelum ini yang menanggung
kerugian berbilion ringgit setiap tahun seperti 1MDB.
Prestasi kewangan
1MDB dan risikonya kepada rakyat perlu dibahaskan secara jujur dan saya
berharap apabila usul khas mengenai 1MDB difailkan di Dewan Rakyat,
rakan-rakan Ahli Parlimen Barisan Nasional akan turut menyokong.
RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN
10 November 2014
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.