Followers

Saturday, November 22, 2014

Polis, tentera gempur Cameron Highlands..??

 
 
SERDANG: Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan menggerakkan anggota ke Cameron Highlands untuk menggempur kegiatan pembukaantanah secara haram di situ pada waktu malam, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berkata, langkah itu diambil susulan perbincangannya dengan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah, berdasarkan laporan bahawa kegiatan itu sering
dilakukan oleh pendatang asing tanpa izin (PATI) pada waktu malam.

"Saya sudah mengarahkan Ketua Polis Negara (Tan Sri Khalid Abu Bakar) dan Panglima Angkatan Tentera (Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zain) untuk menghantar
anggota masing-masing supaya pada waktu malam kita akan membuat rondaan yang lebih menyeluruh dan kalau ada kegiatan yang menyalahi undang-undang kita
akan ambil tindakan," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Antarabangsa (MAHA) 2014, di Taman Ekspo Pertanian
Malaysia Serdang (Maeps), di sini hari ini.



Berhubung kebanjiran PATI di kawasan tanah tinggi itu, beliau berkata, penguatkuasaan lebih tegas dan berkesan akan dijalankan melalui kerjasama antara
kerajaan negeri Pahang dan Kerajaan Pusat.


Najib berkata, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Khas Mengenai Banjir Kilat di Cameron Highlands akan
melawat kawasan tanah tinggi itu Isnin ini bersama-sama Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob.

"Saya berharap hasil lawatan dan perbincangan bersama itu, kita akan membuat tindakan yang lebih berkesan dan kelemahan-kelemahan dari segi penguatkuasaan
selama ini akan berubah kepada satu bentuk penguatkuasaan lebih serius dan berkesan lagi," katanya.

Kejadian banjir lumpur dan tanah runtuh di Kampung Raja, Pekan Ringlet dan Lembah Bertam di Cameron Highlands pada 5 November lepas, mengakibatkan lima
kematian dan lebih 90 mangsa daripada 28 keluarga terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan di Dewan Serbaguna Orang Ramai di Ringlet.

- BERNAMA

Pen Burok Online.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.