Followers

Monday, November 24, 2014

Pengguna keliru, senaraikan barang sudah dikenakan GST


Cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang juga dikenali sebagai VAT atau cukai nilai tambah di kebanyakan negara adalah cukai penggunaan pelbagai peringkat ke atas barangan dan perkhidmatan.
GST dikenakan ke atas pembekalan barangan dan perkhidmatan di setiap peringkat rangkaian bekalan daripada pembekal sehingga peringkat peruncitan daripada pengagihan.


Walaupun GST dikenakan di setiap peringkat rangkaian bekalan, elemen cukai tidak menjadi sebahagian daripada kos produk kerana GST yang dibayar ke atas input perniagaan boleh dituntut.

"Kita dapati ada sesetengah perkhidmatan sudah dikenakan cukai perkhidmatan atau GST sebelum masuk tahun baru 2015," kata Timbalan Pesuruhjaya PAS Sarawak, Jofri Jaraiee dalam kenyataan di sini.

Menurutnya, antara perkhidmatan yang sudah lama dikenakan cukai perkhidmatan ialah bil telefon dan juga beberapa francais makanan segera.

"Kita juga dapati kawasan parkir di lapangan terbang Miri juga dikenakan GST seperti mengenakan cukai perkhidmatan bil telefon sebelum tiba masanya," ujarnya yang juga Yang Dipertua PAS Miri.

Katanya, kebanyakan pengguna terutama yang tinggal di luar bandar masih lagi keliru dan kurang faham dengan GST yang akan dikenakan pada 1 April 2015 nanti.

Beliau menambah, GST bukan saja membebankan pengguna tetapi ianya juga akan memberi kesan kepada pengguna yang berpendapatan kecil yang terpaksa menanggung kos barangan yang mereka gunakan.

Katanya lagi, kebanyakan syarikat perniagaan sudah mengenakan GST atau cukai perkhidmatan kepada pengguna tanpa disedari.

 
 Justeru, ujarnya adalah menjadi tanggungjawab pihak kerajaan menerangkan kepada pengguna apa sebenarnya GST dan kesannya kepada pengguna.

"Kita menggesa pihak kerajaan menyenaraikan barangan yang sudah dikenakan GST dan juga yang akan dikenakan pada 1 April 2015 nanti supaya pengguna tidak keliru dengan GST yang sebenarnya," katanya.

Menurutnya, memandangkan banyak subsidi sudah dimansuhkan termasuk subsidi petrol, maka sewajarnya caj GST yang dikenakan kepada pengguna perlu dikaji semula agar ianya tidak membebankan pengguna kerana pengguna tidak dapat menuntut balik pembelanjaan mereka dari Lembaga Hasil Dalam Negeri seperti para peniaga yang mendaftar dengan GST.

Sehubungan itu, kata beliau kerjasama dengan pihak kerajaan untuk mengkaji semula GST dengan caj yang berpatutan supaya ianya tidak membebankan rakyat yang menghadapi inflasi sekarang amat dihargai. - HARAKAHDAILY 24/11/2014

 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.