Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara
akan panggil 13 kementerian dan 2 agensi berdasarkan Laporan Ketua Audit
Negara, kata pengerusinya Datuk Nur Jazlan Mohamed. – Gambar fail The
Malaysian Insider, 10 November, 2014.
Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Datuk Nur Jazlan
Mohamed terkejut kerana lebih banyak kementerian bakal dipanggil
jawatankuasanya berhubung Laporan Ketua Audit Negara 2013 siri 3 yang
baru didedahkan hari ini.
Beliau berkata, PAC akan memanggil 13 kementerian dan dua agensi
berdasarkan kepada laporan tersebut dan prosiding dijangka bermula pada
sesi Dewan Rakyat akan datang.
"Kita pun rasa terkejut, kali ini isu banyak di mana kita dapati ia
cukup serius untuk dipanggil," katanya pada sidang media di Parlimen
hari ini.
"Pertambahan mungkin kerana kebanyakan audit dibuat serentak dengan pembentangan bajet di Parlimen."
Nur Jazlan yang juga Ahli Parlimen Pulai berkata, di antara kementerian
yang akan dipanggil segera adalah Kementerian Pendidikan berhubung
program 1Bestarinet dan Kementerian Kesihatan bagi pembinaan hospital di
Shah Alam.
Laporan Audit Negara mendapati projek 1Bestarinet yang bernilai RM663 juta mempunyai tahap penggunaan yang sangat rendah.
Laporan itu menyatakan penyambungan Internet ke 4,176 tapak pengguna
lewat disiapkan, antara 12 ke 439 hari dari tempoh pelaksanaan yang
ditetapkan. Tambahan, tiada lanjutan masa dilakukan dan kontraktor tidak
dikenakan denda lewat sejumlah RM2.4 juta.
Jazlan berkata bagi prosiding kategori program, PAC bakal memanggil
Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat (KKWPK).
"Ia berkenaan dengan program 1 Azam di mana laporan audit mendapati
terdapat beberapa isu mengenai pemilihan peserta tidak melalui sistem
e-kasih, juga justifikasi pemilihan bagi 22 pembekal barangan bernilai
RM8 juta tidak dapat dipastikan," katanya.
1 Azam merupakan program di bawah seliaan KKWPK yang menyediakan peluang menjana pendapatan kepada rakyat berpendapatan rendah.
Selain itu sebuah jawatankuasa khas turut ditubuhkan bertujuan
menjalankan siasatan mengenai isu yang timbul sepertimana dilaporkan
dalam Laporan Audit Negara.
"Jawatankuasa ini akan bertindak menyiasat apa yang dilaporkan dalam
Laporan Audit Negara sebelum ia dibentangkan di Parlimen," katanya.
Beliau berkata prestasi pengurusan kewangan kementerian tidak ditegur dalam audit negara termasuk di peringkat negeri.
Tambahnya, surat teguran pengesahan penyata kewangan 2013 dikenakan
terhadap Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia, Finas, Lembaga Pembangunan Seni
Visual, Lembaga Wakaf Hindu Penang, Perbadanan Aset Keretapi, dan
Perbadanan Perusahan Kecil dan Sederhana. – 10 November, 2014.
- See more at:
http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/pac-terkejut-lebih-banyak-kementerian-bakal-dipanggil-kerana-laporan-audit#sthash.szXVo3Fp.dpuf
KedahLanie.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.