Ramai
yang memuji ucapan Timbalan Presiden UMNO, Muhyiddin Yassin semasa
perasmian Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri malam
tadi. Ucapan beliau yang menyentuh banyak perkara dan masalah dalam
parti disifatkan sebagai ucapan berterus-terang untuk memulihkan semula
semangat dan kekuatan UMNO.
Akhirnya,
rakyat lebih mungkin mengubah kedudukan UMNO terlebih dahulu sebelum
UMNO sendiri memahami apa itu perubahan yang sering dilaung-laungkannya
tanpa henti selama ini.
Beliau
bukan saja menyentuh mengenai keperluan berubah, tetapi juga
membangkitkan isu-isu perebutan sesama sendiri dalam parti yang terus
berlaku, walaupun hakikatnya UMNO semakin merosot dan merudum
sokongannya di kalangan rakyat.
Apa
yang diperkatakan oleh Muhyidin itu memanglah sesuatu yang benar dan
tiada yang benar, melainkan benar belaka. Cumanya, jika kita imbau
ucapan beliau selaku orang nombor dua dalam parti sejak 2009 lalu,
itulah lebih kurang intipatinya setiap tahun.
Periksa
dan amatilah ucapan Muhyiddin ini sejak beliau menjadi orang nombor dua
dalam parti dan kerajaan. Itulah retoriknya setiap tahun, mungkin hanya
ada satu dua perkara baru saja yang dijadikan tambahan dalam ucapannya.
Berubah,
berubah dan berubah. Tapi apa yang berubah setakat ini? Kalaulah
perkataan berubah itu sendiri merupakan sesuatu yang hidup dan bernyawa,
tentulah dia juga turut letih kerana setiap tahun semua orang
menyebut-nyebut namanya dengan kerap sekali.
Daripada
Presiden, Timbalan Presiden, Naib-naib Presiden, ketua-ketua sayap,
jurucakap sehinggalah kepada pemerhati yang bersidai di kedai kopi
sekitar PWTC, semuanya tidak pernah tertinggal menyebut perkataan
perubahan itu.
Sekali
lagi, apa yang berubah? Bukan saja perwakilan daripada seluruh negara
lupa untuk berubah apabila pulang ke kawasan masing-masing, bahkan
Presiden dan Timbalan Presiden pun sama lupa untuk berubah sebaik
perhimpunan berakhir.
Sebab
itu, sepanjang masa sentiasa saja berlaku perkara-perkara yang
meresahkan rakyat. Ia berlaku silih berganti daripada satu isu kepada
satu isu yang lain. Isu pembaziran, pemborosan, kemewahan, mengutamakan
kroni dan kaum keluarga dalam projek-projek kerajaan dan seumpamanya
terus juga berlaku tanpa henti-henti.
Sekiranya
pemimpin memahami apa itu perubahan, seharusnya merekalah yang lebih
dulu berubah. Tunjukkanlah perubahan yang nyata di depan ahli UMNO dan
rakyat semua. Ingatlah bahawa cerminan paling utama bagi pemimpin UMNO
ialah peranan dan tanggungjawab mereka dalam mengurus kerajaan dan dalam
kehidupan seharian.
Seharusnya
berhentilah bercakap mengenai perubahan kerana sekarang adalah masa
untuk bertindak. Setelah lima atau enam tahun bercakap perkara yang sama
tidak lebih hanya menunjukkan kegagalan bertindak sebenarnya.
Lagi pula, bagaimana untuk meminta ahli dan pemimpin untuk berubah sedangkan mereka yang diatas sendiri tidak mahu berubah?
Ada
pula yang bercakap, bagaimana UMNO mahu berubah kerana untuk
melaksanakan perubahan di ibu pejabat UMNO sendiri pun, Najib tidak
mampu melakukannya?
Sudah
begitu banyak rungutan mengenai masalah dan karenah dalam UMNO yang
melibatkan setiausaha agung, ketua penerangan dan setiausaha kerja ini
yang dianggap antara punca sukarnya UMNO berubah dan semakin lemah
sekarang ini. Tetapi nampaknya Najib terus mengekalkannya juga dan
memekakkan telinga kepada segala rungutan itu.
Itu
belum lagi dibangkitkan perubahan-perubahan yang lain yang bukan saja
mengenai Najib tetapi juga melibatkan Muhyiddin dan lain-lain pemimpin
UMNO di peringkat kerajaan. Berbezakah mereka daripada dulu dengan
sekarang atau daripada tahun ke tahun?
Satu-satunya
perkara baru yang dibangkitkan oleh Muhyiddin dalam ucapannya semalam
ialah meminta agar pemilihan parti diadakan sebelum pilihanraya umum
akan datang. Sejak era Pak Lah, beliau sering menangguhkan proses
pemilihan UMNO untuk memberi laluan kepada pilihanraya diadakan terlebih
dahulu. Pemilihan UMNO hanya diadakan selepas pilihanraya berakhir.
Najib
nyata suka meneruskan tradisi itu. Tidak seperti era Mahathir,
pemilihan UMNO tidak pernah ditangguhkan sama ada di depannya ada
pilihanraya atau tidak.
Selepas
pemilihan yang lalu pada 2013, pemilihan UMNO yang seterusnya ialah
pada 2016. Pilihanraya umum ke 14 pula mesti diadakan sebelum Mei 2018.
Untuk
berubah dan supaya perubahan itu benar-benar difahami oleh ahli UMNO
semua peringkat, UMNO mesti berani mengadakan pemilihan kepimpinannya
sebelum PRU 14 akan datang. Ia tidak perlu ditangguhkan lagi sebagaimana
yang dilakukan oleh Pak Lah dahulu kerana ianya tidak sesuai lagi
dengan keadaan dan keperluan UMNO sekarang ini.
UMNO
mesti menunjukkan keberaniannya untuk berubah terlebih dahulu sebelum
mahu meminta rakyat terbanyak menilai apa perubahan yang telah
dilakukannya. Dengan sedia mengadakan pemilihan dan memilih pemimpin
baru sebelum pilihanraya, UMNO sekurang-kurangnya sudah menunjukkan
kesediaannya untuk berubah.
Muhyiddin
nampaknya sudah melontarkan cabaran agar pemilihan UMNO akan datang ini
tidak lagi ditangguhkan. Sekarang, terserahlah kepada Najib
menyahutnya. Beliau mungkin boleh mengumumkannya dalam ucapan perasmian
Perhimpunan Agung UMNO pada hari esok atau bila-bila masa saja sepanjang
perhimpunan tahun ini.
Mungkin
terlalu awal untuk mengandaikan bahawa permintaan Muhyiddin ini
merupakan isyarat bakal berlakunya pertandingan di peringkat kepimpinan
tertinggi UMNO, tetapi jika pertandingan atau perubahan kepimpinan boleh
menjamin kemenangan, kenapa mesti takut dengannya?
Bukankah
selama ini semua berkata UMNO lebih penting daripada pemimpin? Dikata
juga pemimpin boleh bertukar ganti tetapi UMNO harus kekal
selama-lamanya? Dilaungkan juga, tanpa UMNO orang Melayu akan jadi
"bangsat" di negara ini, walaupun ia sebenarnya jauh daripada hakikat
sebenarnya?
Nah, apa lagi, inilah masanya membuktikan segala yang kerap dilaungkan selama ini!!
Sekiranya
majoriti pemimpin sedia ada dalam UMNO masih menunjangi parti di
peringkat pusat, negeri dan bahagian dalam pilihanraya umum akan datang,
percayalah, sokongan rakyat bukan saja tidak berubah, malah akan terus
merudum. Laungan perubahan juga akan terus kedengaran tahun demi tahun
tanpa hentinya.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.