Umat Islam tak digalak berkawan dengan makhluk ghaib kerana tidak diketahui beriman atau kafir.
Di sebalik
dunia nyata yang kita tempuhi, ada kehidupan sama seperti manusia tetapi
terselindung dan tidak dapat disingkap pancaindera biasa.
Penduduk alam
ghaib itu dikatakan memiliki budaya setempat seperti bermain kompang dan
berzanji, memiliki wajah dan fizikal seperti manusia.
Penghuni dunia
itu juga hidup bermasyarakat, mendirikan rumah dan penempatan sama
seperti kita malah dikatakan turut menunaikan haji dengan menaiki
kenderaan sama seperti manusia.
“Apa yang
membezakan orang bunian dengan manusia ialah jika berpakaian, semuanya
mesti satu warna. Dari baju ke seluar sama warna,” kata Pengasas Pusat
Rawatan Islam Manarah di Kuang, Selangor; Dr Jahid Sidik.
Dr Jahid yang
juga bekas pensyarah Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya berkata,
selain warna pakaian; berdasarkan pengalaman dan kes yang dirujuk
kepadanya, semua aktiviti bunian sama seperti manusia.
“Cuma manusia
tidak nampak mereka. Dalam al-Quran juga menyatakan manusia tidak dapat
melihat makhluk ghaib seperti syaitan, jin dan bunian kerana mereka
tidak memiliki jasad. Manusia memiliki empat unsur iaitu air, api, tanah
dan angin tetapi bunian menyamai jin hanya memiliki unsur api dan angin
(menyebabkan mereka tidak berjasad),” katanya.
Beliau yang
berpengalaman hampir 15 tahun dalam perubatan Islam berkata, sehingga
kini ada dua teori dikemukakan mengenai kewujudan dan asal usul orang
bunian.
“Mengikut
cerita orang lama termasuk guru saya; asal bunian ialah apabila manusia
berkahwin dengan jin. Sememangnya dalam kitab fekah ada perbincangan
mengenai perkahwinan antara manusia dan jin.
“Berdasarkan
pengalaman yang dirujuk kepada saya, membuktikan perkahwinan antara jin
dan manusia memang berlaku dalam kehidupan ini,” katanya yang turut
menjelaskan bahawa perkahwinan itu menyebabkan bunian memiliki rupa dan
budaya seperti manusia tetapi memiliki unsur api dan angin menyamai jin.
Satu teori lain
mengenai kewujudan bunian adalah mereka pada asalnya manusia alim dan
soleh, taat kepada perintah Allah tetapi akibat sebab tertentu, mereka
terlalai dan melakukan kejahatan.
“Akibat malu
berhadapan dengan manusia, mereka berdoa kepada Allah supaya kewujudan
mereka tidak dilihat manusia. Ada versi mengatakan kejadian ini berlaku
pada zaman Sahabat tetapi ada yang mengatakan ia berlaku sebelum zaman
Rasulullah serta pada zaman Nabi-Nabi terdahulu,” katanya.
Beliau berkata,
manusia biasa tidak dapat melihat bunian atau jin tetapi keadaan itu
boleh berlaku dalam beberapa keadaan tertentu, dengan izin Allah.
Antaranya apabila ada jin atau bunian yang menumpang dalam badannya
tanpa disedari individu itu.
“Ada orang
berkata, bayi dapat melihat bunian atau jin kerana mereka masih suci.
Itu tidak benar, sebenarnya bayi dapat melihat perkara ghaib itu kerana
bunian atau jin menumpang di badannya.
“Ada satu kes
seorang bapa mendakwa anak kecilnya istimewa (psikik) kerana dapat
melihat benda ghaib. Selepas dibawa kepada saya, didapati dalam badannya
ada jin dan selepas makhluk itu dikeluarkan, anak kecil itu kembali
normal,” katanya.
Selain itu,
manusia mampu melihat bunian jika makhluk itu menzahirkan jasadnya dan
kebiasaannya kemampuan bunian menunjukkan fizikalnya berlaku apabila
bunian itu mempelajari ilmu tertentu. Sebaliknya manusia juga boleh
melihat bunian jika mereka mempelajari ilmu tertentu.
Dr Jahid menceritakan beberapa kes bunian yang dirujuk kepadanya sepanjang terbabit dalam bidang perubatan Islam itu.
“Satu kes di
Kota Tinggi, Johor. Dua pemuda masuk ke hutan mencari rotan tetapi
seorang daripada mereka hilang ketika hari hampir malam.
“Operasi
mencari dijalankan tetapi lelaki itu tetap tidak dijumpai sehinggakan
ahli keluarga dan penduduk kampung menganggap pemuda itu sudah meninggal
dunia akibat dibaham binatang buas. Masa berlalu dan kehilangan pemuda
itu semakin kurang dibualkan penduduk dan ahli keluarga.
“Tiba-tiba,
kira-kira lebih setahun selepas kehilangannya, pemuda itu kembali ke
rumah keluarganya dan membawa bersama seorang anak dan isteri,” katanya.
Pemuda itu
menceritakan, pada hari kehilangannya, dia tersesat dalam hutan dan
apabila menjelang malam, ketika mencari jalan keluar, dia terjumpa
sebuah rumah.
Selepas berehat
semalaman, pemuda itu meminta izin pulang tetapi disuruh pemilik rumah
tinggal bersama mereka dan berkahwin dengan anak perempuannya.
Selepas
setahun, lelaki itu diizinkan menjenguk keluarganya di alam manusia
tetapi selepas itu, dia diberi pilihan oleh mentuanya sama ada ingin
terus berada di alam bunian atau bersama manusia. Lelaki itu memilih
kekal bersama anak dan isterinya di alam bunian.
Kes kedua
diceritakan Dr Jahid berlaku pada tahun-tahun terakhir jemaah haji
menggunakan kapal laut sebagai pengangkutan. Dalam sebuah kabin,
ditempatkan tiga lelaki dan selepas berkawan, mereka bertukar alamat
apabila ingin berpisah.
“Apabila
pulang, seorang dari mereka yang tinggal di Kedah mengambil keputusan
melawat kenalannya di Muar, Johor. Sebaik sampai di Muar, dia
menunjukkan alamat kepada pemandu teksi yang berasa pelik kerana tiada
kampung di kawasan itu.
“Apabila
sampai, didapati memang tiada penempatan di situ, selepas berjalan masuk
ke dalam sedikit, baru dia menjumpai kampung dan rumah kenalannya.
Tetapi selepas beberapa ketika berada di tangga rumah kenalan itu, dia
ditolak seorang pemuda dan sebaik terjatuh, dia melihat rumah dan
kampung ghaib sebaliknya digantikan dengan semak belukar,” katanya.
Kes ketiga
lebih menyedihkan. Seorang gadis meminta pertolongan Dr Jahid untuk
memisahkannya daripada suaminya lelaki bunian. Beberapa tahun sebelum
perkahwinan mereka, lelaki itu mendatangi gadis itu dan mengugut supaya
mengahwininya atau gadis itu akan mengalami sakit misteri.
Gadis itu
enggan menyebabkan dia diserang penyakit misteri selama dua tahun.
Akibat tidak tahan menanggung kesakitan sehingga menyebabkannya lumpuh,
gadis itu bersetuju berkahwin dengan lelaki bunian berkenaan.
Bantuan yang
diminta daripada Dr Jahid bagaimanapun dibatalkan gadis itu dipercayai
selepas diugut suami buniannya dan sehingga kini, tidak diketahui nasib
wanita itu.
FAKTA
- Bunian tidak ditakrif dalam al-Quran tetapi keajaiban Allah sama seperti kejadian manusia kembar.
- Manusia yang bersahabat atau berkawan dengan bunian, menjatuhkan martabat mereka sebagai khalifah Allah.
- Tidak seperti
jin yang boleh terbang dan memiliki kemampuan lain, Bunian hidup
seperti manusia dengan berjalan kaki, bercucuk tanam cuma bezanya mereka
tidak dilihat manusia walaupun hidup di alam yang sama.
- Bunian boleh
menyakiti manusia secara ghaib tetapi bagi bunian yang mempelajari ilmu
tertentu, mereka boleh menyakiti manusia secara fizikal.
- Rawatan digunakan Dr Jahid untuk merawat gangguan jin atau bunian adalah kaedah ketukan.
- Tanda-tanda
seseorang diganggu bunian atau jin adalah berkelakuan pelik seperti
melihat benda ghaib, berat badan kekal tetapi apabila diangkat terasa
berat selain kesan aneh pada tubuh badan.
- Manusia tidak digalakkan berkawan dengan bunian kerana sukar diketahui sama ada bunian itu benar-benar beriman atau kafir.
- Kaedah
menjauhkan gangguan bunian atau jin adalah dengan menjaga ibadat wajib
dengan sempurna selain memperbanyakkan ibadat sunat serta solat hajat,
solat taubat dan berdoa.[Dari tulisan asal oleh Nasron Sira Rahim]
p a a d a a d a
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.