Followers

Friday, November 14, 2014

Menteri naik gaji, rakyat naik apa? - HAMBALI AKRAM



 BERITA mengenai Dun Sabah meluluskan kenaikan gaji menteri kabinet dan adun sedikit sebanyak membuatkan saya tertanya-tanya, ke manakah slogan “rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan”.

Apatah lagi jumlah kenaikan itu ialah 50 peratus. Pada saat rakyat berdepan dengan pelbagai kenaikan kos sara hidup, tindakan itu bukanlah baik untuk rakyat. Apatah lagi, segala gaji, elaun dan lain-lain adalah hasil cukai yang dikutip daripada rakyat.

Belum pun cukai barangan perkhidmatan (CBP/GST) dilaksanakan sepenuhnya, rakyat telahpun merasai keperitan kenaikan harga barang keperluan dan lain-lain berikutan kenaikan harga minyak. Kenaikan kos sara hidup pula tidak seimbang dengan kenaikan gaji. Itu bagi yang menerima gaji.

Bagaimana pula rakyat yang bekerja sendiri penoreh getah, penanam padi, nelayan, pekebun sawit dan lain-lain yang tidak menerima imbuhan tetap setiap bulan.

Sudahlah harga kebanyakan komoditi tidak stabil dan rendah, ditambah dengan musim tengkujuh yang melanda.

Usahkan untuk membeli barang-barang keperluan sekolah, mungkin untuk membeli makanan asas pun tidak mencukupi. Sepatutnya, dalam suasana ini, sebarang kenaikan gaji dan menteri ditangguh dahulu. Utamakan wang cukai tersebut untuk memenuhi keperluan asas rakyat.

Apa lagi yang wakil rakyat mahu, mereka boleh membuat pelbagai tuntutan seperti tuntutan perjalanan yang merangkumi minyak, tol, tiket kapal terbang dan sebagainya. Jika membeli kenderaan pun mereka mendapat keistimewaan dan harga yang lebih murah berbanding rakyat.

Juga, ketika Selangor mahu menaikkan gaji wakil rakyatnya tempoh hari. Heboh membantah di sana-sini. Sekarang kenapa pula diam seribu bahasa?

Jangan sampai rakyat naik angin dengan tindak-tanduk pemimpin yang hanya mementingkan perut sendiri.

Mereka perlu lihat bagaimana kemarahan rakyat dalam pilihan raya 2008 yang dilepaskan ketika mengundi.

Perkara yang sama tidak mustahil akan berulang – rakyat menyimpan kemarahan tersebut dan meluahkan pada waktu yang tidak dijangka. Pada 2008,

Pakatan Rakyat belum wujud lagi tetapi rakyat memberi undi kepada mana-mana calon yang tidak mewakili kerajaan.

Posted & copy by RAKYAT MARHAEN

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.