Followers

Saturday, November 22, 2014

Mahasiswa UKM dakwa pilihan raya kampus tidak adil - OLEH MOHD FARHAN DARWIS


Pilihan Raya Kampus Universiti Kebangsaan Malaysia yang berlangsung pada 17 November hingga 20 November lalu didakwa tidak dijalankan dengan bersih dan telus, kata Pengerusi Gerakan Mahasiswa (GMUKM) Abdul Kahar Hamzah.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkannya malam ini, Kahar berkata pihaknya melahirkan rasa kesal dengan pengendalian pilihan raya sesi 2014/2015 kali ini yang menurutnya menzahirkan banyak ketidakadilan dengan menyaksikan calon GMUKM memperolehi 15 kerusi, calon Aspirasi Mahasiswa memenangi 14 kerusi dan satu kerusi dimenangi calon Bebas.

"Calon bebas dibawa keluar oleh Timbalan Naib Canselor Prof Datin Aziah Mohd Awal sendiri untuk memujuk agar memihak kepada Aspirasi Mahasiswa yang mempunyai hubungan yang baik dengan pihak universiti," kata Kahar.

"Isu mengenai kelemahan dalam menguruskan pilihan raya kampus merupakan perkara yang sering berlaku setiap tahun dan ia kegagalan pihak pengurusan pilihan raya kampus untuk mengatasinya.

"Segala kelemahan dan ketidakadilan yang berlaku seharusnya diatasi oleh pihak yang berwajib bagi menjamin ketelusan pilihan raya kampus kali ini," katanya.

Kahar berkata pihaknya mendapati kelemahan yang sangat besar daripada pengurusan Jawatankuasa Induk Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar yang perlu diambil perhatian serius daripada semua pihak.

Antara kelemahan sistem pemilihan dan berkempen yang didedahkannya antaranya adalah Aziah sendiri memainkan peranan sebagai penghantar calon, Suruhanjaya Pilihan Raya dan Hakim Pilihan Raya yang menurutnya tidak berlaku adil.

Selain itu, beliau berkata turut berlaku ketidakadilan apabila prosedur berkempen yang tidak munasabah, seperti calon diwajibkan mengisi borang setebal 120 muka surat untuk berkempen di satu kolej dan tempoh berkempen yang terlalu singkat, iaitu tiga hari untuk 12 kolej kediaman.

"Fitnah yang berleluasa, seperti kereta Pengetua Kolej Pendeta Zaaba dan perhentian bas yang disimbah cat.

"Hanya calon GMUKM yang dihalang berucap di kolej, dan pihak kolej mengeluarkan "konvensi" dan menghalang GMUKM dengan alasan Aspirasi berkempen di situ pada malam yang sama," katanya.

"Pelajar juga diugut oleh kolej untuk tidak menyokong calon GMUKM," tambahnya lagi.

Kahar berkata wakil calon juga dilarang memeriksa peti undi ketika hari pengundian atas alasan masa tidak cukup sedangkan pemeriksaan peti undi diwajibkan dalam peraturan pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar.

"Nombor siri kertas undi dicatat dalam senarai pengundi, dan ini menjadikan undi tidak lagi menjadi rahsia.

"Sebelum ini, Jawatankuasa Pusat Pengundian dari fakulti dan Ketua Jawatankuasa Pusat Pengundian ialah Timbalan Dekan Fakulti, tetapi Jawatankuasa PRK kali ini ialah Pengetua kolej.

"Kami ingin membantah hal ini sedangkan calon Aspirasi bertanding atas nama Ikon aspirasi kolej yang di hantar oleh pengetua, dan pengetua yang memihak kepada mereka tidak menerima bantahan wakil calon GMUKM walaupun wujudnya ketidakadilan," kata Kahar.

Beliau turut berkata, pegawai pemilihan juga melakukan begitu banyak kesalahan seperti menggunakan pensil untuk mengundi.

"Penipuan turut berlaku ketika proses pengiraan, pegawai mengumumkan calon GMUKM hanya mendapat 3 undi berbalas 32 tetapi selepas wakil kami membantah tegas, keputusan itu berubah menjadi jadi 23 undi untuk kami dan 12 undi untuk Aspirasi," katanya.

"Calon-calon GMUKM juga  dihalau keluar daripada Pusat Mengira Mengundi kerana membantah papan putih yang mencatat kiraan undi terlalu jauh," tambahnya.

Kahar turut mendakwa terdapat van Barisan Nasional (BN) di kawasan Canselori ketika pemilihan berlangsung.

"Sehubungan itu, pihak GMUKM akan mengadakan sidang media berhubung perkara itu bagi menyuarakan rasa tidak puas hati mereka di kampus UKM jam 3 petang esok," katanya, dalam kenyataan itu.

Pada pemilihan 2013, GMUKM memenangi 22 kerusi, manakala  4 Aspirasi dan 1 Bebas. – 21 November, 2014.


www.themalaysianinsider.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.