Followers

Sunday, November 9, 2014

Khalifah: PM, MB diamanah untuk menjaga agama MUHAMMAD YUSRI AMIN

 
KOTA BHARU: Menteri Besar, Ustaz Datuk Ahmad Yakob berkata Perdana Menteri dan Menteri Besar dalam konteks struktur organisasi kerajaan adalah mereka diberi amanah untuk menjaga agama dan mengurus orang ramai, diistilahkan sebagai 'khalifah'.

Katanya, antara ajaran agama mesti digunakan sebagai instrumen pemerintahan ialah tentang 'halal 'haram' serta amal makruf, nahi mungkar.

Perkara itu, jelasnya menjadi lebih penting dalam sistem pemerintahan.

“Ini kerana sebuah negara adalah satu kuasa yang berfungsi sebagai 'pengawal' dan 'pintu' bagi segala aktiviti rakyat.

“Dan instrumen agama seperti itu tidak bermakna sama sekali kalau sekadar menjadi peraturan yang bertulis,” kata Menteri Besar pada majlis perasmian Persidangan Perwakilan Tahunan Penghulu/Penggawa Semenanjung Malaysia Kali Ke-40 Tahun 2014 dan Majlis Makan Malam di Kota Darulnaim di sini kelmarin.

Teks perasmian dibacakan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Negeri Dr Ramli Mamat.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mohd Faudzi Che Mamat dan Yang Dipertua Kesatuan Penghulu/Penggawa Semenanjung Malaysia Mohd Fuad Zainal Abidin.

Katanya, dalam struktur organisasi kerajaan, para pemimpin terdiri dari Perdana Menteri, Menteri Besar, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, para pegawai, penggawa dan penghulu adalah sebahagian daripada mereka yang diberikan amanah untuk 'menjaga agama Islam' di tempat masing-masing di samping menguruskan rakyat.

Justeru, katanya mereka yang beruntung dan mendapat bekalan akhirat ialah mereka berjaya menunaikan amanah dan tanggungjawab diserahkan kepadanya.

Beliau merujuk sabda Rasulullah s.a.w. bahawa di antara orang yang akan mendapat naungan (teduhan) pada hari yang tidak ada sebarang 'teduhan' lain ialah pemimpin yang adil.

“Pemimpin adil itu berjaya menunaikan amanah diserahkan kepadanya dengan sebaik mungkin, manakala orang mengkhianati amanah diserahkan kepadanya itu disifatkan Rasulullah s.a.w. sebagai orang mempunyai tanda-tanda munafik.

Beliau berkata, berdasarkan hadis, ada empat sifat boleh menjadikan seseorang itu munafik, dan sekiranya ada padanya satu sifat itu, maka dia sudah memiliki satu daripada sifat munafik tersebut.

“Sifat itu ialah apabila diberikan amanah, dia mengkhianati, apabila bercakap dia berbohong, apabila berjanji dia mungkiri dan apabila bertengkar dia melampau.

“Perbuatan pecah amanah atau mengkhianati kepercayaan dan tanggungjawab diberikan oleh orang lain kepada kita adalah satu perbuatan boleh menjadikan seseorang itu munafik,” ujar beliau. -  



HARAKAHDAILY 9/11/2014

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.