Followers

Sunday, November 9, 2014

Kes Mat Sabu: Saksi tak tahu siapa Agong pada tahun 1950...???

 

BUTTERWORTH: Saksi pendakwa yang kelapan iaitu Pegawai Penyiasat Ibu Pejabat Polis Seberang Perai Utara, ASP Jafri Md Zain mengakui semasa pemeriksaan balas bahawa laporan polis pihak pengadu berhubung kes Mat Indera tetap mempunyai nilai walaupun laporan polis mengandungi fakta-fakta yang tidak betul dan tidak masuk akal.
Pada perbicaraan kelmarin, saksi pendakwa itu disoal bertalu-talu oleh peguambela Mohamad Sabu, Mohamed Hanipa Maidin berhubung siasatan beliau berkenaan laporan polis yang dibuat oleh pengadu iaitu mantan pesara polis iaitu Visvanathan.

Di dalam laporan polis itu beliau menyatakan Mat Sabu menyokong komunis dan menderhaka Yang di-Pertuan Agong.


Hanipa menyoal pegawai penyiasat itu bagaimanakah laporan polis pengadu boleh dikatakan mempunyai nilai dalam keadaan dakwaan pengadu menderhaka kepada Agong adalah tidak masuk akal kerana pada tahun 1950 iaitu kejadian tragedi Bukit Kepong institusi Yang di-Pertuan Agong belum wujud lagi.

Begitu juga Hanipa membangkitkan dakwaan pengadu kononnya menyokong komunis adalah suatu yang secara jelas tidak betul kerana Mat Sabu tidak pernah sama sekali menyebut perkara tersebut di dalam mana-mana ucapannya.

ASP Jafri yang berkhidmat selama 19 tahun dengan PDRM adalah saksi kelapan pendakwa.


Beliau dan beberapa petugas PDRM telah pergi ke Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) Al-Fahmi Padang Menora, Tasek Gelugor pada 21 Ogos 2011 untuk merakam tujuh keping gambar. 


Mat Sabu didakwa di bawah seksyen 500 Kanun Keseksaan di Mahkamah Seksyen Butterworth di hadapan Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi.

Selepas keterangan pegawai penyiasat itu perbicaraan tersebut kini ditangguhkan kepada 14 Disember 2014 depan di Mahkamah Kuala Terengganu ekoran waris kepada salah seorang polis pada kejadian Bukit Kepong, Jaafar Hasan dalam keadaan uzur dan tinggal di Terengganu.

Berikut adalah antara lain soalan Hanipa ke atas saksi pendakwa tersebut.

Soalan: Adakah kamu ada ambil statement daripada pengadu kes ini iaitu encik Visvanathan?

Jawapan: Tiada

Soalan: Berapa pegawai penyiasat dalam kes ini?

Jawapan: Saya seorang.

Soalan: Jika kamu seorang siapa pula yang ambil keterangan pengadu di bawah seksyen 112 Kanun Prosedur Jenayah?

Jawapan: Ada pegawai penyiasat lain.

Soalan: Maknanya bukan seoranglah..ada pegawai penyiasat lainlah?

Jawapan: Saya tak setuju.

Soalan: Kamu ada baca laporan polis pengadu.

Jawapan: Ada.

Soalan: Cuba lihat laporan polis..setuju tak dia ada kata ucapan Mohamad Sabu tentang Bukit Kepong menghina atau derhaka Yang di-Pertuan Agong?

Jawapan: Ya, betul.

Soalan: Saya nak tanya kamu pada hari kejadian Bukit Kepong tahun 1950 sebelum merdeka siapa Yang di-Pertuan Agong.

Jawapan: Saya tak tahu.

Soalan: Sebagai Pegawai Penyiasatan kamu rasa laporan polis itu ada nilai bila dia kata Mohamad Sabu hina Agong. Bila pada waktu itu Agong pun belum ada?

Jawapan: Bagi saya ada nilai.

Soalan: Kamu lihat dalam laporan polis pengadu kata Mohamad Sabu sokong komunis dalam siasatan kamu, adakah dakwaan pengadu itu betul?

Jawapan: Ya, berdasarkan trankrip ucapan Mohamad Sabu memang dia sokong komunis.

Soalan: Kamu benar-benar pasti...ingat ya kamu dalam bersumpah ini adalah kamu masih nak kekalkan keterangan kamu?

Jawapan: Ya.

Soalan: Baiklah itu pilihan kamu, sekarang cuba lihat transkrip eksibit P7. Tunjukkan pada mahkamah di mana yang dikatakan Mohamad Sabu sokong komunis.

Jawapan: (Saksi tunjuk transkrip) Tiada Tuan Hakim.

Soalan: Adakah sekarang kamu masih nak katakan laporan polis pemgadu masih ada nilai?

Jawapan: Saya tak boleh jawab Tuan Hakim.

Soalan: Kamu setuju bukan Mohamad Sabu seorang saja yang kata mereka yang lawan penjajah British adalah pejuang kemerdekaan?

Jawapan: Ya.

Soalan: Maknanya ada perbezaan pendapat siapa yang dikatakan pejuang kemerdekaan seperti boleh dilihat dalam buku Pengukir Nama Johor yang disemak oleh pakar sejarah Ramlah Adam dan kata pengantar oleh Datuk Ghani Othman mantan Menteri Besar Johor?

Jawapan: Ya.

Soalan: Kamu setuju tak ada apa warta atau keputusan kabinet ke dalam kes Bukit Kepong ni hanya ada satu saja versi yang harus dipakai tentang siapa yang dikatakan pejuang kemerdekaan?

Jawapan: Saya tak mahu jawab.

Soalan: Oleh kerana kamu sendiri setuju ada pelbagai pendapat atau versi tentang siapa yang dikatakan pejuang kemerdekaan maknanya apa yang Mohamad Sabu kata bukan satu fitnah?

Jawapan: Saya tak setuju kerana apa yang dia kata tak sama dengan pendapat yang satu lagi.

Soalan: Bukan kamu sendiri dah mengaku ada lebih satu pendapat...tak apalah itu sahaja soalan saya Tuan Hakim.

- HARAKAHDAILY




No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.