Followers

Monday, November 24, 2014

HIMPUNAN MAHASiSWA PERTAHANKAN KAMPUNG WARISAN Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS)

KENYATAAN MEDIA
 
Puteri Acoustic's photo.
1) Kampung Warisan Melayu merupakan kampung yang dibuka sendiri oleh nenek moyang kaum melayu dan sehingga ke hari ini masih mengekalkan ciri-ciri tradisional kediaman masyarakat melayu walaupun dikelilingi pelbagai arus kemodenan. 

Namun, dengan bermodalkan perkataan pembangunan, kampung-kampung ini semakin diancam dengan banyak daripadanya ingin dirobohkan untuk memenuhi keperluan projek jutaan ringgit.

2) Akhbar Sinar Harian bertarikh 11 Oktober 2013 telah menyiarkan satu keratan yang menyebut penduduk Kampung Banggol Donas, Terengganu telah diberi notis pindah dalam tempoh 21 hari. 

Sekiranya mereka enggan, kediaman mereka akan dirobohkan setelah tamat tempoh notis tersebut. Notis tersebut telah dikeluarkan oleh Penolong Kanan Pentadbir Tanah bahagian Pengambilan Tanah, Pejabat Tanah Kuala Terengganu. 

Notis tersebut dikeluarkan adalah untuk memberi laluan kepada pembinaan jalan dari Kampung Jeram ke Kampung Banggol Tuan Muda yang melalui Kampung Banggol Donas. Kos projek ini sangat tinggi dan menelan wang rakyat khas sehingga RM 226 juta. Projek ini dirunding terus kepada syarikat milik bekas Ketua Pemuda UMNO Negeri Terengganu.

3) Semenjak 2008, penduduk kampung tersebut telah mencadangkan alternatif lain bagi pembinaan jalanraya tersebut dengan mengambil tanah sekitar yang tidak berpenghuni namun seolah-olah diabaikan begitu sahaja oleh pihak kerajaan. 

Ada laluan yang boleh dibina tanpa menyentuh kampung ini namun pihak kerajaan negeri Terengganu seperti tidak mahu mengubahnya.

4) Daripada 24 keluarga yang asalnya bertahan, kini hanya tinggal 5 keluarga yang masih kekal bertahan walau diugut dengan pelbagai cara.

5) Kampung Banggol Donas terletak dalam kawasan Dewan Undangan Negeri Teluk Pasu Parlimen Kuala Nerus. Sekiranya projek jalan dan jambatan Kampung Jeram yang merupakan susur keluar dari Lebuh Raya Pantai Timur ini dilaksanakan sepenuhnya, Kampung Banggol Donas yang merupakan kampung tradisi Melayu yang berusia lebih dari 100 tahun akan hilang dari muka bumi.

6) Selain itu, Kampung Chubadak pula merupakan kampung yang terletak di tengah ibu kota dengan Kira-kira 160 keluarga tinggal di kampung itu dan sedang dihimpit arus pembangunan. 

7) Sejak 12 tahun lalu, masalah mula timbul apabila pihak pemaju berhasrat untuk membangunkan kampung itu selepas kawasan sekelilingnya sudah pesat membangun. 

8) Pengiktirafan oleh Mahkamah Rayuan Malaysia pada tahun 1998 dalam kes Sentul Murni Sdn Bhd lwn Ahmad Amirudin Bin Kamarudin & Others bahawa mereka bukanlah setinggan tetapi pemegang lesen menduduki beserta ekuiti (licensees coupled with equity) dan mereka perlu dibayar pampasan atau ganti rugi yg sewajarnya mengikut nilaian semasa sekiranya perlu dipindahkan. 
Keputusan ini sekali lagi disahkan oleh Mahkamah Rayuan pada 13 November 2014 yang lalu.

9) Namun, pihak kerajaan berkeras mahu mengusir masyarakat di situ dan memberikan pampasan yang tidak setimpal. Natijahnya, apabila bantahan dibuat, ramai antara mereka terpaksa bermalam di lokap polis kerana cuba mempertahankan kampung dan tapak rumah mereka. 

10) Selain itu, Kampung Matau, Jengka pula sebuah kampung yang diwujudkan sekitar tahun 50-an oleh pekerja-pekerja yang menerangkan tanah hutan Jengka (sebelum dijadikan Felda). 

Mereka membina kampung ini dan terus bermastautin di sana. Kampung ini dianggarkan didiami lebih kurang 200 keluarga yang terdiri dari 100% orang Melayu. 

Puteri Acoustic's photo.

Rumah penduduk kampung dirobohkan oleh pihak Majlis Daerah Maran untuk tujuan pembangunan iaitu mendirikan bangunan kedai dalam keadaan tuntutan mereka sedang didengar di mahkamah lagi.

11) Sebuah lagi kampung ialah Kampung Puah Seberang, Sentul. 

Nasib 20 keluarga di kampung tersebut menjadi persoalan apabila penempatan mereka sejak 

10 Januari 1916 akan dimajukan utk projek River of Life yang menelan belanja berbillion ringgit tetapi tidak ada pampasan yang sewajarnya kpd penduduk-penduduk kampung yg kesemuanya orang Melayu yang sudah lama menetap di situ

12) Selain daripada kampung yang disebutkan, terdapat kampung-kampung warisan lain yang mengalami masalah perobohan oleh pihak berkuasa dan mungkin akan hilang dari peta Malaysia seperti Kampung Bharu, Kampung Bandar Dalam, Kampung Padang Balang, dan Kampung Sungai Mulia yang terletak di sekitar ibu kota.

13) Kampung-kampung warisan ini ingin dirobohkan oleh pihak kerajaan Barisan Nasional dan UMNO Negeri untuk tujuan pembangunan dan pembinaan. Malah, pampasan tidak sampai RM1000 dengan pemindahan ke rumah PPR yg perlu dibayar sewa selama-lamanya.

14) UMNO yang merupakan parti komponen terbesar dalam Barisan Nasional dan ditubuhkan demi mempertahankan kepentingan masyarakat Melayu dilihat banyak bertindak sebaliknya dalam isu ini.

15) UMNO Negeri dan Majlis Perbandaran yang berada di bawah kelolaan mereka telah mengeluarkan arahan, memberikan peluang kepada projek – projek, merobohkan rumah dan memberikan pampasan yang tidak setimpal kepada penduduk di kampung warisan. 

16) Perkara ini amatlah mengecewakan dengan latar belakang UMNO yang sepatutnya mempertahankan warisan tradisional masyarakat melayu termasuk kampung warisan sedangkan majoriti mangsa adalah masyarakat melayu dan beragama Islam.

17) Menyedari akan kepentingan untuk menjamin hak masyarakat kampung yang tertindas, Gabungan Mahasiswa Islam Semalaysia (GAMIS) akan menganjurkan Himpunan Selamatkan Kampung Warisan dan penyerahan memorandum kepada Presiden UMNO di hadapan PWTC ketika berlangsungnya Perhimpunan Agung UMNO 2014 pada 28 November 2014 pukul 2.00 petang iaitu selepas solat jumaat di Masjid Perkeliling yang juga akan disertai masyarakat-masyarakat kampung yang tertindas.

18) Justeru, GAMIS mengajak semua rakyat Malaysia untuk turun bersama-sama ke himpunan ini tidak mengira latar belakang politik dan agama. GAMIS juga menyeru mana-mana NGO untuk menyahut seruan ini dan bersama-sama menyatakan sokongan dan bersolidariti dalam mempertahankan hak kampung warisan masyarakat Melayu.


Abd Malik Abd Razak, Presiden GAMIS

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.