Followers

Friday, November 14, 2014

Bolehkah gandingkan semula Tun M & Tan Sri Khalid menjaga MAS..?

 


Ke mana hala tuju MAS?



PENGURUSAN MAS perlu berani buat perubahan dan bersaing dengan pesawat-pesawat lain demi mengembalikan semula zaman kegemilangan syarikat penerbangan nombor satu negara.



PENGURUSAN MAS perlu berani buat perubahan dan bersaing dengan
SAYA terpanggil berkongsi pandangan terhadap syarikat pe­nerbangan negara kita Malaysia Airlines System (MAS) yang kini sedang menghadapi krisis kewang­an yang amat serius.



Kerugian demi kerugian yang dilaporkan kadang-kadang tidak dapat diterima oleh akal kita yang waras.



Bagi saya tiada kekurangan yang ketara antara MAS dengan syarikat-syarikat penerbangan lain malah dalam satu segi MAS dilihat lebih gagah dari pesaingnya.



Pun begitu tidaklah perlu kita membandingkan MAS dengan Si­ngapore Airlines, Etihad dan yang lain-lain yang setaraf dengannya.



Namun apa yang sangat membanggakan saya ialah aset-aset terutama pesawat yang dimiliki MAS setara dengan syarikat-syarikat gergasi dunia. Mereka ada Airbus A380, kita pun ada enam buah pesawat.



Ini menunjukkan MAS tidak ke­tinggalan. Saya sangat sayang dan akan terkilan jika suatu hari nanti syarikat penerbangan negara jatuh ke tangan orang lain.



Pada pandangan saya, kerugian yang ditanggung MAS bukanlah ke­rana kekurangan sambutan daripada pelanggan tetapi kemungkinan besar atas sebab-sebab ketidakcekapan pengurusannya, tiada integriti atau berlaku ketirisan di mana-mana.



Cuba kita imbas kembali semasa Datuk Seri Idris Jala menjadi CEO (2005-2009), MAS telah memperoleh keuntungan biarpun tidak seberapa kalau dibanding dengan kerugian yang dialami sekarang ini.



Seperkara lagi yang perlu dititikberatkan ialah kos penyelenggaraan pesawat yang tinggi. Mungkin MAS ingin menjaga prestij. Ini tidak dapat dinafikan kerana selama ini MAS telah memenangi banyak anugerah peringkat global.



Walaupun anugerah perlu sebagai pengiktirafan tetapi MAS wajar memikirkan tentang keuntungan kerana rakyat yang prihatin akan terus menanti khabar gembira dari syarikat penerbangan kebangsaan mereka. Tawaran harga murah juga perlu diadakan sekerap mungkin untuk bersaing dengan syarikat penerbangan lain.



Sajian makanan dan minuman sekarang tidak mengharapkan sajian istimewa, mereka lebih gemarkan tambang murah.



Untuk meminimakan kos penye­lenggaraan semua pesawat, MAS sepatutnya menyerahkan tugas itu kepada AIROD. Kepakaran AIROD dalam teknologi penerbangan telah mendapat pengiktirafan antarabangsa sehingga ada syarikat penerbangan negara lain menghantar pesawat mereka untuk dibaik pulih oleh AIROD. Selain itu, laluan tidak ekonomik perlu dihentikan dengan segera.

Walaupun reputasi MAS telah terencat berikutan insiden MH370 dan MH17, tetapi bagi saya itu bukanlah faktor utama. MAS masih berupaya terbang dan kepercayaan orang ramai masih jitu walaupun kengerian tetap terpahat.



Seperti yang disarankan oleh beberapa pihak, MAS juga perlu me­ngubah penampilan terutama pramugari Islam diwajibkan memakai tudung dan hidangkan semua makanan dan minuman halal dalam penerbangan.

MAS juga boleh melabelkan di badan semua pesawat, umpamanya dengan moto ‘PENERBANGAN SELAMAT LAGI BARAKAH’ atau lain-lain yang bersesuaian. Saya yakin walaupun berpenampilan sedemikian, ia tidak akan mengubah persepsi penumpang domestik dan antarabangsa terhadap MAS malah berkemungkinan juga akan lebih digemari kerana mewujudkan kelainan dari syarikat-syarikat penerbangan antarabangsa.



Pemilikan penuh Khazanah Nasional atas semua kepentingan MAS dilihat sebagai satu strategi yang sangat baik bagi pengstrukturan semula pelan pemulihan MAS. Pemberhentian 6,000 kakitangan juga dilihat sebagai satu formula yang bagus, memandangkan lebihan tenaga kerja akan menjurus ke arah pembaziran tenaga kerana tidak seimbang dengan keperluan sebenar.



Pada saya pampasan yang dibayar kepada kakitangan yang diberhentikan agak tinggi iaitu melebihi RM1.9 bilion, tetapi pulangan jangka panjang yang akan diperoleh kelak akan lebih berbaloi jika penyu­sunan semua dibuat dengan teliti.



Saya juga berharap MAS mempunyai jati diri. Walaupun berada dalam kegawatan sekalipun MAS tidak perlu ada cita-cita untuk bergabung dengan mana-mana syarikat penerbangan. Suntikan RM6 bilion oleh kerajaan dirasakan telah memadai untuk pelan pemulihan MAS. Mungkin dalam masa yang singkat MAS tidak perlu mengharapkan keuntungan yang lumayan, tetapi perlulah dikurangkan kerugian ke tahap yang paling minimum. Pandangan-pandangan dan idea-idea bernas dari ‘orang-orang lama’ MAS bahkan rakyat jelata juga perlu didengar.



Kebarangkalian MAS terpaksa menanggung kos yang tinggi dalam pencarian MH370 juga ada asas­nya. Tetapi setakat ini tiada maklumat negara-negara yang sama-sama mencari seperti China, India, Amerika Syarikat, Jepun, Britain dan sebagainya akan menuntut kos pencarian.



Pengurusan di peringkat atasan amat penting. Apa salahnya Tun Dr. Mahathir Mohamad sendiri dilantik sebagai Penasihat MAS memandangkan idea-idea Tun amat bernas walaupun Tun bukanlah seorang ahli korporat.



Manakala Tan Sri Khalid Ibrahim (mantan MB Selangor) sebagai Pe­ngarah Urusannya. Gandingan ke­dua-dua tokoh ini diyakini mampu memulihkan dan membawa MAS ke arah kecemerlangan.



Kita berjaya menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang di­segani di dunia, inikan pula hanya sebuah ‘syarikat penerbangan’. Jangan jadikan ini kegagalan kita!



HASSAN BAKAR

Pendang, Kedah

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.