Followers

Thursday, November 13, 2014

Air di Selangor Kembali kepada Pemilikan Rakyat! Masa untuk berikan Nilai Terbaik untuk Rakyat…


KENYATAAN MEDIA DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR


KERAJAAN NEGERI KOMITED MENDAPAT NILAI TERBAIK DARI PENSTRUKTURAN AIR SELANGOR

Kerajaan Negeri Selangor berbesar hati mengumumkan bahawa anak syarikat milik penuh Kerajaan Negeri Selangor iaitu Air Selangor Sdn Bhd (“Air Selangor”) telah memuktamadkan pembelian saham dengan Puncak Niaga Holding Berhad (PNHB) seperti mana disyaratkan oleh Perjanjian Induk Penstrukturan Air Selangor (“Perjanjian Induk”) bertarikh 12 September 2014 yang dimeterai di antara Kerajaan Selangor, Kerajaan Persekutuan dan Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB).

Pembelian saham dari PNHB ini melibatkan dua syarikat pemegang konsesi air iaitu SYABAS dan Puncak Niaga Sdn Bhd (PNSB) yang dimuktamadkan pada hari terakhir tempoh masa yang telah disyaratkan oleh Perjanjian Induk.

Dengan pembelian saham ini, sebahagian besar operasi dan aset air akan kembali kepada rakyat yang membolehkan Kerajaan Negeri Selangor melalui Air Selangor mula mengambil alih dan menyusun semula operasi SYABAS dan PNSB. 

Tumpuan utama akan diberikan kepada usaha mengurangkan kadar air tidak berhasil (non-revenue water) yang merugikan rakyat serta memastikan bekalan air mencukupi secara berterusan untuk rakyat Selangor.

Kerajaan Negeri Selangor juga berhasrat meningkatkan kecekapan perkhidmatan air yang lebih mesra rakyat dan responsif kepada pengguna di seluruh Negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Langkah seterusnya di dalam proses penstrukturan industri air ini ialah memuktamadkan pengambilalihan dua lagi syarikat konsesi iaitu ABASS dan SPLASH mengikut kerangka dasar yang menjamin kepentingan rakyat Selangor.

Walaupun beberapa perkara utama seperti kos dan terma pengambilalihan 4 syarikat konsesi (PNSB, SYABAS, ABASS dan SPLASH) telah diputuskan sebelum saya menjawat amanah sebagai Dato’ Menteri Besar Selangor, saya yakin ada ruang-ruang yang perlu digunakan sepenuhnya oleh pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor yang baru untuk memastikan penstrukturan industri air ini memberi nilai terbaik kepada rakyat Selangor secara menyeluruh.

Ruang-ruang ini termasuklah memastikan pembinaan Projek Langat 2 (baik dari segi kapasiti, kos kejuruteraan dan pembinaan) dinilai secara objektif oleh wakil-wakil Kerajaan Negeri Selangor supaya tidak ada unsur-unsur pembaziran yang kelak akan membebankan rakyat.

Saya yakin dengan amalan keterbukaan dan ketelusan yang dititikberatkan oleh pentadbiran baru Kerajaan Negeri Selangor dalam proses penstrukturan air, Kerajaan Negeri Selangor akan berjaya mencapai persetujuan dengan semua pihak yang terbabit untuk menyempurnakan penstrukturan air dalam tempoh terdekat.

MOHAMED AZMIN ALI

DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR.


D. Dzul's Blog.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.