Followers

Saturday, November 15, 2014

ADUN BN digantung sehari DUN P Pinang

Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Pinang Tunggal Datuk Roslan Saidin digantung sehari daripada menghadiri persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang.
  
Speaker Datuk Law Choo Kiang, ketika menerima usul tergempar dibentangkan Ketua Menteri Lim Guan Eng (DAP-Air Putih), berkata penggantungan itu berkuat kuasa pada hari pertama persidangan DUN Pulau Pinang pada penggal akan datang.
  
"Disebabkan Yang Berhormat Pinang Tunggal (Roslan) enggan memohon maaf, maka beliau akan digantung daripada hadir sidang DUN berkuat kuasa pada hari pertama persidangan dewan yang akan datang," katanya selepas usul itu dipersetujui pada persidangan DUN di Georgetown, hari ini.
  
Ketika membentangkan usul tergempar itu, Lim berkata Jawatankuasa Hak dan Kebebasan yang dipengerusikan Law sebulat suara beretuju bahawa Roslan, ketika sesi perbahasan pada 3 Julai 2013, tidak mematuhi peraturan kerana telah menggunakan perkataan yang menyakitkan hati dan menyentuh peribadi seseorang.
  
Beliau berkata jawatankuasa itu, yang bermesyuarat sebanyak lima kali, memutuskan bahawa Roslan tidak menyebut perkataan 'rasis' dan tidak mempunyai niat jahat untuk mewujudkan perasaan bermusuh antara kaum.

Namun, jawatankuasa itu memutuskan bahawa beliau hendaklah memohon maaf dalam persidangan DUN dengan ayat 'jikalau pernyataan saya telah menyinggung profesion dan etika perubatan, saya memohon maaf'.
  
"Sekiranya yang berhormat (Roslan) enggan memohon maaf, beliau hendaklah digantung daripada menghadiri persidangan DUN selama sehari," kata Lim.
  
Sementara itu, Roslan dalam kenyataan bela dirinya, menegaskan dirinya tidak bersalah.
  
Sekiranya permohonan maaf itu dibuat, katanya, ia menunjukkan dirinya bersalah dan kenyataannya sudah pasti akan diputar belitkan oleh pihak tidak  bertanggungjawab.
  
"...saya ada keputusan saya sendiri, sudah tentulah saya tidak mahu mohon maaf dan saya sudi dan rela untuk digantung sehari daripada hadir ke persidangan DUN.

"Saya mohon maaf pada semua, bukan pada bab ini (penggantungan) tetapi ucapan hari ini," katanya.
  
Persidangan DUN pada 11 Dis 2013 telah merujuk Roslan ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan selepas didakwa mengeluarkan perkataan 'rasis' dalam ucapannya semasa persidangan DUN Julai 2013.
  
Pada persidangan itu, Roslan dalam ucapannya mendakwa tiga doktor iaitu dua di Hospital Seberang Jaya dan seorang di Hospital Kepala Batas telah bersikap rasis kerana enggan memberi rawatan kepada pesakit yang berbeza bangsa dengan mereka.
  
-Bernama


Malaysiakini 




No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.