Followers

Saturday, November 29, 2014

Adakah mengkritik Umno kini akan dilabelkan sebagai menghasut? The Malaysian Insider

 
 
Mereka yang berpendirian keras dalam Umno menang dan mereka mahu setiap rakyat Malaysia tahu perkara ini.

Apa-apa kritikan walaupun menyentuh tentang Islam, orang Melayu dan Raja-Raja akan dilihat sebagai satu serangan terhadap Umno, begitu juga sebaliknya.

Ini mesej hari pertama perhimpunan Umno, dan kumpulan konservatif parti itu membuktikan betapa berpengaruhnya mereka kerana berjaya mendapatkan presiden mereka, Datuk Seri Najib Razak, untuk melawan kenyataannya sendiri.

Dan ini memberi kesan serius kepada rakyat di jalanan, kata penganalisis politik Prof James Chin, kerana ia memberi isyarat tindakan akan diambil terhadap mereka yang memberi pendapat yang berlainan.

Tekanan akar umbi

Menurut Ketua Umno Pulau Pinang Datuk Zainal Abidin Osman, jika Najib tidak membatalkan rancangannya untuk memansuhkan Akta Hasutan, akan berlaku serangan terhadapnya.

Perwakilan ke perhimpunan tahun ini, yang pada dasarnya adalah jurucakap untuk ahli biasa parti itu, akan berhujah Akta Hasutan perlu dikekalkan.

Zainal Abidin berkata, hampir semua daripada lebih 20,000 cawangan parti itu membincangkan Akta Hasutan. Konsensusnya adalah ia perlu dikekalkan.

Persetujuan ini kemudian dibawa ke peringkat bahagian, kepada jawatankuasa negeri mereka dan akhirnya menjadi kenyataan dalam perbahasan pada perhimpunan agung kali ini.

"Oleh itu, apabila Najib berkata akan mengekalkan akta itu, semua orang mengubah ucapan mereka mengucapkan terima kasih kepada beliau dan bukannya mendesak beliau. Jika tidak, perbahasan akan menjadi lebih panas," kata Zainal Abidin.

"Pemikiran kami ialah akta ini berjaya mengekalkan kedamaian di Malaysia selama 57 tahun. Kecuali tragedi 1969, kita hidup dalam keadaan aman dan harmoni. Jadi mengapa membuangnya?" kata Zainal Abidin.

Hampir semua perwakilan yang bercakap semalam melahirkan variasi dari keyakinan ini.
"Akta Hasutan melindungi kita selama ini. Tindakan boleh diambil terhadap mereka yang tidak suka Melayu atau Islam," kata perwakilan Umno Perlis Datuk Zahidi Zainul Abidin.

"Kita membuat kesilapan apabila memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri dan meminda Akta Universiti dan Kolej Universiti," kata perwakilan Umno Melaka Mustafa Musa.

"Pihak yang mendapat manfaat daripada Akta Hasutan adalah pembangkang," kata Mustafa.
Zainal Abidin kelihatan sudah letih untuk meredakan kebimbangan keputusan Najib yang akan mencetuskan gelombang baru penindasan terhadap mereka yang mengkritik Putrajaya dan Umno.

"Najib menyatakan dengan jelas, ia tidak akan digunakan sebagai alat politik."

Antara kritikan dan benci

Namun hakikat ramai antara mereka yang didakwa di bawah Akta Hasutan adalah ahli-ahli politik dari Pakatan Rakyat dan individu yang mengkritik dasar kerajaan adalah sesuatu yang terlepas perhatian para perwakilan.

Sebelum Najib membuat pengumuman semalam, klip video pendek ditayangkan kepada para perwakilan daripada siaran-siaran dalam media sosial yang kononnya menghasut.

Mereka termasuk penghinaan terhadap Raja-raja Melayu, lukisan merosakkan simbol-simbol Islam dan mesej Ramadan terkenal dari blogger kontroversi Alvin Tan dan Vivian Lee.

Apa yang tiada adalah muka pemimpin PR seperti Khalid Samad, N Surendren atau Tian Chua, ahli akademik seperti Profesor Azmi Sharom atau pendakwah seperti Wan Ji Wan Hussin.

Kesemua mereka didakwa di bawah akta itu kerana menyatakan pendapat mereka mengenai keputusan yang dibuat Putrajaya.

Perwakilan tidak menjelaskan perbezaan antara kritikan terhadap dasar dan undang-undang, sebagai contoh pada batas-batas kuasa raja dan ucapan kebencian.

Sebaliknya, ahli Umno lebih suka jika kedua-dua dirangkumkan sekali dan dikira sebagai perkara yang sama.

Seorang perwakilan, Datuk Jamelah A Bakar bahkan mencadangkan agar apa-apa penghinaan terhadap pemimpin Umno dianggap sebagai menghasut.

"Kita perlu memburu orang-orang yang melarikan diri ke negara lain dan menarik balik kewarganegaraan mereka," kata perwakilan Wanita Umno itu.

Chin, dari Monash University berkata keputusan Najib mencerminkan trend yang membimbangkan dalam Umno yang boleh membawa kesan buruk kepada negara secara keseluruhannya.

"Ucapan Najib mempunyai unsur haluan kanan yang kuat. Dia cuba untuk membina jalan tengah untuk parti. Tetapi semua orang menolak untuk bersamanya. Jadi sekarang beliau sedang mengikuti apa yang Umno mahu."

Janji awal Najib untuk memansuhkan akta itu keras ditentang golongan konservatif parti seperti Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Tun Dr Mahathir Mohamed.

"Dia mahu menunjukkan dia tidak begitu lemah sebagaimana yang didakwa. Tetapi dengan ini, ia bermakna dia sudah mengaku kalah untuk mengambil pendekatan yang sederhana."

Chin juga merasakan ia mudah bagi Umno untuk mengaburkan garis pemisah antara kritikan terhadap mereka dan ucapan benci.

"Dengan mengekalkan akta ini, mereka sendiri mengatakan jika anda mengkritik kita, walaupun sedikit, kita akan mencari anda." – 28 November, 2014.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.