Followers

Tuesday, October 21, 2014

Waris tuntut JPN keluar sijil mati Sosilawati

 
Lima anak jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya menfailkan permohonan kebenaran bagi semakan kehakiman untuk memaksa Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mengeluarkan sijil kematian ibunya, yang mati dibunuh di Ladang Gadong, Banting, Selangor, pada 2010.

Erwan Suwari Rizuwan Buhari, 28, Md Erwan Nasri, 27,  Erni Erinawati Sofia, 25, Erni Rineelawati,24, dan Siti Nur Fatimah, 17, menfailkan permohonan itu di pejabat pendaftaran, Mahkamah Tinggi di sini pada 24 Sept lepas melalui Tetuan Basharuddin Fa'izie Iskandar.

Kelima-lima pemohon itu menamakan JPN sebagai responden.

Hari ini Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Diana Md Razali menetapkan 25 Nov untuk mendengar permohonan kebenaran itu selepas kes itu disebut di hadapannya.

Peguam Mohd Iskandar Ismail mewakili kesemua pemohon memberitahu pemberita bahawa Hakim Datuk Asmabi Mohamad akan mendengar permohonan itu. Peguam Kanan Persekutuan Mazlifah Ayob mewakili JPN.

Dalam permohonan itu anak Sosilawati antara lain memohon satu perintah untuk membatalkan keputusan JPN pada 25 Julai lepas yang tidak mengeluarkan sijil kematian ibunya.

Mereka juga mahu supaya JPN mengeluarkan sijil kematian ibunya, kos dan juga lain-lain relif yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

Dalam surat kepada JPN, kesemua pemohon berkata mereka memohon supaya JPN mengeluarkan sijil kematian itu bagi membolehkan pembahagian harta, saham dan aset-aset ibunya untuk diagih-agihkan kepada warisnya.

Erwan Suwari Rizuwan dalam afidavit sokongannya mendakwa JPN dalam jawapan lisan berkata sijil kematian Sosilawati tidak boleh dikeluarkan kerana tiada mayat dijumpai berdasarkan Seksyen 18 Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 dan sekiranya tiada mayat dijumpai, orang itu akan dianggap hilang.

Anak lelaki Sosilawati itu mendakwa JPN berkata atas sebab itu Seksyen 108 Akta Keterangan 1950 adalah terpakai di mana sekiranya orang itu tidak dapat dijumpai atau dihubungi selama tujuh tahun, satu anggapan kematian akan dibuat dan selepas itu surat anggapan kematian akan dikeluarkan.

Bagaimanapun, Erwan Suwari Rizuwan berkata dalam kes ibunya, terdapat keadaan khas bahawa walaupun mayat tidak dijumpai dan masih belum mencapai tujuh tahun namun mahkamah masih boleh sahkan kematian ibunya berdasarkan  keterangan-keterangan dan bukti-bukti yang diberikan semasa perbicaraan kes bunuh ibunya.

JPN dalam surat jawapannya kepada Erwan Suwari Rizuwan bertarikh 25 Julai lepas berkata berdasarkan nasihat perundangan memaklumkan bahawa pendaftaran kematian Sosilawati hanya boleh dipertimbangkan oleh jabatan itu selepas rayuan kes empat tertuduh dalam kes bunuh Sosilawati di Mahkamah Rayuan diputuskan.

Mahkamah Rayuan menetapkan lima hari bermula 9 Feb 2015 untuk mendengar rayuan itu.

Pada 23 Mei tahun lepas, Mahkamah Tinggi Shah Alam menjatuhi hukuman gantung sampai mati terhadap bekas peguam N Pathmanabhan dan tiga pekerja ladangnya selepas mereka didapati bersalah terhadap pertuduhan membunuh Sosilawati, 47, pegawai bank Noorhisham Mohamad, 38, peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin, 44.
 
Pathmanabhan, T Thilaiyalagan, R Matan dan R Kathavarayan didakwa melakukan kesalahan itu di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat di Banting antara pukul 8.30 malam dan 9.45 malam pada 30 Ogos 2010.

- Bernama

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.