SUMBER VIDEO |
Berikut ialah surat terbuka daripada Koordinator Pusat LENSA, Ekhsan Bukharee (Komen dihujung):
SURAT UNTUK ANWAR IBRAHIM “BERSARALAH ANWAR IBRAHIM, RAKYAT NAMPAKNYA SUDAH LETIH”
28 dan 29 Oktober ini merupakan tarikh yang amat penting untuk Datuk
Seri Anwar Ibrahim iaitu tarikh perbicaraan dan keputusan rayuan Kes
Liwat II di Mahkamah Persekutuan Putrajaya.
Hanya ada dua kemungkinan untuk Datuk Seri. Sama ada Datuk Seri
dibebaskan sama seperti 901, atau didapati bersalah dan dihumban sekali
lagi ke dalam penjara yang boleh mencecah 20 tahun.
Angkatan Muda Keadilan (AMK) di bawah pimpinan YB Nik Nazmi pada 14
Oktober lalu telah melancarkan kempen Rakyat Hakim Negara dengan tujuan
ingin memobilisasi rakyat untuk bersolidariti di Mahkamah pada 28 dan 29
Oktober ini.
Jelas sekali modus operandinya sama dan berulang seperti tahun tahun
terdahulu. Setiap kali Datuk Seri akan disumbat ke dalam penjara, maka
setiap kali itulah rakyat akan diheret ke jalan raya.
Datuk Seri, sampai bila rakyat akan terus terheret dalam semua ini?
Berhimpun, berkumpul, bersorak melaung-laungkan nama Datuk Seri.
Sampai bila Datuk Seri ingin melihat rakyat berpanas, berkeringat di
bawah panas matahari, hanya kerana bersolidariti bersama Datuk Seri.
Kerana Datuk Seri masih di sini, musuh-musuh Datuk Seri terus merancang strategi untuk menghambat Datuk Seri.
Kerana Datuk Seri masih di sini, segala kekuatan rejim diperalatkan untuk membunuh perjuangan politik Datuk Seri.
Andai kata Liwat II ini berakhir dengan kemenangan berpihak kepada Datuk
Seri, maka mungkin akan hadir pula Liwat III, LIwat IV, Liwat V yang
akhirnya akan menyebabkan rakyat menjadi mangsa, terus terheret dalam
kancah politik kotor.
Kenapa Datuk Seri tidak terima sahaja pelawaan pihak dari ‘sebelah sana’
yang menawarkan Datuk Seri jawatan Timbalan Perdana Menteri di bawah
nama Konsensus Nasional?
Kenapa Datuk Seri menolak pelawaan tersebut? Sedangkan jika Datuk Seri
menerima idea itu, sudah pasti segalanya akan berakhir, dan Datuk Seri
tidak perlu lagi mengheret rakyat dalam isu ini.
Kenapa Datuk Seri tidak menerima sahaja pelawaan dari Turki, yang
menawarkan posisi tertentu untuk Datuk Seri menetap di sana? Bukankah
lebih baik Datuk Seri berhijrah ke Turki daripada terus berhadapan
dengan kerakusan rejim yang tidak akan berpuas hati sehinggalah Datuk
Seri tunduk pada mereka.
Andai kata Datuk Seri dipenjara lagi, apakah Datuk Seri menjangkakan
kami akan bersolidariti di hadapan penjara? Apakah Datuk Seri
menjangkakan kami akan memenuhi jalan raya dengan laungan reformasi?
Apakah Datuk Seri menjangkakan kami akan bangkit merempuh rejim?
Tidak Datuk Seri. Ini bukan lagi tahun 1998 atau 1999. Kami memiliki jalan perjuangan tersendiri.
Datuk Seri pada era 60an memilih untuk memimpin Gerakan Mahasiswa sehingga disumbat ke dalam ISA.
Datuk Seri pada 1998 memilih untuk bertembung dengan Mahathir Muhammad
sehingga sekali ditangkap bawah ISA dan terhumban ke penjara.
Hari ini, Datuk Seri pada usia 60an sekali lagi memilih untuk ke
penjara. Kami anggap itu pilihan Datuk Seri yang sengaja memilih jalan
sengsara sedangkan ada jalan-jalan lain yang lebih mudah untuk Datuk
Seri.
Apa yang amat kami harapkan ialah, demi rakyat, Datuk Seri bersaralah, berhijrahlah.
Nyata semakin ramai yang tidak menggemari Datuk Seri. Bahkan dalam
lingkungan rakan sendiri pun semakin ramai yang percaya pada istilah
‘Semua Salah Anwar’ sehingga ada yang tidak mahu lagi bersolidariti
bersama Datuk Seri di Mahkamah pada 28 dan 29 Oktober ini.
Seolah-olah mereka tidak lagi peduli pada kezaliman rejim yang ditimpakan ke atas Datuk Seri.
Maka apa lagi yang ingin Datuk Seri harapkan. Reformasi 98/99 tidak mungkin berulang.
Mungkin sudah tiba masanya, Datuk Seri ambil masa untuk kehidupan
peribadi Datuk Seri, setelah dari muda sehingga tua, Datuk Seri
sia-siakan dengan perjuangan yang akhirnya membawa Datuk Seri ke
penjara.
(SUMBER)
Mula-mula Yong mengucapkan syabbas kepada kumpulan anak muda LENSA kerana berani menegur pemimpin-pemimpin negara.
Yong baca surat ini dengan rasa sedih. Bukan sedih kerana mungkin benar
Anwar Ibrahim akan ke penjara lagi. Tetapi sedih kerana anak muda ini
masih tidak memahami apa erti perjuangan.
Perhatikan pemimpin politik di seluruh dunia di era modern ini:
Nelson Mandela bersara dari politik selepas dia berjaya memerdekakan
Afrika Selatan dan menghapuskan dasar apartheid. Itupun, dalam
persaraan, dia tidak duduk diam. Dia terus bercakap menentang
kuasa-kuasa barat, sehingga ke akhir hayatnya pada usia 95 tahun.
Yasser Arafat, disebalik perjuangan politiknya yang kontroversi, tidak
pernah bersara sehingga dia meninggal dunia pada tahun 2004. Usianya
ketika itu 75 tahun.
Mohamed Morsi, kini berusia 63, Presiden Mesir yang dipilih secara
demokrasi masih lagi dalam tahanan. Mungkin sedang menghadapi hukuman
mati. Adakah dia akan memilih tawaran pangkat atau bersara?
Dr Burhanuddin Al Helmy, pejuang kemerdekaan, juga tidak pernah bersara, walaupun telah di penjara oleh British dan Kerajaan Malaysia. Beliau meninggal dunia pada tahun 1969 akibat penderitaan penyakit kerana seksaan di penjara.
Mungkin para sejarahwan boleh beri nama-nama pemimpin dunia yang hebat yang mengakhiri perjuangan dengan kematiannya, bukan persaraannya.
Jelaslah surat itu datang daripada suara anak yang letih.
Tetapi sebagai anak muda yang banyak tenaga, istilah letih tidak wajar
keluar dari mulutnya. Orang tua seperti Anwar Ibrahim tidak letih.
Kenapa kamu letih? Usia muda adalah anugerah Allah untuk dihayati
sepenuhnya. Hayatinya dengan semangat juang - bukan dengan despondency
(kesedihan dan keletihan).
Jika tidak mahu pergi bersolidariti dengan Anwar Ibrahim pada tarikh
berkenaan, tidak usah pergi. Tetapi jangan patahkan semangat anak muda
lain yang nak pergi.
Jangan patahkan semangat orang lain yang sedang berjuang untuk menghapuskan kezaliman.
Belum lagi sampai masanya kamu patut berkata "Letih."
Fikirlah! Adakah kesengsaraan rakyat masakini akan berakhir jika Anwar Ibrahim bersara?
Belum lagi sampai masanya kamu patut berkata "Letih."
Fikirlah! Adakah kesengsaraan rakyat masakini akan berakhir jika Anwar Ibrahim bersara?
TIADA ISTILAH BERSARA BUAT PEJUANG, WAHAI ANAK.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.