Followers
Monday, October 13, 2014
Tak wajar halang saya masuk Malaysia, kata pendakwah Indonesia OLEH LOOI SUE-CHERN
Dr Ulil Abshar Abdalla dijadual menghadiri sebuah perbincangan meja bulat anjuran Islamic Renaissance Front dan Global Movement of Moderates di Kuala Lumpur, Sabtu depan. – 12 Oktober, 2014.
Dr Ulil Abshar Abdalla dijadual menghadiri sebuah perbincangan meja bulat anjuran Islamic Renaissance Front dan Global Movement of Moderates di Kuala Lumpur, Sabtu depan. – 12 Oktober, 2014.
Pendakwah Indonesia, Dr Ulil Abshar Abdalla melahirkan kekesalan kerana dihalang kerajaan Malaysia memasuki negara ini, sambil berkata ia berlaku pada ketika umat Islam memerlukan lebih banyak dialog bagi mengekang radikalisme.
Ulil melalui akaun Twitter miliknya @Ulil berkata trend pemikiran konservatif masyarakat Islam di Malaysia semakin meningkat, sama seperti di negaranya sendiri.
Katanya, perkembangan sedemikian tidak elok bagi umat Islam serantau.
Ulil disenarai hitam Jabatan Imigresen Malaysia, sekaligus tidak dapat hadir sebagai ahli panel forum "Tantangan Fundamentalisme Agama di Abad Ini" di Kuala Lumpur pada 18 Oktober, yang dianjurkan badan bukan kerajaan, Islamic Renaissance Front (IRF).
"Malangnya saya tidak dapat hadir.
"Persatuan Ulama Malaysia memfailkan protes menentang kehadiran saya ke majlis itu. Dan saya kini dihalang daripada memasuki Malaysia.
"Sedih halangan ini dibuat ketika masyarakat Islam perlukan dialog untuk melawan radikalisme di kalangan mereka.
"Sebagai rakyat Indonesia, trend Islam konservatif nampaknya semakin meningkat di Malaysia. Ini berita tidak baik buat masyarakat Islam di Nusantara," tulisnya dalam Twitter.
Ulil yang bekerjasama dengan Jaringan Islam Liberal berkata, beliau pernah berdepan dengan beberapa larangan di negaranya, menghalangnya muncul dalam perbincangan terbuka di Surabaya dan Riau.
Katanya lagi, ia tidak menghalang idea Islam progresif.
"Apa makna di sebalik larangan ini? Ini membuktikan kumpulan konservatif tidak membenarkan perbezaan suara mencabar mereka.
"Mereka mahu melaksanakan satu budaya menurut perintah di kalangan masyarakat Islam," katanya.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, Ulil dihalang masuk kerana "dikhuatiri akan memesongkan umat Islam di negara ini jika membenarkannya menyebarkan fahaman liberal di sini".
Zahid berkata, pihak berkuasa menerima banyak laporan daripada mereka yang menentang idea liberalisme Ulil.
Khamis lalu, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Othman Mustapha menggesa forum itu dihentikan kerana melibatkan Ulil.
"Sebarang cubaan membawa masuk ajaran yang bertentangan dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah mampu mengancam kepercayaan umat Islam di Malaysia dan ini perlu dihentikan," katanya dilaporkan Bernama.
Halangan itu menimbulkan beberapa reaksi pengguna Twitter.
Naomi Asyma dalam twitternya berkata: "@ulil anda tidak patut dilayan sebegitu, Mas Ulil. Semoga kami mendapat peluang lain. Radikalisme sangat merbahaya!"
Ambarwati berkata: "@ulil ketakutan yang tak beralasan, ikut simpati mas".
Tweet yang negatif juga dilemparkan terhadap pihak berkuasa Malaysia.
@bloimey: @patricklsk @ulil disini anda dihalang masuk jika menyokong hak manusia, demokrasi atau perlindungan alam sekitar. Semuanya tentang politik."
Tingar Gopal pula dalam pesanan Twitter secara sinis berkata: @ulil @de_pudin Bergembiralah Ulil. Malaysia hanya menghalang orang bijak, yang kurang bijak dialu-alukan."
Manakala pengguna Twitter, Azmi Arshad yang menyokong halangan itu berkata: "Komuniti Islam di sini dalam keadaan baik. Kami tidak memerlukan anda @ulil atau #Islamophobic @Ambiga_S. Pergi cari hobi lain," katanya.
Iboy alghazali berkata: "@ulil tanya diri kamu kenapa mereka menghalang kamu... pemikiran liberal songsang kamu merosakkan Islam dari dalam.@saidiman"
Ulil mencetuskan kontroversi tentang pandangan liberalnya, dan beberapa artikelnya dianggap ulama sebagai bidaah.
Pada 2003, sekumpulan ulama Indonesia mewakili Forum Ulama Umat Islam mengeluarkan fatwa bunuh terhadap Ulil kerana artikelnya dalam akhbar Kompas pada tahun 2002 bertajuk "Menyegarkan Kembali Pemahaman Islam" yang dianggap sebagai memesong. – 12 Oktober, 2014.
See more at: http://www.themalaysianinsider.com.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.